Tampilkan postingan dengan label Kemelut Rumah Tangga Artis. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kemelut Rumah Tangga Artis. Tampilkan semua postingan

Panas!! Rumah Tangga Adam AF2 dan Fiza Elite Goyang?

|| || ,,, || Leave a komentar
Adam AF2 dan Fiza Elite mendirikan rumah tangga pada 26 Sepetember 2013.
 


PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Adam (AF2) memohon diberi sedikit masa untuk dia mengumumkan kedudukan status rumah dengan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza yang didakwa goyah.

Adam atau nama sebenar Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia enggan mengulas panjang tentang dakwaan keretakan rumah tangganya dan berharap peminat mendoakan yang terbaik.|

“Saya tidak mahu komen panjang tentang perkara ini, doakan sahaja yang terbaik untuk rumah tangga kami.

Apa-apa berita tentang rumah tangga kami, Insya-Allah saya akan beritahu kelak,” katanya kepada mStar Online, ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pra tonton filem Bahaya Cinta, di TGV One Utama, di sini, Rabu.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang rumah tangga yang dibina pada 26 September 2013 dikatakan sedang mengalami masalah.

Tambah Adam mengulas tentang gossip tersebut,  dia akui sebagai selebriti segala berita baik dan buruk  akan dapat dihidu oleh pihak media dan masyarakat.

“Apa yang saya boleh cakap kami baik-baik sahaja dan tidak bergaduh, kami cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Saya anggap ia sebagai satu ujian,” katanya.

Sementara itu, Adam turut menafikan dakwaan melarikan diri daripada media bagi mengelak ditanya isu tersebut dalam sebuah majlis baru-baru ini.

Dia terpaksa pulang awal dan membatalkan beberapa sesi fotografi kerana mempunyai masalah peribadi yang terpaksa diselesaikan.

“Saya balik awal pada majlis berkenaan minggu lalu sebab ada hal peribadi, manakala saya terpaksa membatalkan sebuah sesi fotografi kerana mahu pulang ke Sabah berikutan ada perkara peribadi yang perlu diuruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Adam melakonkan watak Iskandar dalam filem Bahaya Cinta yang merupakan filem kerjasama dengan penerbit dari negara Vietnam. Ia bakal ditayangkan pada 1 Mei Depan.


Oleh: KEMALIA OTHMAN
kamelia@thestar.com.my

Noniswara Dituduh Sewel Gara-Gara Kes Cerai

|| || ,,,, || Leave a komentar
Noniswara mahu menyelesaikan kes penceraiannya secepat mungkin.
 

PETALING JAYA: Dramatis Noniswara kecewa apabila ada pihak melemparkan kata-kata negatif kononnya dia enggan berpisah dengan suaminya selepas menarik balik permohonan cerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah dekat sini pada 18 April lalu.

Nonis atau nama sebenarnya, Monis Wara Baharudin, 43, berkata, keputusannya itu mengundang persepsi tidak benar sesetengah pihak yang beranggapan dia seperti mahu berbaik-baik dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan.

"Saya menarik balik tuntutan itu kerana tidak mendapat kerjasama suami untuk bercerai secara baik di mahkamah apabila dia enggan menerima surat saman atau hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes kami.

"Ramai menyangka saya tidak jadi bercerai dan mula melemparkan kata-kata negatif dengan mengatakan saya perempuan 'ting tong', 'sewel' dan 'gila talak'," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Tambah Nonis, dia dan peguamnya, Datuk Amli Embong telah berbincang untuk menuntut penceraian secara fasakh terhadap Rosman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan hampir setahun.

"Saya mahu bercerai secara baik dan enggan kisah 'dalam kain' dibongkar di mahkamah tetapi dia enggan memberikan kerjasama dan mengelak daripada menyelesaikan masalah.


Maznah Zulkifli dikaitkan dengan keretakan rumah tangga dramatis itu dengan suaminya.
 

"Ini jalan yang terpaksa dipilih (tuntutan fasakh)," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan sebuah akhbar pada Ahad yang mengaitkan pelakon Maznah Zulkifli sebagai orang ketiga kepada keretakan rumah tangganya, Nonis enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Jelasnya, apa yang lebih penting sekarang dia dapat menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan segera dan tidak mahu memikirkan soal lain buat ketika ini.

"Saya tidak mahu mengulas kerana tidak mahu ia menjadi bertambah buruk tambahan pula ia bukan urusan saya. Apa yang penting sekarang kes penceraian saya dapat diselesaikan dengan baik.

"Dengan wanita mana dia (suami) mempunyai hubungan ia tiada kaitan dengan saya," katanya.

Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.

Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Noniswara Tarik Balik Permohonan Cerai

|| || ,,, || Leave a komentar
Noniswara menarik balik permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Datuk Rosman Ridzwan dan akan mempertimbangkan untuk memohon cerai secara fasakh atau taklik.
 

KUALA LUMPUR: Pelakon Noniswara menarik balik permohonan cerai secara baik dengan kebenaran mahkamah terhadap suaminya, Datuk Rosman Ridzwan pada sebutan kes pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Nonis atau nama sebenarnya, Monis Wara Baharudin, 43, mengambil tindakan itu selepas masih gagal menyerahkan surat saman permohonan cerai yang difailkan sebelum ini terhadap suaminya.

Hakim Syarie, Muhammad Jimmy Muhammad Azlin membenarkan permohonan Nonis sebagai plaintif.

Muhammad Jimmy juga tidak mempunyai halangan sekiranya plaintif ingin mengemukakan permohonan lain dengan kebenaran undang-undang syariah jika ingin berbuat demikian.

Kes pasangan itu sebelum ini dibicarakan di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).

Peguamnya, Datuk Amli Embong ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan plaintif tindakan selanjutnya sama ada untuk memohon penceraian secara fasakh atau pun taklik.

"Tidak menjadi masalah untuk plaintif membuat permohonan lain selepas ini dan perkara itu akan kami bincangkan.

"Buat masa ini menarik balik kes itu adalah yang terbaik kerana pihak plaintif gagal untuk menyerahkan surat saman kepada defendan (Rosman) yang tidak dapat dihubungi dan mengelak daripada hadir ke perbicaraan kes.

"Insya-Allah kita akan failkan semula kes ini dalam masa terdekat," jelasnya.

Sementara itu, Nonis ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia sudah cuba sedaya upaya untuk menyerahkan surat saman kepada suaminya dan menyelesaikan masalah di antara mereka secara baik namun gagal.

"Suami ada memberitahu saya dia ke luar negara tetapi saya merasakan dia tidak bercakap benar. Malah panggilan telefon dan SMS berkaitan kes kami tidak berjawab dan saya pelik dengan tindakannya," kata Nonis.

Nonis turut memberitahu dia seboleh-bolehnya tidak mahu kemelut rumah tangganya dengan suami dibongkar di mahkamah sekiranya mengambil langkah memfailkan permohonan cerai secara fasakh atau pun taklik.

"Sebab itu saya mahu perpisahan ini berakhir dengan baik dan bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain tetapi dia tidak mahu memberi kerjasama walaupun pada awalnya dia sendiri yang minta saya failkan penceraian," jelasnya.

Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.

Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Bapa Aidil Zafuan Kecewa Dengan Tindakan Rita Rudaini

|| || ,,,, || Leave a komentar
Bapa Aidil Zafuan, Abd Radzak Salleh (kanan) bersama peguam, Noor Ariff ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, semalam.
 

SEREMBAN – Pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 37, gagal menghantar wakil  jawatankuasa pendamai bagi proses permohonan cerai dengan suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 26, seperti mana diarahkan Mahkamah Syariah, sebelum ini.

Kegagalan Rita itu mengundang rasa kecewa bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 64, yang hadir di mahkamah, semalam bagi mewakili anaknya.

“Saya sebagai orang tua, saya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, tetapi tindakan Rita yang tidak menghantar wakil menyebabkan saya kecewa.

“Saya berharap masalah mereka ini dapat diselesaikan segera kerana lagi banyak masa diambil, lagi banyak cerita yang tidak baik timbul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah, semalam.

Kegagalan Rita itu menyebabkan mahkamah menetapkan satu lagi tarikh iaitu 3 April ini untuk Rita menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.



Peguam Aidil, Noor Ariff Delia Ramli berkata, beliau ada menerima surat daripada peguam Rita kelmarin yang memberitahu bahawa wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.

“Sebenarnya, jika tidak dapat hadir sekali pun, pihak Rita boleh menghantar nama wakilnya itu kepada saya atau mahkamah dan proses ini boleh diteruskan.

“Apa yang berlaku sekarang satu lagi tarikh terpaksa ditetapkan berikutan kegagalan pihak defendan menamakan wakil mereka dan sekiranya beliau masih gagal lagi saya akan mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan terus dijalankan tanpa perlu menunggu keputusan jawatankuasa pendamai,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, mahkamah mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan selepas permohonan cerai Mohamad Aidil dibantah Rita.

Dalam jawatankuasa tersebut, kedua-dua pihak dikehendaki menghantar seorang wakil yang terdiri keluarga terdekat untuk mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah.

OLEH HAMIZAH BASIR

Aidil Zafuan Dakwa Rita Rudaini 'Berlakon'

|| || ,,,, || Leave a komentar
AIDIL Zafuan mengaku sudah tidak sayangkan Rita. 



SEREMBAN - Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak meminta isterinya, Rita Rudaini Mokhtar supaya hentikan sandiwara dan segera menamatkan krisis rumah tangga mereka yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu.

Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam diberitahu bahawa pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar pernah dua kali meminta cerai sepanjang tempoh perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.


 RITA Rudaini di mahkamah rendah syariah, semalam.


Desakan itu dibuat selepas Rita Rudaini, 37, yang merupakan seorang pelakon membantah permohonan cerai yang difailkan Aidil Zafuan, 26, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, dengan alasan masih sayangkan suaminya itu.

"Kalau dia masih sayangkan saya, kenapa dia tidak mengikut arahan saya sebagai seorang suami. Saya bukan meminta dia membuat perkara yang tidak baik.

"Saya harap dia berhenti 'berlakon' seolah-olah masih sayangkan saya, kerana banyak kenyataannya di dalam akhbar sebelum ini mengaibkan saya sebagai seorang suami," tegas pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim itu kepada media sejurus prosiding.

Peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan Aidil Zafuan selaku plaintif, malah Mohd Zaidi juga mencadangkan supaya diadakan perbincangan melalui Jawatankuasa Pendamai untuk kedua-dua pihak bersemuka selepas plaintif meninggalkan rumah lebih setahun lalu.

Rita Rudaini Tuntut Aidil Zafuan Jelaskan Sebab-Sebab Mahu Bercerai

|| || ,,, || Leave a komentar
Rita bersama peguamnya, Zaidi Zain. Foto Rotikaya

 
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini, mahu suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Aidil Zafuan Abd. Radzak pada Isnin memberi alasan kukuh sebab-sebab ingin berpisah sebelum mereka bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, di sini.

Aidil, 26, telah memfailkan penceraian terhadap Rita, 37, buat kali kedua selepas menarik balik permohonan untuk bercerai dengan isterinya itu pada Mei tahun lalu di mahkamah sama.

Menurut peguam Rita, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain, pelakon itu tidak bersetuju dengan permohonan cerai Aidil memandangkan mereka tidak pernah berbincang secara bersemuka sejak Aidil keluar dari rumah setahun lalu.

"Seperti kes sebelum ini, Rita ingin menuntut alasan kukuh kenapa Aidil mahu menceraikannya dan dia tidak bersetuju dengan permohonan itu selagi mereka tidak bersemuka untuk berbincang.


 Aidil Zafuan bersama peguamnya. Foto Rotikaya

"Selain itu, Rita ingin berbincang tentang banyak perkara termasuk berkenaan dengan hal anak sebelum bersetuju dengan keputusan itu (bercerai)," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Tambah Zaidi lagi, Rita berbuat demikian kerana enggan Aidil lepas tangan daripada tanggungjawabnya sebagai bapa kepada dua anak lelaki mereka iaitu Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Terdahulu, Aidil telah membuat permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban dan permohonan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

Bagaimanapun, mahkamah menunda kes pasangan itu dan menetapkan tarikh baru iaitu 8 Mac 2013 bagi membolehkan kedua-dua pihak melantik Jawatankuasa Khas Pendamai di Pejabat Agama Islam, Daerah Seremban.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Rita Rudaini Tetap Saman Suami

|| || ,,,, || Leave a komentar
RITA RUDAINI bersama dua orang anaknya lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.

"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.

"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.

Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).

Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.

"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.

"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.

Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.

"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.

Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."

Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.

"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.

Ana Dahlia Kesal Kerana Kahwin Terburu-Buru

|| || ,,, || Leave a komentar
Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai baru-baru ini.

PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia tidak berasa bimbang dengan konflik rumah tangganya dengan Chef Riz kerana masalah itu mendapat sokongan daripada keluarga mertuanya iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.

Mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang kenyataan, Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, menjelaskan suaminya lebih mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka.

"Saya bersyukur kerana dalam keadaan sekarang saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga saya dan mertua terutama Papa (Chef Wan) yang sentiasa berada di belakang saya.

"Malah hubungan saya dengan Papa masih rapat dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya.

"Dalam hal ini, Riz lebih mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga kami," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama slot Akasia berjudul Cinta Itu Milikku di sini pada petang Isnin.

Gosip terbaru mengenai perkahwinan Ana dengan anak lelaki chef tersohor, Chef Wan itu kembali diperkatakan apabila Ana didakwa kerap keluar bersama bekas teman lelakinya.

Bagaimanapun pelakon itu menafikan tuduhan tersebut termasuklah kononnya dia berlaku curang.

Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.

Dalam pada itu, Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai.

Menurut Ana, dia percaya cerita sebenar di sebalik gosip rumah tangga mereka akan dapat dihidu sendiri oleh pihak media suatu hari nanti.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu dan rasanya pihak media sendiri akan tahu sama ada perkara itu benar atau pun tidak," jelasnya.

Bagaimanapun kata Ana, dia mengakui kesal apabila mengambil keputusan terburu-buru berkahwin dengan Riz selepas tiga bulan berkenalan tanpa berfikir panjang.

"Saya akui tempoh perkenalan kami singkat dan terlalu terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi apa yang membuatkan saya bersetuju adalah kerana keluarganya cukup baik dengan saya," jelasnya.

  
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.

Sementara itu, Ana berkata, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan terhadap rumah tangganya yang dibina tidak sampai setahun itu.

Dia juga yakin telah melakukan yang terbaik sebagai isteri namun masih menyimpan hasrat agar ia akan berakhir dengan baik.

"Saya mohon jangan menilai diri saya hanya dengan penyebaran cerita yang tidak benar kerana itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah.

"Bagaimanapun saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.

Berikut adalah beberapa soalan yang diutarakan oleh pihak media kepada Ana mengenai kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya:

1. Sejauh mana kebenaran kononnya rumah tangga Ana dan Riz dikatakan sedang bermasalah?

Saya mengakui rumah tangga kami mempunyai masalah tetapi rasanya saya tidak perlu memberikan butiran mengenainya kerana ingin menjaga aib diri saya dan suami.

2. Sejauh mana kebenaran Ana dikatakan curang?

Saya tidak pernah mendekati mana-mana lelaki atau pun curang terhadap suami saya. Riz lebih mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangga kami.

3. Benarkah Ana dan Riz ada ke mahkamah untuk mengambil borang permohonan cerai?

Saya tiada komen mengenai perkara itu dan rasanya pihak media akan mengetahui sendiri sama ada cerita itu benar atau pun tidak.

4. Apa kata bapa mertua Ana iaitu Chef Wan mengenai pergolakan rumah tangga anda berdua?

Papa (Chef Wan) adalah seorang yang cukup bijak dan pemikirannya sangat tajam walaupun dia kadang-kadang agak lantang bersuara.Mengenai masalah kami berdua, saya boleh katakan Papa berada di belakang saya dalam menghadapi kemelut ini dan saya sangat bersyukur keluarga berada di sisi saya.

5. Apakah status Ana dengan Riz buat masa ini? Masih suami isteri?

Saya tiada komen mengenai perkara itu. Ia adalah peribadi.

6. Ana sudah bersedia sekiranya masalah ini akan terbongkar kelak?

Ya saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Rumah Tangga Chef Riz Dan Ana Dahlia Sedang Bergolak

|| || ,,, || Leave a komentar
Chef Riz dan Ana melangsungkan perkahwinan pada 1 Disember tahun lalu.
 

PETALING JAYA: Chef selebriti, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum mencapai usia setahun kini sedang bergolak.

Chef Riz dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo! pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas tentang dakwaan kononnya mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.

"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.

"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.

Sebelum ini rumah tangga mereka dikatakan bergolak apabila Ana dikatakan telah berbaik dengan bekas teman lelakinya pada pertengahan Oktober lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Ana yang menganggap ia sebagai kontroversi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan.

Chef Riz, bernikah dengan Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, pada 11 Disember 2011.

Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda.

Hakim Tegur Aidil Zafuan Kerana Tidak Pernah Hadir Mahkamah

|| || ,,, || Leave a komentar
Aidil Zafuan ditegur Hakim kerana tidak pernah menghadirkan diri ke Mahkamah.


PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini, Rabu menetapkan 7 November depan sebagai tarikh keputusan berhubung bantahan awal dibuat pelakon Rita Rudaini Mokhtar terhadap permohonan kembali taat oleh suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.

Menurut laporan Sinar Harian, pada Khamis, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita memaklumkan pihaknya sudah memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan Aidil mengenai bantahan isterinya itu.

Bantahan dibangkitkan Rita adalah berhubung kesilapan pada isu pemastautin Aidil yang dikemukakan dalam permohonan tersebut.


 Rita Rudaini


Peguam syarie, Ahmad Nazib Johari juga mewakili Aidil memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir.

Ahmad Nazib kemudian menyerahkan dokumen pengesahan ketidakhadiran Aidil ke mahkamah kerana anak guamnya menjalani latihan bola sepak selama dua minggu di Austria.

Tindakan itu mendapat teguran daripada Saharuddin kerana Aidil, selaku plaintif sebelum ini, tidak pernah langsung menghadirkan diri untuk kes itu atas alasan mempunyai jadual perlawanan ketat.

“Pada tarikh lalu anak guam tidak hadir, hari ini (Rabu) pun tidak hadir. Peguam tolong nasihatkan anak guam baik-baik.

“Sepatutnya bila tidak hadir terus kemukakan dokumen sebagai bukti kerana perlawanan sudah ditetapkan lebih awal,” katanya.

Saharuddin berkata demikian selepas menerima jadual perlawanan bola yang diserahkan Ahmad Nazib.

Rita Rudaini Menang Kes,Mahkamah Batal Permohonan Aidil Zafuan Dapatkan Hak Penjagaan Anak

|| || ,,, || Leave a komentar
Rita Rudaini


SHAH ALAM – “Saya bersyukur kepada ALLAH kerana kebenaran telah terbukti.”

Demikian kata pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar dengan nada gembira selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan permohonan suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak untuk mendapatkan hak penjagaan (hadanah) ke atas dua anak mereka.

Rita mengakui tidak pernah melakukan kesalahan dan tidak pernah berasa takut dengan apa yang dilakukan oleh Aidil Zafuan.

“Saya benarkan Aidil Zafuan jumpa anak. Selepas tiga bulan beliau menghilangkan diri, Aidil Zafuan pernah bertemu dengan anak sebanyak empat kali.

“Bukan saya yang keluar rumah bawa anak. Jika dia (Aidil Zafuan) maklumkan kepada saya untuk jumpa anak, saya akan benarkan jika saya dan anak ada di rumah,” katanya.

Sebelum itu, Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menerima bantahan awal Rita berhubung status permaustautin pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan.

Menurutnya, Aidil Zafuan gagal membuktikan yang dia tinggal di USJ Subang Jaya kerana tidak mengemukakan alamat tempat tinggal secara kursus kepada mahkamah.

“Justeru, mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan plantif,” katanya.

Mohamed Fouzi juga memerintahkan Aidil Zafuan membayar kos RM3,000 kepada Rita.

Rita, 36, berbaju kurung moden biru tiba di mahkamah jam 9.25 pagi manakala suaminya tidak hadir dan diwakili peguam Norasyada Osman.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain ketika ditemui di luar mahkamah berkata, bantahan awal berkenaan difailkan anak guamnya terhadap Aidil Zafuan membabitkan isu tempat tinggal.

Katanya, Aidil Zafuan menggunakan alamat rumah yang didiami Rita di Damansara ketika permohonan hak penjagaan anak difailkan sedangkan beliau mengakui sudah meninggalkan rumah berkenaan sejak Januari tahun ini.

Beliau berkata, alamat penyampaian yang digunakan peguam Aidil Zafuan juga adalah alamat di Negeri Sembilan.

“Beliau kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau sudah berpindah ke USJ 1, tetapi tidak pernah pada bila-bila masa, dalam dokumen yang digunakan dalam prosiding itu,” katanya.

Permohonan hak penjagaan anak difailkan Aidil Zafuan pada 20 Jun lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan diserahkan kepada isterinya pada 27 Jun lalu.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.

Media sebelum ini melaporkan rumah tangga pasangan suami isteri itu tegang apabila Aidil Zafuan keluar dari rumah mereka di Damansara. – SINAR HARIAN

Rita Rudaini Terima SMS Ugutan Daripada Suaminya

|| || ,,,, || Leave a komentar
 Rita Rudaini dan Aidil Zafuan bersama anak-anak mereka.(Gambar fail)

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar telah menerima mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berbau ugutan daripada suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak selepas wanita itu membuat kenyataan mengenai rumah tangga mereka dalam Melodi di TV3 pada Ahad.

Rita, 36, dalam mesejnya kepada wartawan mStar Online memberitahu, dia menerima SMS daripada Aidil, 25, yang antara lain berhasrat mahu membalas dendam dengan memalukan Rita dalam rancangan tersebut.

“Dia ada hantar mesej kepada Rita melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Rita dalam Melodi hari ini (Ahad).

"Dia ugut nak malukan Rita dalam rancangan itu juga sebaik sahaja dia pulang daripada menjalani latihan bola sepak di luar negara,” kata Rita pada Ahad.

Menerusi rancangan Melodi itu Rita yang ditemu bual wartawan Azmi Jamsari mendedahkan hatinya sudah tertutup terhadap Aidil selain kecewa dengan sikap suaminya yang dilihat tidak matang dalam menguruskan rumah tangga.

Rita menerima SMS berbau ugutan daripada suaminya, Aidil Zafuan.

Malah Rita juga memberitahu Aidil sebenarnya sudah termakan hasutan pihak ketiga yang akhirnya menyebabkan rumah tangga mereka semakin parah dan tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Rita dalam Melodi itu juga turut menyerahkan kepada takdir bagi menentukan jodohnya dengan suami.

Dalam perkembangan berkaitan Rita menambah, selama ini Aidil juga banyak memberi kenyataan termasuklah melalui rancangan hiburan tersebut tetapi dia mengambil peluang untuk tidak melenting.

Bagaimanapun Rita kecewa apabila kenyataannya pada Ahad mendapat reaksi negatif daripada Aidil sehingga sanggup menghantar SMS berbentuk ugutan.

“Bila dia cakap di Melodi, Rita tak kacau pun tapi bila Rita pula yang bagi kenyataan, kenapa dia nak sakit hati?” soal Rita.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Pada Januari lalu Aidil bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara dekat sini ketika Rita bersama anak-anak pulang ke kampung halamannya di Perlis.

Oleh NIEZAM ABDULLAH