Lisdawati & Rita Rudaini Berdamai Selepas 7 Tahun Bermusuhan

|| || ,,, || Leave a komentar
 Lisdawati


KUALA LUMPUR: Permusuhan di antara pelakon Lisdawati dan Rita Rudaini hampir 7 tahun kembali jernih apabila kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berdamai selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Kerana Sarah.

Lisdawati berkata, bersempena dengan tahun baru 2013 ini, dia berazam untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa sahaja termasuklah Rita dan mahu bekerjasama dalam drama berkenaan yang masih lagi dalam penggambaran.

"Tahun 2013 ini, saya berazam untuk melalui suasana harmoni dan sekiranya terdapat persengketaan dengan sesiapa sekalipun, orang kata, buang yang keruh, ambil yang jernih.

"Begitu juga dengan dia (Rita), apa yang berlaku itu biarlah berlalu dan saya hormat dia sebagai pelakon yang lebih 'senior' daripada saya. Diharap, tiada sesiapa yang akan mengungkit perkara lama itu," katanya kepada mStar Online.

Pada tahun 2006, Rita dan Lisdawati dikatakan bermasam muka selepas berlakunya insiden tampar menampar dan tarik rambut ketika kedua-duanya melakonkan adegan terakhir drama Kau Yang Ku Sayang di kolam renang sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang.

Aksi tersebut berubah menjadi sebuah pergaduhan besar sehingga melibatkan kes polis apabila Lisdawati mendakwa Rita sengaja mencederakannya.



Rita Rudaini


Sementara itu, Rita pula berkata, perkara tersebut sudah lama selesai dan tiada apa-apa isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan dia (Lisdawati). Perhubungan kami lebih pada profesional dalam bidang kerja kami.

"Kami bertegur sapa, tetapi tak banyak berbual pun di lokasi. Cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.

"Dalam masa yang sama saya tidak mahu Fauzi ada dalam apa juga penggambaran yang saya lakukan atas sebab yang tidak dapat saya kongsi kepada umum," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK & WAHIDUZZAMAN

Golden Globe Awards'13: Ben Affleck Menang Besar

|| || ,,, || Leave a komentar
Ben Affleck 


Filem Argo arahan dan lakonan Ben Affleck memenangi Filem Terbaik anugerah Golden Globe ke 70 pada kemuncak acara pra-Oscar Hollywood yang diadakan di sini pada Ahad (waktu tempatan).Affleck turut memenangi Pengarah Terbaik untuk filem itu.

Karya berkenaan berkisar tentang misi ejen perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang mendapat perlindungan di kediaman duta Kanada di Tehran, Iran semasa krisis pada tahun 1979.

Filem Steven Spielberg Lincoln hanya mampu membawa pulang satu anugerah sahaja iaitu melalui kategori Pelakon Lelaki Terbaik - Drama (Daniel Day-Lewis) walaupun mendapat pencalonan terbanyak iaitu dalam tujuh kategori.

Kegagalan Spielberg merangkul anugerah filem terbaik dan beberapa kategori utama lagi telah mengejutkan banyak pihak dan pemerhati filem Hollywood.

Sebaliknya, Affleck telah membuat kejutan besar dengan merangkul dua anugerah utama termasuk pengarah terbaik.

Ia adalah kemenangan berganda pertama untuk Affleck dalam anugerah edisi ke-70 ini.

Affleck dengan segera memberi penghargaan di atas kemenangannya itu kepada para diplomat dan juga ejen rahsia yang telah berkorban atas nama negara termasuklah karakter sebenar yang dimainkannya menerusi filem tersebut."Anugerah ini adalah mengenai Tony Mendez. Dia adalah hero Amerika yang sebenar termasuklah bala tentera Amerika yang telah berkorban dan berkhidmat di luar negara," ujar Affleck.

Bagaimanapun filem itu turut menerima kritikan yang tidak kurang hebatnya kerana Affleck dikatakan telah mencampur adukkan fakta dengan karya fiksyen khususnya tentang peranan CIA dalam membebaskan para diplomat Amerika yang dijadikan tebusan dalam insiden sebenar itu.

Namun begitu kemenangan Argo dilihat sebagai menebus maruah filem tersebut apabila ia tidak disenarai pendekkan untuk pencalonan pengarah terbaik dalam Anugerah Oskar yang akan berlangsung pada 24 Februari depan.Sementara itu bagi kategori drama pula, Homeland dipilih sebagai drama terbaik anugerah berkenaan pada kali ini.

Homeland turut mencipta kejayaan apabila dua pelakonnya iaitu Damian Lewis dan Claire Danes masing-masing diumumkan sebagai aktor dan aktres terbaik.

Berikut ini senarai penuh pemenang Golden Globe 2013.

KATEGORI FILEM:

1. Filem Terbaik : Argo

2. Filem Komedi/Muzikal Terbaik: Les Miserables

3. Pengarah Terbaik: Ben Affleck – Filem Argo

4. Aktor Terbaik Drama: Daniel Day-Lewis – Lincoln

5. Aktres Terbaik Drama: Jessica Chastain – Zero Dark Thirty

6. Aktor Terbaik Muzikal/Komedi: Hugh Jackman - Les Miserables

7. Aktres Terbaik Muzikal/Komedi: Jennifer Lawrence - Silver Linings Playbook

8. Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki: Christoph Waltz - Django Unchained

9. Pelakon Pembantu Terbaik Wanita: Anne Hathaway - Les Miserables

10. Filem Luar Terbaik: Amour

11. Lakon Layar Terbaik: Django Unchained

12. Skor Asal Terbaik: Life of Pi

13. Animasi Terbaik: Brave

KATEGORI DRAMA TV:

1. Drama Siri Terbaik: Homeland

2. Aktres Terbaik: Claire Danes - Homeland

3. Aktor Terbaik: Damian Lewis : Homeland

4. Drama Muzikal/Komedi Bersiri Terbaik: Girls

5. Pelakon Wanita Muzikal/Komedi Terbaik: Lena Dunham - Girls

6. Pelakon Lelaki Muzikal/Komedi Terbaik: Don Cheadle - House of Lies

7. Mini Siri/Filem Terbaik: Game Change

8. Aktres Mini Siri/Filem Terbaik: Julianne Moore - Game Change

9. Aktor Mini Siri/Filem Terbaik: Kevin Costner - Hatfields & McCoys

10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Maggie Smith - Downton Abbey

11. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ed Harris - Game Change


Sumber: AFP

RM50,000 Lesap Dari Akaun Bank Lisa Surihani

|| || ,, || Leave a komentar
Gambar Lisa Surihani bersama ibunya. 



KUALA LUMPUR: Wang RM50,000 milik pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.

Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.

Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat sebarang pengeluaran wang.

Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.

“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.

Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.

“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Datuk Siti Nurhaliza Kini Bertudung Litup

|| || ,,, || Leave a komentar
Imej terbaru Siti Nurhaliza Tarudin yang bertudung litup.



PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu keputusannya untuk bertudung litup mendapat sokongan daripada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Siti berkata, suaminya benar-benar gembira selepas beliau terbuka hati untuk melakukan kewajipan sebagai Muslimah iaitu menutup rambut sepenuhnya ketika menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 34 pada 11 Januari lalu.

"Suami saya adalah antara yang sangat gembira dengan peralihan imej Siti dan boleh dikatakan dia juga merupakan tunggak yang banyak menyokong kepada perubahan ini.

"Bagi Siti, ia adalah satu keikhlasan yang datang daripada diri dan berharap agar imej ini kekal sampai bila-bila,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Tambah Siti, dia juga menganggap perubahan yang dilakukan ini berkat daripada doa daripada dirinya sendiri, keluarga serta peminat apatah lagi selepas beliau mengerjakan haji sebelum ini.

Sementara itu, Siti berkata, walaupun sudah berhijab, ia bukanlah satu penghalang untuk beliau aktif dalam karier seni.

Malah Siti masih lagi mendapat khidmat pereka fesyen kegemarannya iaitu Rizman Ruzaini dalam membantu memadankan busana dan hijab yang sesuai untuk dipakai.

"Sebelum ini saya sudah biasa tampil berselendang dan imej sekarang ini tidak membuatkan diri berasa janggal, malah ia akan disesuaikan mengikut corak persembahan.


Siti Nurhaliza tampak manis bertudung ketika pertama kali muncul pada majlis resepsi perkahwinan ketiga penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Leuniey di Hotel Royale Damansara pada Isnin. 

 
“Buat masa ini Rizman Ruzaini akan membantu dalam menyesuaikan gaya tudung dan imej untuk muncul di pentas.

"Siti juga selesa tampil memakai 'inner' di dalam manakala di bahagian luar pula, Siti gayakan mengikut cara sendiri dengan mendapat ilham fesyen yang terkini.

"Siti juga mengambil inspirasi daripada majalah, Internet serta melihat di YouTube dan menggabungkan gaya-gaya yang sesuai mengikut keselesaan diri. Mungkin fesyennya akan berubah-ubah juga nanti," tuturnya.

Ditanya adakah sebarang perbezaan sebelum dan selepas bertudung, kata Siti dia lebih berfikiran positif dan berharap akan menjadi lebih tenang dalam menjalani kehidupan seharian.

"Saya yakin apa yang baik itu akan diterima, malah ramai yang gembira dan mendoakan, Insya-Allah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Siti akan berehat sehingga Mac depan untuk memberi tumpuan kepada penjagaan suaminya yang masih dirawat akibat kemalangan motosikal di New Zealand pada 13 Disember lalu.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


Memey Dan Norman Tidak Sabar Menanti Kelahiran Cahaya Mata Pertama Mereka Bulan Depan

|| || ,,, || Leave a komentar
Memey dan Norman tidak sabar menanti kelahiran anak pertama mereka pada Februari depan. 



KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza mengakui tercuit hati dengan gelagat dan debaran yang dialami suaminya aktor Norman Hakim menjelang kelahiran bayi sulung mereka dijangka pada 20 Februari depan.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 27, berkata, sikap kalut Norman yang terlalu gelisah mengenai persiapan kelahiran anak lelaki mereka itu melebihi kebimbangannya sendiri yang pertama kali bakal bersalin.

“Saya okey sahaja. Tidak terfikir atau bayangkan apa-apa pun tapi abang (Norman) yang nampak lebih bimbang.

“Mungkin kerana pengalamannya bergelar bapa sebanyak tiga kali sebelum ini membuatkan dia bimbang untuk sambut kelahiran anak kami nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Ditanya mengenai persiapan terakhir menjelang kelahiran itu, Memey berkata, segala persiapan pakaian dan pemilihan beberapa nama sudah disenarai pendekkan.

“Kami sudah ada dua atau tiga nama pilihan cuma belum putuskan yang mana satu sahaja.

“Abang juga sudah selidik banyak info di Internet dan buku-buku mengenai kelahiran anak kami,” katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata, perasaan panik menjelang kelahiran itu adalah perkara lazim yang dihadapinya sejak anak pertama lagi.

“Dari anak pertama lagi saya memang berdebar dan panik. Saya rasa pengalaman menyambut kelahiran anak-anak yang membuatkan saya begitu.

“Sebab itu saya berasa tidak tenang dan takut untuk menunggu kelahiran Memey nanti kerana saya perlu bersedia,” katanya yang merancang untuk menjemput keluarga Memey menemani aktres itu pada hujung Januari ini.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman dan Abby Abadi dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4.

Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.

Oleh WAHIDUZZAMAN