Tampilkan postingan dengan label Anzalna. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Anzalna. Tampilkan semua postingan

Anzalna Tidak Mahu Terjebak Skandal

|| || ,, || Leave a komentar

Anzalna


 
Biarpun nama Anzalna kian meniti puncak, wanita berusia 25 tahun ini nampaknya nekad untuk menamatkan status solonya dengan jejaka pilihan, Hanif Zaki.

Walaupun sudah muak untuk berbicara mengenai hasrat melangkah ke alam rumah tangga, anak kedua daripada lima beradik ini menafikan dirinya terburu-buru membuat keputusan itu.

Ketika ditanya, adakah teman lelakinya mendesak mahu mereka segera disatukan, mungkin bimbang gadis idaman terlepas ke tangan orang lain, Anzalna terdiam seketika. Wajahnya berkerut, seolah-olah mengiyakan pertanyaan itu. Dia bingkas menghuraikan hujah.

“Kami sudah bercinta dua tahun dan saling mengenali sejak usia 15 tahun, jadi kami sepakat mahu disatukan segera. Begitupun, setakat ini kami belum memilih tarikhnya. Sepatutnya keluarga teman lelaki datang merisik tahun lalu, tetapi rancangan itu tidak menjadi,” katanya.

 
 Anzalna bersama kekasihnya,Hanif Zaki

Elak terjebak skandal

Menurut pelakon ini, dia tidak bimbang perkahwinan akan menjejaskan populariti mahupun rezeki kerana percaya kepada takdir.

“Saya lihat, ramai artis yang sudah berkahwin, tetapi masih lagi laris. Lagi pun, saya berasa selamat setelah bergelar isteri nanti. Saya tidak perlu lagi bimbang dihimpit mana-mana lelaki.

“Memang saya tidak nafikan, sejak bergelar artis, ada yang cuba mendekati, tetapi saya sedaya upaya mengelak. Walaupun cuma untuk keluar makan tengah hari atau makan malam, saya akan tolak. Bagi saya, jika kita melayan, ia akan menjadi titik permulaan untuk terjebak dengan skandal,” katanya.

Tegas Anzalna, dia harus berbuat demikian kerana enggan hubungan dengan teman lelakinya terjejas. Sebab itu juga katanya, dia kurang gemar bersosial. Jika ada waktu terluang, Anzalna lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan teman rapat. - BH

Kisah Anzalna Cuba 'Dihimpit' Lelaki Kaya

|| || ,, || Leave a komentar
 Anzalna Nasir dan kekasihnya Hanif Zaki



KUALA LUMPUR: Pelakon Anzalna Nasir tidak berselindung terdapat beberapa lelaki kaya dan golongan kenamaan cuba mendekatinya untuk meraih cinta.

Anzalna, 22, berkata dia tidak pernah memberi peluang untuk didekati individu berkenaan melainkan jika ia atas urusan kerja selain untuk menjaga hubungan dengan kekasihnya Hanif Zaki.

"Saya hanya berkawan dengan lelaki lain hanya atas dasar kerja dan tidak sesekali mendekati mereka yang mempelawa untuk bercinta dengan saya walaupun mereka di kalangan VIP.

"Kalau mereka bertujuan hanya untuk mengenali saya kerana ada agenda lain saya akan tolak mentah-mentah," katanya kepada mStar Online.

Jelas Anzalna, dia berbuat demikian bagi menghormati dan menjaga hubungan percintaannya dengan kekasihnya yang telah terjalin sejak 15 tahun dulu.

Tambah Anzalna, dia juga akan berpegang teguh dengan matlamatnya bergelar artis adalah mencari rezeki semata-mata.

Pelakon filem Sepah The Movie ini juga merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun depan.

"Sejak memasuki industri ini saya sentiasa menjaga batas hubungan dengan lelaki lain kerana saya dengan Hanif sudah merancang untuk berkahwin pada tahun depan. Cuma tarikhnya sahaja belum ditetapkan.

"Keluarga pihak lelaki juga ada merancang untuk masuk merisik namun masih belum ada masa yang sesuai lagi," katanya sambil memberitahu jadual lakonannya penuh sehingga hujung tahun ini.

Ditanya tentang populariti dan publisiti yang mungkin diterimanya berkurangan sekiranya dia bergelar isteri kelak, Anzalna berkata ia bergantung kepada rezeki daripada Allah.

"Semua perempuan ingin berkahwin dan ia perkara baik, saya tidak kisah populariti menurun yang penting semua rezeki adalah datang daripada Yang Masa Esa," katanya.

Oleh KEMALIA OTHMAN

Anzalna Akan Berkahwin Tahun Depan

|| || ,, || Leave a komentar
Gambar Anzalna Nasir bersama kekasihnya Hanif Zaki.Anzalna berazam untuk lebih aktif sebagai penyanyi dan pengacara pada tahun ini.
 


 
KISAH usung atau sorok kekasih sudah lali dalam dunia hiburan malah tidak menjadi hal sekiranya perkara sebegitu menjadi ibarat trend sebagai seorang selebriti yang diperhati ramai.

Jika terlalu banyak publisiti pasti akan ada pihak yang melabelkan artis itu tidak tahu malu.

Begitu juga sebaliknya, sekiranya timbul kes sembunyikan kekasih, akan ada yang membuat penilaian artis itu sengaja mahu menyombong.

Hal yang sama terjadi kepada aktres jelita, Anzalna Nasir yang baru-baru ini memutuskan untuk mengurangkan pendedahan media terhadap kekasihnya, Hanif Zaki sehingga menyebabkan timbul rasa kurang senang segelintir pihak.

Kosmo! menghubungi Anzalna yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Rabu lepas untuk mendapatkan kepastian berkenaan perkara itu dan perancangannya masa depannya bersama Hanif.

Kosmo!: Benarkah Anzalna sudah serik mendedahkan teman lelaki kepada umum? Kenapakah?

ANZALNA: Bukan serik tetapi saya mahu kurangkan publisiti yang terlalu banyak mengenai hubungan kami. Adalah lebih baik untuk bertanya dan bercerita mengenai kerjaya saya berbanding hal peribadi. Saya juga kurang selesa apabila setiap kali ditemu bual, pasti soalan teman lelaki akan ditanya.

Sebelum ini, ada beberapa pelakon yang terlalu banyak mendedahkan teman lelaki akhirnya hubungan itu goyah kerana terlalu banyak publisiti. Komen Anzalna tentang perkara itu?

Saya rasa itu tidak menjadi masalah kerana kami sama-sama memahami kerja dan ruang peribadi masing-masing. Apa yang orang sekeliling cakap tidak menjejaskan hubungan kami kerana kami ada pendirian. Lagipun, hubungan kami adalah serius dan kami sudah ada perancangan masa depan.

Apakah perancangan kalian selepas ini?

Perancangan untuk berkahwin sudah ada cuma sekarang tengah kumpul duit terlebih dahulu. Rezeki lebih penting daripada populariti. Kami mahu kekalkan hubungan seperti sekarang dan berdoa tidak akan putus di tengah jalan.

Adakah Anzalna sudah bersedia untuk bergelar isteri?

Memandangkan umur pun sudah meningkat, saya memang bersedia. Cuma mungkin perlu tunggu setahun dua lagi untuk berkahwin dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya terhadap rumah tangga. Saya sasarkan untuk menamatkan zaman solo pada umur saya 26 tahun.

Apakah perkembangan terkini Anzalna?

Saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod Maskara melakonkan watak Hani, seorang wanita lemah lembut tapi tegas. Menariknya, dalam drama ini saya bertudung sepanjang masa. Selepas ini saya akan memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod Bangkitnya Seorang Perempuan untuk slot Samarinda TV3. Saya ada mendapat tawaran untuk mengacara sebuah program bual bicara pagi dan menyanyi di bawah sebuah syarikat rakaman tapi mungkin belum masa yang sesuai untuk menerimanya. Biarlah perlahan-lahan.

Adakah Anzalna enggan dilabel terlalu tamak sekiranya menerima semua tawaran itu?

Salah satunya kerana sebab itu tapi saya mahu memajukan karier lakonan saya dulu sebelum memfokuskan bidang lain. Bagaimanapun, memang azam saya tahun ini untuk mengacara dan menyanyi.

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


Anzalna Mahu Buktikan Dirinya Bukan Pelakon Tempelan

|| || , || Leave a komentar
Anzalna Nazir 


Peroleh hikmah di sebalik kontroversi tahun lalu, mahu buktikan diri bukan pelakon tempelan

Biarpun tidak pernah merelakan diri terpalit dalam kontroversi, pelakon Anzalna Nazir nampak hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Tentu ramai masih ingat, pelakon jelita ini yang memiliki darah campuran iaitu Cina daripada sebelah ayah dan ibu berketurunan Punjabi, dihambat isu kontroversi pertengahan tahun lalu.
Ketika itu, kisahnya bertelagah bersama dua aktres muda lain iaitu Neelofa dan Tasha Shila menghiasi dada akhbar. Namun, kesan daripada kontroversi itu, nama Anzalna terus melonjak walaupun bakat lakonannya belum cukup teruji.


Sejak peristiwa itu, tawaran lakonan yang datang kepada Anzalna bagai tak menang tangan.

Lebih beruntung, gadis yang fasih berbahasa Perancis itu turut ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya, Sepah The Movie.

“Dari awal lagi saya sudah berjanji dengan diri sendiri, saya menceburi bidang seni ini untuk menjual bakat bukan mencari kontroversi.

“Jika boleh, sedaya upaya saya akan elak daripada mencari masalah. Namun, sebagai manusia biasa saya tidak berjaya mengawalnya,” katanya yang tetap bersyukur kerana mempelajari sesuatu yang berharga dalam hidupnya, tahun lalu.
Anzalna tidak menolak hikmah di sebalik apa yang berlaku, namanya menjadi hangat sehingga ramai produser menawarkan dirinya berlakon dalam filem dan drama.

“Memang saya akui kontroversi melonjakkan artis. Namun, saya terjebak dengan isu ini bukan kerana disengajakan atau sengaja mencari kontroversi. Hanya satu yang saya saya pegang iaitu sentiasa percaya kepada Allah. Ini kerana setiap musibah atau fitnah itu akan dibalas dengan nikmatNya,” katanya.

Anzalna memberitahu, dia tidak pernah menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku.

“Dalam kehidupan, tiada perkara yang berlalu dengan senang kerana perlu ada liku yang harus kita tempuhi. Inilah liku yang saya harus lalui.

“Saya juga tidak mahu ingat kembali isu lalu sebaliknya sentiasa berfikiran positif. Masalah jika difikirkan boleh memudaratkan kita, setiap benda yang sudah berlaku biasanya saya akan buang ke tepi dan mula dengan kehidupan baru” kata gadis yang menginjak usia 25 tahun pada 9 Januari ini.


Tolak dakwaan aktres ‘kayu’


Pada awal pembabitan dalam dunia penuh glamor ini, Anzalna tidak terlepas dikritik sebagai pelakon ‘kayu’ kerana tidak menunjukkan jiwa ketika beraksi.

“Memang saya sangat malu apabila lakonan saya ditegur seperti kayu. Pada awal kemunculan saya di televisyen, saya tidak berani menontonnya kerana terlalu malu. Namun perasaan itu saya lawan demi untuk memperbaiki kelemahan saya.

“Sekarang, alhamdulillah sedikit sebanyak saya mampu atasi dengan bantuan pelakon senior seperti Adi Putra, Aaron Aziz dan Bront Palare,” katanya.

Anzalna berkata, dia tahu dirinya diperhatikan selepas kontroversi tahun lalu.

“Saya tahu selepas isu itu, masyarakat akan mula melihat gerak-geri kita. Sama ada saya menceburi bidang lakonan ini untuk menjual bakat atau menjaja cerita kontroversi.

“Namun, alhamdulillah, beberapa drama lakonan saya mendapat maklum balas positif malah ia disebut-sebut masyarakat,” katanya.


Oleh Rozdan Mazalan

Kisah Anzalna Yang Tidak Boleh Berenggang Dengan Kekasih Hati

|| || ,, || Leave a komentar
Anzalna dan kekasihnya, Hanif.

PETALING JAYA: Pelakon jelita iaitu Nur Anzalna Nasir mengakui tidak boleh berenggang dengan teman lelakinya, Hanif Zaki dan sering menghabiskan masa bersama.

Anzalna, 24, berkata, dia sangat menyanjung sikap Hanif yang sangat ringan tulang selain tidak keberatan untuk menemaninya ke majlis-majlis hiburan, penggambaran drama atau filem sekiranya mempunyai masa terluang.

"Saya akui banyak menghabiskan masa bersamanya dan dia adalah antara orang paling rapat dengan saya. Sikapnya yang rajin dan mengambil berat cukup menyenangkan saya," ujarnya kepada mStar Online.

Anzalna mendedahkan dia telah mengenali Hanif sejak lima tahun lalu dan hanya mula menjalinkan hubungan cinta setahun lepas.

Anzalna

Dalam pada itu, Anzalna berkata dia tidak mempersoalkan tanggapan masyarakat yang mempertikaikan keakraban mereka berdua kerana hubungan itu mendapat kepercayaan keluarga masing-masing.

"Lebih baik ditemani oleh orang yang kita percayai dan sanggup mengorbankan masa dan boleh bertolak ansur untuk menemani saya," katanya.

Sementara itu bercakap mengenai perkahwinan, Anzalna berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun tanpa ikatan pertunangan.

Tambah Anzalna, kedua-dua mereka mengambil pendekatan untuk mengumpul wang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menjadi suami isteri.

Dalam perkembangan lain, Anzalna tampil dalam drama bersiri adaptasi novel popular berjudul Adam dan Hawa yang turut dibintangi oleh Aaron Aziz dan Nadiya Nisa di saluran Astro Mustika HD (saluran 134) bermula malam Isnin lalu.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI