Walaupun Diceraikan Melalui SMS, Abby Abadi Masih Sayangkan Farhan
Unknown || Jumat, 30 Mei 2014 || Abby Abadi,Artis Cerai,Artis Malaysia,Farhan || Leave a komentarAbby mengakui masih sayangkan suaminya Muhammad Noor Farhan namun menyerahkan soal jodoh mereka kepada Tuhan.
KUALA LUMPUR: Pelakon Abby Abadi mengakui masih sayangkan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar dan tidak pernah menjangkakan perceraian akan berlaku pada perkahwinan keduanya itu.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, lafaz cerai yang dibuat menerusi mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada pemuda itu pada 9 Mei lalu merupakan satu kejutan kerana ia hanyalah salah faham yang seharusnya tidak berakhir dengan perceraian.
"Saya akui masih sayangkan dia dan langsung tidak pernah membayangkan perceraian akan berlaku kerana salah faham yang timbul tidak sepatutnya berakhir dengan perceraian.
"Bagaimanapun buat masa ini saya tidak nampak jalan untuk kami berbaik semula kerana saya sudah berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan keadaan tetapi apalah daya saya kalau itu ketentuan dan takdir saya," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin pada Khamis menangguhkan kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Abby terhadap Muhammad Noor Farhan, 24, kepada 11 Jun ni selepas terdapat satu lagi lafaz cerai yang belum difailkan dan disahkan oleh mahkamah.
Lafaz cerai kali pertama dibuat oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu.
Abby tidak pernah menyesal berkahwin dengan Muhammad Noor Farhan biarpun ia hanya bertahan selama 10 bulan sahaja.
Dalam pada itu Abby turut menolak dakwaan keretakan rumah tangganya itu kerana kehadiran orang ketiga termasuk tekanan daripada masyarakat sekeliling yang sentiasa memerhatikannya.
"Bukan kerana orang ketiga dan jika komen orang mengenai saya di laman sosial juga tidak pernah menjadi penyebab kepada kejadian ini dan saya tidak salahkan sesiapa kerana kami berdua ada melakukan kesilapan," ujarnya.
Sementara itu, Abby mengakui jarak usia 13 tahun di antara mereka antara penyebab terjadinya perceraian dalam rumah tangga mereka.
Abby berkata, Muhammad Noor Farhan terlalu muda untuk memahami pelbagai perkara mengenai alam rumah tangga namun dia tidak pernah menyesali perkahwinan berkenaan biarpun hanya mampu bertahan selama 10 bulan.
"Pada saya dia terlalu muda untuk meletakkan dirinya sebagai suami dan kami juga baru kenal mengenali selepas berkahwin. Mungkin ada beberapa perkara yang dia tidak dapat faham.
"Saya tidak salahkan dia kerana ketika saya berusia seperti dia pun banyak perkara yang saya tidak faham dan masih belajar mengenai kehidupan.
"Apa-apa pun saya tidak pernah menyesal berkahwin dengannya malah bersyukur dia dipinjamkan kepada saya biarpun singkat," katanya.
Farhan melafazkan cerai terhadap Abby menerusi SMS pada 9 Mei lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai lafaz cerai yang dibuat kali pertama oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu, Abby berkata, dia tidak mahu menghebahkan perkara itu kerana enggan memperbesarkan kejadian itu.
"Secara teknikalnya dia tidak melafazkan cerai itu kepada saya tetapi memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila dirujuk kepada bapa saudaranya yang juga seorang imam, beliau memberitahu lafaz yang dibuat itu sah dan kami perlu rujuk semula," jelasnya.
Terdahulu ketika di mahkamah kedua-dua pasangan berkenaan hadir secara berasingan.
Muhammad Noor Farhan dilihat tergesa-gesa meninggalkan mahkamah dengan menaiki sebuah kereta BMW yang menunggunya di perkarangan mahkamah bagi mengelak didekati pihak media.
Kedua-dua pasangan berkenaan tinggal berasingan sejak 9 Mei lalu.
Abby dan Muhammad Noor Farhan bernikah pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan. Mereka bernikah di Selatan Thailand.
Pada 17 Mei lalu Abby menulis status di laman Instagram miliknya meminta agar para peminat mendoakan keadaan rumah tangganya itu.
Sebelum berkahwin dengan pemuda dari Kelantan itu, Abby pernah bernikah dengan pelakon Norman Hakim dan mereka dikurniakan tiga orang anak.
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my