Salih Yaacob Bersara Kerana Sudah Letih Bekerja Dalam Bidang Seni

|| || , || Leave a komentar
Salih Yaacob (kanan) akan bersara selepas kontraknya bersama Sinar FM tamat sekitar hujung tahun ini.

 

SALIH YAACOB memang terkenal sebagai seorang pelawak, biarpun hakikatnya dia juga merupakan seorang penyanyi, pelakon dan deejay radio di Sinar FM.

Tidak pernah dilanda kontroversi, kecuali isu dia berkahwin empat, Salih, 52, baru-baru ini telah menerima tempias sensasi yang wujud kesan daripada pembabitannya dalam video berjudul Bangkang Dari Longkang yang dimuat naik di laman YouTube baru-baru ini.

Video yang merupakan seakan-akan lakonan semula berkaitan parti pembangkang bersama Nabil itu telah membuat ramai peminat dan penyokong parti pembangkang menghentam Salih di laman Facebook.

Mengakui kecewa dengan video tersebut, Salih mengatakan ia merupakan salah satu sebab mengapa dia ingin mengambil keputusan untuk bersara. Namun, ia bukanlah punca utama Salih ingin meninggalkan bidang yang diceburinya sejak 33 tahun lalu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Salih yang ditemui pada majlis perasmian Hot Perfumes and Air Freshners yang bertempat di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh komen tentang isu persaraan Salih daripada dunia seni pada tahun ini?

Salih: Saya sebenarnya sudah letih bekerja dalam bidang seni sejak terbabit pada tahun 1980 lagi. Menjadi seorang penyampai radio juga sudah cukup membuatkan saya letih untuk duduk sepanjang hari. Sebenarnya, saya sasarkan sebelum ini, umur 50 tahun untuk berhenti dari dunia seni. Ini kerana, pada umur begini, sepatutnya saya perlu luangkan banyak masa dengan anak-anak dan keluarga, memandangkan keluarga saya kini lebih besar. Bagaimanapun, kini sudah berumur 52 tahun, jadi maknanya sasaran yang dibuat sudah terlebih. Kini di Malaysia, umur seperti saya sudah tidak boleh cerewet untuk meminta bayaran dan seumpamanya.

Jadi bilakah anda ingin berhenti dan apa perancangan selepas berhenti jadi artis untuk menyara keluarga kelak?

Saya sasarkan hujung tahun ini selepas tamat kontrak bersama Sinar FM, saya akan bersara. Saya juga mempunyai perancangan menjalankan bisnes yang melibatkan aset dan saya lihat ia mendatangkan untung yang berbaloi. Saya juga bakal dibantu oleh rakan-rakan yang lain yang arif dalam bidang tersebut. Selain itu, saya juga ingin meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga kerana selama ini saya banyak terlepas momen dengan mereka dan apabila saya sedar, anak-anak semua sudah besar. Saya juga merancang untuk melancong bersama mereka.

Jarang artis menetapkan tarikh bersara seperti anda. Tidakkah anda sedih akan meninggalkan dunia seni yang telah banyak memberi kenangan kepada anda?

Saya minat bidang ini, tapi jika melihatkan zaman sekarang, penjualan album sangat sukar. Saya sebagai penyampai radio, takkan pula saya mahu mempromosikan album dan single saya pula. Kemudian, saya memang menolak tawaran berlakon kerana harga yang ditawarkan tidak menepati dengan alasan tiada bajet.

Jadi bagaimanakah dengan dakwaan yang mengatakan anda ingin berhenti kerana isu video tersebut?

Memang betul saya kecewa dengan industri dan ingin beralih bidang. Video itu juga merupakan salah satu sebab yang menguatkan keputusan saya untuk bersara. Ada hikmah berlakunya perkara tersebut dan saya rasa mungkin sudah benar-benar masanya untuk bersara. Sebenarnya video tersebut telah dihasilkan pada tahun lalu, namun ia disiarkan semula pada tahun ini dan ia menjadi satu isu.

Menyesal atau tidak berlakon seumpama itu sehingga dihentam oleh peminat?

Memang menyesal kerana selama ini saya buat hiburan yang sering menarik hati peminat. Tapi ini hiburan yang menyakitkan hati dan rasa seperti melakukan dosa. Pada mulanya, saya tidak perasan, tapi lama-lama saya baru sedar dengan lambang-lambang yang diletakkan dalam video tersebut. Itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Saya memang tidak pernah melibatkan diri dalam politik kerana saya bukan ahli politik, saya insan seni.

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

Penyanyi Nouri Ditahan Polis Kerana Disyaki Membunuh Suami

|| || ,, || Leave a komentar


Nouri pernah merangkul anugerah Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1999.
 

AMPANG: “Saya rindukan anak-anak.” Itulah kata-kata terakhir Mohd Khairul Azmi Jaafar, 39, kepada rakan baiknya sebelum dia ditemui mati disyaki selepas bergelut dengan isterinya yang juga seorang penyanyi popular lewat 1990-an di sebuah kondominium di Ampang Utama, di sini, kelmarin.

Hasil bedah siasat, mangsa mati akibat serangan jantung berikutan pergelutan dan kekasaran.

Mangsa sebelum itu mengajak rakan berkenaan ke rumah penyanyi terbabit untuk berjumpa anak perempuan mereka berusia setahun.

Difahamkan, sebaik tiba di rumah itu jam 5 petang, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dan isterinya sebelum dia pengsan dalam sebuah bilik dengan keadaan kedua-dua tangan dan kaki terikat dan disahkan mati.

Seorang suspek iaitu penyanyi tahun 1990-an Nouri Ramli telah ditahan polis berhubung kematian suaminya yang dipercayai mati selepas bergelut dalam kejadian di kondominium Ampang Utama, dekat sini pada Selasa.



KONDOMINIUM tempat mangsa ditemui pengsan dalam sebuah bilik dengan keadaan kedua-dua tangan dan kaki terikat dan disahkan mati.
 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang mengesahkan perkara itu berkata, Nouri bersama dua anak saudaranya telah ditahan pada pagi Rabu dan di reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.

"Kami menahan wanita itu di rumahnya pagi tadi (Rabu) dan tidak dapat dipastikan berapa lama dia akan di reman.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Akhbar pada Rabu melaporkan seorang penyanyi wanita telah memukul suaminya sehingga mati kerana tidak mahu suaminya itu bertemu dengan anak perempuan mereka yang berusia setahun.

Gambar kenangan Nouri bersama suaminya, Khairul Azmi Jaafar


Mangsa, Khairul Azmi Jaafar, 39, mati dipercayai selepas dibelasah dalam keadaan kaki dan tangan terikat.

Kejadian ini dipercayai terjadi sekitar pukul 5 petang Selasa apabila berlaku pertengkaran melibatkan mangsa dan isterinya berhubung perebutan anak.

Dalam kejadian, Nouri, 39, dipercayai sengaja mengikat tangan dan kaki suaminya dengan bantuan dua anak saudaranya sebelum mangsa pengsan dalam sebuah bilik dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kerana pergelutan dan kekasaran.

Penyanyi wanita itu juga dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dengan mangsa sejak setahun lalu dan mereka juga dalam proses perceraian.

Nouri pernah popular dengan lagu Hadirmu Yang Terakhir dan turut memenangi anugerah Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1999.

Siti Nurhaliza Tukar Konsep Untuk Album Terbarunya

|| || , || Leave a komentar
Siti Nurhaliza sedang bercuti panjang sehingga penghujung Mac.

 

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza akan menukar konsep album terbarunya bersesuaian dengan imejnya yang kini bertudung.

Siti, 34, bagaimanapun berkata, perubahan itu bukan bererti beliau hanya menumpukan kepada lagu berbentuk kerohanian sahaja sebaliknya bersikap lebih selektif dari segi lirik dan gubahan lagu.

"Perubahan ini bukanlah secara drastik kerana saya masih membawakan lagu-lagu seperti mana yang disukai peminat cuma mungkin lagu yang rancak akan dikurangkan kerana ia kurang sesuai untuk dipersembahkan dikhalayak dengan imej bertudung.

"Sebab itu saya akan lebih selektif terhadap pemilihan lagu dan lirik supaya ia bersesuaian dan dapat diterima oleh peminat," jelasnya kepada mStar Online.

Siti dijangka memulakan proses rakaman album terbarunya itu pada April depan selepas bercuti panjang kerana menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu.

Dalam pada itu, Siti berkata, beliau tidak melihat keputusannya menutup aurat akan menjejaskan kerjaya seninya dan peminat sangat menyokong dengan keputusannya itu.

Tambah Siti, penyanyi seperti Yuna dan Shila Amzah telah membuktikan bahawa dengan memakai tudung juga mereka mampu memikat hati peminat di luar negara.

Sementara itu, Siti berkata, buat masa ini beliau tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang tudung dibawah jenama namanya walaupun terdapat permintaan daripada peminat.

Siti menjelaskan ada di kalangan peminat yang memintanya membuat tutorial mengenai cara pemakaian tudungnya yang semakin menjadi ikutan para peminatnya.

"Tiada cara khusus sebenarnya tetapi jika ada yang berminat boleh menghubungi pereka fesyen Siti untuk mendapatkannya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Siti bakal tampil dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 11 April depan.

Tiket dijual pada harga RM3,500 hingga RM5,500 untuk sebuah meja dan RM350 hingga RM550 untuk seorang.

Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket orang ramai boleh menghubungi Farah Halim di talian 03-26889688 (sambungan 500) atau Rizal Van Geyzel di 03-26889688 (sambungan 253).


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Syafie Naswip Ingin Merasai Kehidupan Seperti Remaja Lain

|| || ,,, || Leave a komentar
Syafie yang meraih pelakon Pembantu lelaki terbaik menerusi filem Songlap pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25).


PUTRAJAYA: Pelakon Syafie Naswip mengakui dia kini sudah mula memberi ruang kepada dirinya untuk merasai kehidupan seperti remaja lain bersosial dengan teman-temannya.

Syafie, 21, berkata, sebelum ini, dia sering memberi fokus kepada pelajarannya di sekolah serta karier lakonan sehingga terpaksa membiarkan zaman kehidupan remajanya hilang begitu sahaja, malah ditinggalkan rakan-rakan kerana kesibukannya itu.

"Dulu susah, saya terpaksa fokus pada pelajaran di sekolah dan kerja-kerja lakonan sehinggakan nak meluangkan masa bersama rakan-rakan pun tak sempat.

"Sekarang ini, sudah tiba masanya saya beri ruang pada diri untuk bersosial. Bukan sosial berbentuk negatif, tetapi positif. Saya mahu merasai zaman remaja saya seperti rakan-rakan lain," katanya.




Bagaimanapun tambah Syafie, dia kini sudah pandai menguruskan masanya agar dapat melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti yang diminati.

Dalam pada itu, Syafie yang baru sahaja meraih pelakon Pembantu lelaki terbaik menerusi filem Songlap pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) juga bakal melanjutkan pelajaran tidak lama lagi.

"Di usia muda sebegini banyak benda yang saya ingin lakukan termasuklah menyambung pengajian saya di bidang yang sesuai.

"Namun saya akan memberi fokus kepada karier lakonan sebelum belajar. Lagipun kerjaya saya sedang berkembang.

"Malah lakonan saya sudah mula mendapat kepercayaan pengarah-pengarah untuk mengambil saya berlakon dalam filem atau drama terbitan mereka," ujarnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Penyanyi Jeslina Hashim Sah Bercerai Talak Satu

|| || ,, || Leave a komentar
Jeslina Hashim dan suaminya, Dion Andrew Vercoe sah bercerai talak satu pada pagi Selasa di Mahkamah Tinggi Syariah.

 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Jeslina Hashim, 36, sah bercerai talak satu dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada pukul 9.55 pagi di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada Selasa.

Lafaz cerai tersebut dilakukan oleh Dion di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Abdul Karim Wahabdi bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).

Penyanyi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia itu turut mengaku berada dalam keadaan suci sebelum lafaz dibuat.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Dion iaitu Mohd Hafiz Abdul Rashid memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak setuju dengan perjanjian penyelesaian berkaitan hak penjagaan anak, mutaah dan hadanah tanpa sebarang pertikaian.

Sementara itu, Mohd Hafiz yang ditemui di luar mahkamah memberitahu kedua-dua pihak bersetuju untuk hak penjagaan bersama terhadap dua anak mereka.



Dion (kanan) dan Jeslina bersetuju dengan perjanjian hak penjagaan dua anak mereka selain mutaah dan hadanah.

"Proses penceraian berjalan lancar dengan kedua-dua pihak bersetuju terhadap perjanjian yang dibuat.

"Anak-anak akan tinggal di bawah jagaan bekas suami di Mont Kiara, namun Jeslina diberi hak lawatan," katanya.

Nafkah sebanyak RM8,333 selama 18 bulan akan diberikan kepada Jeslina, sementara RM5,000 sebagai wang edah.

Dalam pada itu, Jeslina yang berbaju kurung datang ke mahkamah secara berasingan enggan mengulas lanjut sebab penceraian tersebut.

"Punca penceraian adalah hal peribadi antara kami dan maaf saya tidak boleh berkongsi," katanya.

Jeslina dan Dion telah berkahwin pada 21 April 2005 dan mempunyai dua orang anak berusia tiga dan enam tahun.

Pada 20 Februari lalu hasrat Jeslina untuk bercerai secara baik dengan suaminya, di Mahkamah Rendah Syariah di sini terpaksa ditangguhkan ekoran wanita itu dalam keadaan tidak suci (haid).


Oleh KEMALIA OTHMAN

Kisah Anak Pemotong Rumput Di Festival Filem Malaysia Ke-20

|| || ,, || Leave a komentar


Malam 4 Ogos,2007, di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pelakon filem Mukhsin, Mohd. Syafie Naswip diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada acara gemilang Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20).

Sejurus itu, seorang kanak-kanak berusia 15 tahun melangkah yakin ke pentas penerima trofinya. Dewan bergema dengan tepukan gemuruh penonton. Turut menyaksikannya, jutaan penonton Astro yang membuat siaran langsungnya.
Namun malam itu, nun di sudut hati Syafie, tercalit rasa hiba kerana kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama ibu yang dikasihi.

"Rumah saya tak ada Astro. Saya dah telefon mak, nak beritahu, tapi tak dapat," adunya tatkala Kak Tim bertanyakan, apa kata ibunya tentang kemenangannya.
Memang sejak dari awal, kanak-kanak ini menarik perhatian Kak Tim.

Walaupun Finas menyediakan bas untuk membawa delegasi festival itu ke Pulau Pinang, tapi pelakon kanak-kanak lain, datang bersama anggota keluarga masing-masing. Cuma Syafie yang Kak Tim perhatikan, bersendirian.
"Saya nak juga bawa emak. Tapi dia orang kata kena bayar," jelas Syafie selamba.
"Bapa kerja apa?" Tanya Kak Tim.
"Pemotong rumput. Kadang-kadang cat rumah orang juga," tulus dan bersahaja dia menjawab.
"Tak sekolah?" Tanya Kak Tim lagi.
"Sekolah di Gombak. Tahun ini ambil PMR. Sebab itu hampir saja saya tidak dapat ikut festival ni. Cikgu tak beri. Dia kata asyik shooting saja. Dia bimbang, nanti saya tak dapat fokus PMR. "Tapi saya merayu. Keluarga saya orang susah dan saya anak tunggal. Shooting pun dapat duit. Hari tu, saya berlakon empat drama, dapat duit. Boleh juga bantu keluarga," kata Syafie.

"Berlakon filem Mukhsin dulu tu, saya dapat RM10,000. Saya bagi emak RM500 dan ayah RM500. Selebihnya saya simpan. Saya nak jadi jurukamera filem. Nanti kalau nak ambil kursus tu tentu kena pakai banyak duit. Nasiblah akhirnya cikgu izinkan saya ke festival."

Begitu cerita Syafie panjang lebar, lalu tersenyum menyerlahkan lesung pipit di pipi kiri dan kanannya. Dan pada pagi delegasi berkumpul di Finas untuk berangkat ke Pulau Pinang, Syafie merupakan orang pertama sampai di Finas. "Saya tak tahu pukul berapa bas nak bertolak. Orang kata pagi. Jadi saya
tunggu ajalah. Nasib Finas sediakan nasi lemak."

Rupanya ada yang cerita pada Kak Tim, semasa rombongan berhenti makan tengahari di Tapah, Perak, Syafie tidak turut serta. "Dia tertinggal duit," bisik sumber.Kasihan. Tapi kanak-kanak itu ada harga diri. Dia tidak kelihatan sewaktu orang sibuk menjamu selera di kawasan Rawat dan Rehat Tapah itu. Entah di mana dia menyembunyikan diri.

"Tak apa. Saya dah biasa macam tu," kata Syafie selamba disaat Kak Tim tanyakan kenapa tak beritahu masalahnya.

"Tapi sekarang saya dah ada duit. Nek Mah (Ruminah Sidek) bagi. Masa sampai di lobby hotel, tiba-tiba Nek Mah bagi saya RM50." Sekali lagi kanak-kanak ini menyerlahkan lesung pipitnya.

Dan sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. ketika bas singgah di Hentian Sungai Perak, Kak Tim tengok Syafie membeli sebiji limau bali.
"Duit yang Nek Mah bagi, masih ada baki. Limau ni saya beli untuk mak. Buah tangan," katanya tersenyum.

Sampai di Finas, Syafie dijemput ayahnya. Dia bukan saja membawa pulang trofi dan buah limau untuk ibunya. Tapi wang hadiah kemenangannya sebanyak RM10,000.

Itulah Mohd. Syafie Naswip, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM20 yang cuba mencari pengalaman sebagai pelakon untuk menjadi jurukamera filem bagi merubah kehidupan keluarganya.

By Shima @ Hulu Langat