Tampilkan postingan dengan label Artis Kena Saman. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Kena Saman. Tampilkan semua postingan

Emma Maembong Terkejut Kerana Bakal Disaman Oleh Syarikat Pengurusannya

|| || ,,, || Leave a komentar



Pelakon cantik Emma Maembong terkejut apabila mendengar laporan media baru-baru ini yang dia bakal dikenakan tindakan saman oleh syarikat pengurusannya, Wire Fame Entertainment (WFE) atas dakwaan Emma dikatakan melanggar kontrak apabila menerima tawaran berlakon telefilem "Bintang Hati" yang menjalani penggambaran awal Mei lalu tanpa pengetahuan WFE.

Mengulas mengenai kenyataan tersebut kekasih kepada pelakon dan pelawak Zizan Razak ini berkata, sejujurnya dia tidak tahu punca sebenar mengapa dia perlu dikenakan tindakan sebegitu. Sedangkan selama ini dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan pihak pengurusan apatah lagi melanggar kontrak.

Malahan memandang kontraknya bersama syarikat berkenaan telah tamat Mac lalu, namun sebelum itu Emma ada berbincang mengenai beberapa perkara dan mereka mencapai kata sepakat.

"Pihak pengurusan ada berjumpa dengan saya. Mereka kata, walaupun kontrak saya tamat pada Mac 2014 tetapi saya masih lagi berada di bawah pengurusan mereka memandangkan ada beberapa kontrak iaitu dari segi sebagai duta untuk beberapa jenama akan tamat dalam masa tiga bulan lagi.

"Justeru mereka mencadangkan pada saya, bawa hal tentang kerjaya lakonan saya, mereka serahkan pada saya untuk uruskan sendiri. Sementara mengenai hal sebagai duta untuk beberapa produk yang saya wakili, mereka akan uruskan sehingga kontrak saya dengan produk-produk berkenaan tamat. Atas perbincangan mulut ke mulut, pihak pengurusan dan saya bersetuju.

"Jadi bila ada pihak produksi yang menelefon saya dan menawarkan saya berlakon, saya yang membuat keputusan. Sebelum itu saya ada bertanya juga pada produksi tersebut dari mana mereka dapat nombor saya. Pihak produksi memberitahu pengurusan saya yang memberikan nombor telefon saya pada mereka.

"Bererti memang mereka mahu saya uruskan sendiri kerjaya lakonan saya. Kenapa pula tiba-tiba hendak dakwa saya langgar kontrak? Saya tak amil job dalam diam", jelasnya dengan panjang lebar ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Per'l, bertempat di hotel Majestic, Kuala Lumpur, semalam.



Tambah Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail Maembong, dia agak terkilan kerana pada perbincangan tempoh hari, kedua-dua pihak telah bersetuju.

Lain pula cerita apabila sekitar beberapa minggu lalu dia menerima notis daripada WFE yangg memaklumkan bahawa kontraknya telah ditamatkan. Bingung dengan kehadiran notis tersebut namun kata gadis kacukan Melayu-Scotland ini, dia sememangnya mahu berjumpa dengan pengurusannya dan bertanyakan apa sebenarnya kesalahan yang telah dilakukannya.

"Baru-baru ini saya ada terima notis kontrak saya ditamatkan. Setahu saya meang kontrak saya sudah tamat Mac lalu. Saya kurang jelas dengan notis tersebut. Saya memang nak berjumpa pihak pengurusan dan bertanya pada mereka apa sebenarnya salah saya. Tapi saya tak tahu lagi bila saya ada kesempatan berjumpa mereka. Saya tunggu juga mereka datang jumpa saya", ujarnya.

Berkenaan hal saman itu, Emma sejujurnya tidak bersedia untuk berdepan dengan kes tersebut kerana baginya tiada apa yang perlu dilawankan. Namun dia berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik sebelum dia betul-betul melangka keluar dari syarikat yang melonjakkan nama dan popularitinya sejak dari aeal dia bergelar pelakon.

"Setakat ini tiada pula apa-apa surat saman yang saya terima. Sebenarnya saya tak bersedia apa-apa pun untuk berdepan dengan saman tersebut kerana tiada apa yang perlu dilawankan. Mungkin salah saya juga sebab semasa persetujuan ketika pertemuan saya tempoh hari itu, kami tiada apa-apa black & white kerana saya percaya mereka. Dan mungkin mereka ada kontrak awal saya, dan di situ mereka menang.

"Tapi apapun, saya sayang WFE sebab kerjaya saya bermula dari situ. Mereka sudah seperti keluarga saya. Tak dinafi sepanjang berada di bawah pengurusan syarikat itu pernah juga saya melakukan kesilapan tetapi setelah ditegur, saya cuba perbaiki. Saya pun tidak faham kenapa tiba-tiba jadi lain pula. Dulu kata susah senang bersama, we're like sisters. Di Instagram siap kononnya #matisamasama lah... sekarang #foreveralone", tutur Emma dengan nada sinis.


- mD

Zahida Rafik Gagal Ketepikan Saman Bekas Pemandu Peribadinya

|| || ,,, || Leave a komentar



KUALA LUMPUR: Pelakon Zahida Rafik hari ini gagal mengetepikan saman yang difailkan bekas pemandu peribadinya berhubung tuduhan memfitnah dalam sebuah akhbar tabloid berkaitan kehilangan wang RM200,000.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Zahida untuk mengetepikan saman yang difailkan Noor Azman Azemi serta memerintahkan Zahida membayar kos RM3,500 kepada lelaki itu.

Hue membuat keputusan itu di dalam kamarnya di hadapan peguam Latheefa Koya yang mewakili Noor Azman dan Jeffrey John yang mewakili Zahida.


Noor Azman Azemi (kiri) bersama peguam Latheefa Koya.


Latheefa memberitahu pemberita bahawa Hue menolak permohonan itu atas alasan saman berkenaan bukan suatu kes yang patut ditolak dan mahkamah menetapkan 20 dan 21 Okt untuk perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah juga menolak permohonan defendan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 27 Nov tahun lepas, Noor Azman memfailkan saman yang mendakwa pelakon terbabit, yang berlakon dalam filem 'Anak Mami The Movie', secara salah dan berniat jahat membuat kenyataan berunsur memfitnah dalam sebuah artikel yang disiarkan akhbar berkenaan pada 3 Mac tahun lepas.

Noor Azman mendakwa Zahida menuduhnya melesapkan wang itu, yang sepatutnya dimasukkannya ke dalam akaun bank pelakon tersebut.

Menurut Noor Azman, kenyataan itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak amanah, pencuri dan penjenayah serta mencemar nama baiknya dan merosakkan peluangnya untuk mendapat pekerjaan.

Menurut Noor Azman dia direman polis selama empat hari selepas Zahida, 39, membuat laporan polis terhadapnya berhubung kehilangan wang itu.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. - Bernama

Pelakon Wan Nor Azlin Gagal Batalkan Saman Bapa Sendiri

|| || ,, || Leave a komentar
Wan Nor Azlin


 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pelakon Wan Nor Azlin untuk mengenepikan writ saman difailkan oleh bapanya bagi mendapatkan perintah pengosongan sebuah rumah di Taman Sri Keramat yang merupakan harta sepancarian dengan arwah ibunya.

Hakim Rosilah Yop menolak permohonan Wan Nor Azlin dengan kos sebanyak RM2,000 dalam kamar beliau di sini semalam.

Peguam Nuraini Atiqah Abdul Aziz yang mewakili Wan Nor Azlin, 45, dan Razila Rashid bagi pihak Wan Mohd. Husain, 76, hadir mendengar keputusan itu.

Sementara itu Nuraini ketika ditemui berkata, mahkamah membuat keputusannya selepas memutuskan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman itu.

Dalam permohonannya untuk membatalkan saman difailkan Wan Mohd. Husain pada 20 Mac lalu, Wan Nor Azlin berkata, mahkamah tiada bidang kuasa ke atasnya kerana terdapat perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam berhubung tuntutan bapanya.

Berdasarkan afidavit difailkan Wan Mohd Husain, 76, dia mendakwa tinggal di rumah itu bersama isterinya sehingga wanita itu meninggal dunia pada 2008.
Selepas isterinya meninggal dunia, Wan Mohd Husain mengajak Wan Nor Azlin tinggal bersama dan anaknya tidak pernah membayar sewa bulanan atau sebarang bil.

Pada pertengahan 2011, Wan Mohd Husain mahu menjual rumah itu dan meminta anaknya mengosongkan rumah bagi memudahkan proses itu.
Bagaimanapun Wan Mohd Husain berkata, Wan Nor Azlin gagal berbuat demikian dan mendakwa dia mempunyai kepentingan dalam rumah itu kerana ada memasang kabinet dapur dan almari.

Wan Mohd Husain mendakwa selain membuat gangguan terhadap proses jual beli rumah itu, Wan Nor Azlin juga mendapatkan kaveat persendirian terhadap rumah itu.Tindakan itu menyebabkan Wan Mohd Husain trauma dan terpaksa menyewa rumah lain.

Oleh itu, Wan Mohd Husain memohon perintah Mahkamah bagi mendapatkan hak milikan rumah itu, membatalkan kaveat tanah yang dibuat Wan Nor Azlin, ganti rugi dan kos lain.

Sementara itu, pada 21 Mac lalu, Wan Nor Azlin memohon untuk mendapatkan deklarasi bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam memutuskan perihal rumah itu.


Bekas kekasih saman Shakira, tuntut RM300 juta

|| || ,, || Leave a komentar
Shakira (kanan) bersama bekas kekasihnya, Antonio de la Rua

 

BINTANG pop Colombia Shakira disaman RM300 juta oleh bekas teman lelakinya, yang pernah menjadi pengurus perniagaannya selama enam tahun.

Antonio de la Rua menuntut bahawa dia adalah 'arkitek utama' perancangan perniagaan yang membuatkan penyanyi itu mencapai status bintang global.

Dia memohon agar mahkamah mengeluarkan satu perintah ke atas Shakhir menyerahkan 'bahagian perkongsian keuntungan lalu dan masa depan,' menurut kertas yang difailkan di New York.

Shakira pula menyaman de la Rua atas penyelewengan dana.

Kes undang-undang Shakira itu, yang difailkan di Bahamas Oktober lalu menuduh de la Rua membayar sendiri bonus yang tidak dibenarkan dan menggunakan dana dari perkongsian perniagaan mereka untuk membayar perbelanjaan peribadi.

Namun, de la Rua menafikan dakwaan tersebut.

Pasangan itu bertemu pada 2000 sejurus selepas de la Rua menguruskan kempen ayahnya, Fernando untuk menjadi Presiden Argentina.

Memandangkan mereka terlibat dalam hubungan romantik, de la Rua kerap menyertai Shakira dalam pelancongan dunia pertama penyanyi itu - The Tour Of The Mongoose.

Dalam tuntutannya, de la Rua menerangkan bagaimana bintang itu 'terkejut' apabila mengetahui jelajah itu telah mengalami 'kerugian'.

Berita itu menyebabkan tekanan emosi yang melampau dan mengganggu keupayaan untuk tidur dan melakukan persembahan.

Pengurusnya ketika itu dipecat dan diambil alih oleh de la Rua.

Mereka bersetuju de la Rua akan berhak untuk berkongsi keuntungan dari muzik dan usaha perniagaan dalam pertukaran untuk sumbangan perniagaan beliau dan kemahiran pemasaran, pengetahuan dan kepakarannya.

Kertas mahkamah de la Rua mengakui bahawa perkongsian itu, yang bermula pada 2004, hanya berdasarkan perjanjian lisan.

Kertas mahkamah itu menambah: "Gabungan perniagaan dan pemasaran de la Rua dengan bakat seni defendan, kecantikan dan rayuan seks berjaya dalam menggerakkan nilai perkongsian juah melebihi sama ada sebelum ini telah dicapai atau dipercayai mungkin."

Apabila pasangan ini berpisah pada 2010, Shakira mengumumkan dengan menekankan "kami tetap menjadi pasangan dalam perniagaan kami dan kehidupan profesional."

Tetapi setahun kemudian, pada Oktober 2011, bintang pop ini mengarahkan peguamnya untuk menamatkan de la Rua, seolah-olah dia adalah seorang pekerja semata-mata, dakwa kertas undang-undang tersebut.

De la Rua berkata, dia tidak menerima bahagiannya sejak itu dan dia menuntut bayaran tidak kurang dari RM 300 juta.

Bintang itu sedang menanti kelahiran anak pertamanya.

Aidil Zafuan Disaman Kerana Tidak Beri Nafkah Anak dan Isteri

|| || ,,,,, || Leave a komentar
 Aidil Zafuan

Rita Rudaini bersama anak-anaknya 
 
PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak telah difailkan saman kerana gagal menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah semasa kepada anak dan isterinya, pelakon Rita Rudaini.

Peguam syarie Rita (plaintif), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain berkata, surat saman telahpun dihantar ke alamat rumah ibu bapa Aidil di Seremban, Negeri Sembilan, namun tiada sebarang maklum balas yang diberikan.

"Sebenarnya kami telah memfailkan saman sejak dua bulan yang lepas tetapi pihak kami tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Aidil. Justeru itu kami memohon penyampaian secara tampalan daripada pihak mahkamah.

"Ia merupakan saman gantian dimana pihak kami akan menampal notis saman di rumah Aidil di Seremban, tempat kerja Aidil iaitu di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Angkatan tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Zaidi ditemui selepas kes sebutan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Isnin. Beliau hadir seorang diri tanpa ditemani anak guamnya, Rita.

Hakim syarie, Abd Halim Abu Samah telah menetapkan 13 Disember depan sebagai tarikh kes sebutan berkenaan dengan permohonan yang dibuat oleh pihak plaintif.

Sementara itu, Aidil, yang dihubungi mStar Online berkata, sehingga kini dia tidak mendapat sebarang surat saman daripada pihak isterinya itu.

"Walau sesibuk mana sekalipun, saya tidak akan mengabaikan hal-hal berkaitan mahkamah dan jujur saya katakan, saya atau pihak keluarga tidak mendapat sebarang surat saman daripada Rita.

"Kalau ada, sudah semestinya saya akan memberi surat balas atau membawa perkara ini merujuk kepada peguam saya," tegasnya.

Rita, 35 dan Aidil, 25, bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah yang berpanjangan.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Pada Januari lalu Aidil bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara dekat sini ketika Rita bersama anak-anak pulang ke kampung halamannya di Perlis.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK