skip to main |
skip to sidebar
Home »
Archives for 2013-01-20
Unknown || Selasa, 22 Januari 2013 || Artis Gaduh,Artis Kontroversi,Artis Malaysia,Azwan Ali,Ummi Hafilda ||
Susulan dari cerita yang dikeluarkan oleh portal Murai.com mengenai kisah ibu kepada ahli politik, Azmin Ali, ahli perniagaan, Ummi Hafilda dan artis lelaki, Azwan Ali, yang dikatakan jatuh di bilik air pada malam persandingan Ummi Hafilda, hanya Azwan Ali sahaja yang mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut.
Seperti biasa, Azwan hanya mengeluarkan kenyataan melalui laman sosial Twitternya sahaja malam semalam.
Baru-baru ini,Ummi Hafilda telah pun melangsungkan perkahwinannya di rumah ibunya, di Kg. Klang Gate, Hulu Klang.
Pada malam persandingan Ummi Hafilda, dikhabarkan ibu mereka, Mak Tom telah jatuh dalam bilik air.
“Slm. Ko Henggat AKU HADAP Majlis JIJIKZ ko? Tuhan Bayar Cash! Malam yg SAMA? AMBULAN Masuk KAMPONG! Ada YG JATUH Bilik AIR coz Sial KO!”
“Slm. TUHAN MAHA ADIL ! Kes AMBULAN masuk KAMPUNG ? Tetengah MALAM BUTA? Insaf lah ! More BALA to come ! Eeeeeeee,” tulis Azwan.
Katanya lagi, kejadian itu adalah balasan di atas perbuatan Mak Tom dan Ummi Hafilda sendiri.
“Slm. What Goes Around ? HANJJJ around ! MUHASABAH la diri before BALA terus ke MUKA,” kata Azwan.
Seperti mana yang kita sedia maklum, dahulu, hubungan Azwan dan Ummi Hafilda tidak berapa baik walaupun mereka adalah adik-beradik kerana fahaman politik yang berbeza.
Malah, Ummi Hafilda juga tidak baik dengan abangnya, Azmin Ali, orang kuat dalam parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat.
Azwan juga turut mengikuti jejak langkah Azmin untuk bermusuhan dengan Ummi Hafilda.
Namun, atas takdir Tuhan, Azwan dan Ummi Hafilda berbaik semula dan Azwan sendiri berjanji untuk bercakap buruk terhadap Ummi Hafilda.
Tidak berapa lama selepas itu, Mak Tom pernah mengeluarkan kenyataan di media utama mengatakan dia kecewa dengan sikap anak lelakinya, Azmin Ali yang membelakangkan ibu dan keluarganya sendiri demi fahaman politiknya yang tegar.
Selepas itu, Azwan sekali lagi mengisytiharkan perang dengan Ummi Hafilda semula hingga kini.
Banyak jugalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Azwan di laman sosialnya itu.
Tambah Azwan lagi, dia hanya ada Azmin Ali dan Azman Ali sahaja sebagai adik-beradiknya, tiada orang lain lagi dalam dunia ini.
“Slm. DIVA AA Hanya ada FAMILI YB @AzminAli n AZMAN ALI dlm lebihan hidupNYA! Ko sapa JADAH? DO I CARE? SO?,” tulis artis kontroversi itu.
Apa-apa pun, jika benar Mak Tom jatuh sakit, sama-samalah kita doakan kesejahteraan ibu mereka agar kembali sembuh dan diberikan kesihatan yang baik. Amin.
Unknown || || Artis Malaysia,Hot Mama,Rozita Che Wan,Zain Saidin ||
22 Jan – Aktres drama "Miss Octopus", Rozita Che Wan atau lebih mesra dipanggil Che Ta enggan memberi kenyataan lanjut selepas Zain Saidin menyatakan hasrat untuk mengahwininya tahun ini.
"Itu kenyataan daripada Zain, saya tak nak komen apa-apa kerana bimbang apa yang saya katakan nanti akan buat dia kecil hati. Saya jadi serba salah dan pada masa yang sama kasihankan Zain," jelas Che Ta seperti dipetik dari Harian Metro.
Sebelum ini, peneraju utama drama "Oh My English" ini memberitahu sedia menamatkan zaman bujangnya penghujung tahun ini bersama Che Ta jika rezeki dan jodoh berpihak kepada mereka.
Walaubagaimanapun aktres kelahiran Alor Star, Kedah ini memberitahu, mengikut pemahamannya ia bukanlah dalam tempoh terdekat ini.
"Jawapan Zain itu diputar belit, membuatkan saya jadi pening kepala. Hubungan kami memang rapat dan dia seoranglah saya sedang berkawan sekarang, tetapi saya belum bersedia untuk berkahwin lagi.
"Sudah 10 tahun saya hidup solo dan terbiasa hidup sendiri. Anak-anak pun sudah besar. Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Saya bimbang bila berkahwin nanti, saya tidak dapat memikul tanggungjawab dan tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada rumah tangga.
"Zain memang menunggu detik itu, tetapi saya pula 50 - 50, ada pun tak apa, tak ada pun tak apa. Sebab itu apabila orang soal tentang nikah kahwin ini, saya hanya tersenyum sahaja," ujarnya.
Che Ta, 42, dan Zain, 29, dikatakan mula rapat selepas membintangi drama "Anissa" sebelum ini.
Terdahulu ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki ini pernah dikaitkan dengan juara "Akademi Fantasia" musim kelapan, Shahir, aktor Beego dan beberapa orang ahli perniagaan.
Oleh Nur Safina Othman
Unknown || || Artis Bercinta,Artis Malaysia,Rozita Che Wan,Zain Saidin ||
21 Jan – Selepas meluahkan perasaan cintanya terhadap aktres cantik Rozita Che Wan melalui akaun Instagram miliknya, Zain Saidin kini berharap dapat mengakhiri zaman bujangnya tahun ini.
Dipetik dari sebuah laman sesawang hiburan tempatan, Zain ketika ditemui memberitahu sekiranya dimurahkan rezeki dan ada jodoh, mereka berdua akan melangsungkan perkahwinan mereka sekitar tahun ini.
"Che Ta (Rozita) tidak meletak sebarang tempoh kepada saya. Namun sudah tentu saya perlukan masa untuk membuat persiapan. Sebagai seorang lelaki, saya perlu ada sejumlah wang untuk perbelanjaan perkahwinan. Sebab itu saya katakan, jika ada rezeki, kami bakal berkahwin pada tahun ini,
"Hubungan kami memang serius. Jika ada terdengar gossip mengenai Che Ta berpasangan dengan lelaki lain, itu tidak benar kerana kami bersama ketika ini," ujar Zain tegas.
Zain turut mempertahankan tindakannya yang meluah kata-kata cinta kepada aktres berusia 41 tahun itu yang dianggap sebagai mencari publisiti murahan.
"Saya tak kisah apa yang orang hendak kata. Saya berbuat demikian kerana tidak mahu orang mengawal pergerakan atau tindakan saya. Jika tidak berterus-terang, orang akan tetap bercakap. Lebih baik saya akui. Sama ada orang boleh terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka. Saya tidak boleh puaskan hati semua orang," jelasnya lagi.
Ditanya jika hubungan mereka mendapat tentangan dua anak lelaki Che Ta daripada perkahwinan terdahulu, Zain menidakkan perkara tersebut.
"Hubungan saya dan anak-anak Che Ta tidak ada masalah. Kami baik sahaja, lebih-lebih lagi dengan anak keduanya. Kami berkongsi minat yang sama iaitu bola sepak. Tidak sukar untuk mendekati mereka kerana mereka peramah seperti ibu mereka."
Oleh Hana Ahmad
Unknown || Senin, 21 Januari 2013 || Artis Kontroversi,Artis Malaysia,Uji Rashid,Yuna ||
Yuna memberitahu isu melibatkan penyanyi Uji Rashid tidak perlu lagi dipanjangkan kerana menganggap ia telah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan untuk menjernihkan suasana.Uji Rashid
KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna menganggap kemelut yang berlaku membabitkan penyanyi veteran Uji Rashid yang kecewa kerana digugurkan pada saat-saat akhir untuk mempersembahkan lagu Terukir Di Bintang bagi menggantikan dirinya pada Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL 27) pada 6 Januari lalu selesai.
Yuna, 27, berkata, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan selepas pihak TV3 memberikan penjelasan dalam program Melodi yang disiarkan pada Ahad (semalam).
"Rasanya perkara itu tidak perlu lagi dipanjangkan kerana saya rasa ia telah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan bagi menjernihkan suasana.
"Malah saya tidak mahu melihat perkara yang terjadi ini sebagai sesuatu yang negatif dan pastinya ada hikmah disebalik," ujarnya ketika ditemui pada majlis kesyukuran lagu Terukir Di Bintang yang dinobatkan sebagai Juara Lagu di AJL 27 pada Ahad malam.
Sebelum ini, pengguguran Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al-Rashid itu telah digantikan oleh Aizat dan Uji mendakwa perbuatan TV3 itu tidak berhemah kerana mereka telah memalukan beliau di depan orang ramai.
Dalam pada itu, Yuna berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi lagu Ku Ingin Di Samping Mu itu malah katanya dia ada berhubung dengan Uji untuk bertanya khabar.
Malah Yuna memberitahu, dia ada menjemput Uji ke majlis kesyukuran itu namun penyanyi berkenaan tidak dapat hadir kerana mempunyai undangan nyanyian. Yuna teruja dengan pembikinan album terbarunya di Amerika Syarikat selain dapat bekerjasama dengan gitaris kegemarannya iaitu Mike dari kumpulan Incubus.
"Sebelum ini saya ada berbual-bual dengannya untuk bertanya khabar dan kami berbual seperti biasa tanpa sebarang masalah.
"Malah dia memahami kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan saya kerana tiada di Malaysia," jelasnya.
Tambah Yuna, pada awalnya dia memang memilih Uji untuk menyanyikan lagu tersebut di AJL 27 kerana menyukai suaranya yang mempunyai elemen klasik namun terpaksa akur dengan situasi dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pengurusnya, Wawa dan pihak TV3 untuk mencari pengganti Uji pada saat akhir.
Sementara itu, Yuna berkata, dia kini sedang dalam proses awal merakamkan album pertamanya bersama syarikat rakaman The Verve/Universal Music dan memberitahu teruja dapat bernaung di bawah sayap komposer dan penerbit terkenal, David Foster.
Menurut Yuna, menerusi syarikat rakaman barunya itu, dia berharap dapat memperluaskan lagi kerjaya seninya apabila album tersebut dijangka akan dipasarkan pada pertengahan tahun ini di seluruh dunia.
"Sebenarnya David telah lama ingin mengambil saya bernaung di bawah label itu tetapi ketika itu dia bukan presiden syarikat berkenaan namun apabila beliau mengambil alih The Verve, hasrat itu terus disampaikan ke pihak pengurusan saya selepas mengetahui kontrak saya bersama The Fader telah pun tamat.
"David memberi kebebasan kepada saya untuk berkarya dan menentukan genre muzik yang ingin saya bawa dan setakat ini saya telah merakamkan tiga buah lagu ciptaan sendiri," jelasnya.
Yuna turut memberitahu dia mengikat kontrak dengan label tersebut untuk tiga buah album dan menyangkal dakwaan sebelum ini bahawa dia dibayar USD1 juta (RM3 juta) untuk bersama syarikat tersebut.
Tambahnya lagi, dia juga cukup teruja apabila dapat bekerjasama dengan gitaris kumpulan Incubus yang cukup diminatinya sejak dibangku sekolah iaitu, Mike Einziger untuk album berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Yuna berkata, dia juga baru selesai merakamkan sebuah lagu runut bunyi untuk filem animasi terbitan Dream Works iaitu The Croods berjudul Shine Your Way.
Filem berkenaan dibintangi oleh Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Catherine Keener, Emma Stone, Clark Duke, dan Cloris Leachman dan akan ditayangkan pada Mac tahun ini.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
Unknown || Minggu, 20 Januari 2013 || Aidil Zafuan,Artis Cerai,Artis Malaysia,Kemelut Rumah Tangga Artis,Rita Rudaini ||
RITA RUDAINI bersama dua orang anaknya lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.
"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.
"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.
Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).
Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.
Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.
Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.
"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.
"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.
Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.
"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.
Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."
Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.
"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.
Unknown || || Artis Bercinta,Artis Filipina,Dingdong,Marian Rivera ||
Watak Marimar lakonan Marian Rivera dalam telenovela MariMar yang bergandingan dengan kekasihnya Dingdong telah mendapat sambutan hangat.
Wanita cantik ini bukan hanya menjadi idaman lelaki tetapi kejelitaannya turut dicemburui wanita. Apatah lagi bintang MariMar ini, Marian Rivera, 29, didampingi pelakon kacak Dingdong Dantes sebagai kekasih.
Berjinak-jinak dengan dunia seni pada 2005, Marian mula dikenali di Filipina menerusi drama Kung Mamahalin Mo Lang Ako manakala di Malaysia pula, lakonannya sebagai Marimar dalam telenovela MariMar berganding dengan Dingdong mendapat sambutan hangat. Watak sama dijayakan aktres Mexico, Thalia dalam MariMar versi Mexico.
Sejak 2006, Marian memenangi 25 anugerah antaranya Pelakon Harapan Terbaik (38th Guillermo Mendoza Memorial Scholarship Award), Pelakon TV Terbaik ( 1st Annual Fil-Am Visionary Awards) dan Pelakon Terbaik (Kzone Awards (Philippines)).
Bukan hanya bergelar pelakon, Marian juga model, penari dan penyanyi. Dia kini sibuk menjalani penggambaran Temptation Of Wife, membawa dua watak berbeza.
Pada awal cerita, Marian membawa watak Angeline Santos, wanita lemah lembut namun berubah karakter apabila mengubah namanya sebagai Chantal. Perubahan watak ini berlaku apabila Angelina mendapati suaminya curang dan perempuan simpanan suaminya adalah rakan baiknya sendiri.
“Saya bukan hanya mengubah cara bercakap tetapi juga gaya berjalan dan berpakaian agar dapat memberi gambaran tepat mengenai personaliti Angeline ataupun Chantal.
“Ketika membawa watak Chantal, karakter saya berubah menjadi seorang yang sangat angkuh dan ego. Saya menggunakan pendekatan berbeza sesuai dengan watak wanita yang ingin membalas dendam,” katanya.
Membawa dua karakter dalam satu drama bukanlah mudah namun Marian akui watak Chantal lebih mencabar kerana membawa watak wanita yang disakiti.
“Walaupun hanya lakonan, perasaan sakit kerana ditipu suami dan rakan baik sangat menyakitkan. Saya harap ia tidak berlaku kepada saya pada masa depan. Saya sebenarnya bernasib baik kerana mempunyai kekasih yang yang sangat setia,” katanya yang bercinta dengan Dingdong sejak berlakon drama MariMar.
Walaupun Marian yakin Dingdong tidak akan curang, dia tetap mempersiapkan emosi dirinya agar dapat menerima keadaan itu dengan tenang sekiranya terjadi.
Dia percaya, apa pun yang berlaku semuanya sudah ditentukan Tuhan dan dia tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan perkara yang terjadi dalam hidupnya.
Mengenai perkahwinan, Marian mengakui dia dan Dingdong sudah berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka. Bagaimanapun dia enggan berkongsi cerita lebih banyak.
“Saya sangat gembira kerana Dingdong akhirnya mengajak saya berkahwin. Tetapi sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hal ini, biarlah keluar dari mulut dia sendiri.
“Saya sangat selesa dengan keluarga dia. Ibunya agak pendiam tetapi dapat melayan kerenah saya yang suka bercakap dan buat bising,” katanya sambil ketawa.
Susunan HELLINIE SINA