Pelakon Shah Jaszle Ditangkap Khalwat

|| || ,,, || Leave a komentar
Gambar semasa majlis pertunangan Shah Jaszle dan Redzwani Puteri Disember lalu.



SHAH ALAM -  Jabatan Agama Islam  Selangor (JAIS) mengesahkan pelakon filem  Azura, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmi atau yang  dikenali sebagai Shah Jaszle ditahan oleh pihak berkuasa itu pada awal pagi ini.

Pelakon berusia 25 tahun itu, yang telah bertunang pada Disember tahun lepas, ditahan pada 3.30 pagi selepas pasukan penguatkuasa mendapat maklumat daripada orang awam.

Pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin berkata,  pelakon tersebut ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS di Apartment Taman Sri  Subang di sini pada pukul 3.30 pagi.

“Penahanan Shah Jaszle berdasarkan Seksyen  29 (1) A & B, Enakmen Jenayah Syariah negeri Selangor 1995 iaitu lelaki yang didapati berada  bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau  mahramnya dan sebaliknya.

“Jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak  melebihi RM3,000  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau  kedua-duanya,” katanya dalam  kenyataan di sini  hari ini.

Marzuki berkata, penangkapan tersebut dibuat  berdasarkan aduan orang awam kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS semalam.

Sementara itu, menurut sumber, apartment itu dikatakan milik rakan pelakon itu.Ketika serbuan, terdapat satu lagi pasangan namun selepas pemeriksaan didapati sudah berkahwin.

Manakala pelakon itu dikatakan ditahan bersama pasangannya berusia 21 tahun di dalam sebuah bilik berasingan di apartment itu.

 
Pelakon berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan wanita yang lebih berusia serta seorang lagi pelakon wanita, namun hubungannya dengan mereka berakhir begitu sahaja apabila pelakon itu di katakan telah berlaku curang.

Kami juga difahamkan, tunang pelakon itu dikatakan datang sendiri ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor bagi menjamin bakal suaminya itu.

Jovian Mandagie Mengaku Bercinta Dengan Kakak Dafi

|| || ,,, || Leave a komentar

Pasangan kekasih, Jovian Mandagie dan Nina Sabrina




KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, 27 mengaku bahawa dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan kakak kepada penyanyi terkenal, Dafi iaitu Nina Sabrina, 26.

Bercakap kepada portal murai.com.my selepas majlis pertunjukan fesyen Orked iaitu koleksi terkininya untuk hypermarket, Tesco petang semalam, Jovian Mandagie berkata perhubungan itu mula terjalin sejak setahun lalu.

“Alhamdulillah, kami telah berkawan lebih setahun. Hubungan kami bermula sebagai seorang pelanggan dan pereka fesyen, tetapi kemudian selepas kerap berjumpa kami semakin rapat sehingga ke hari ini.

“Apa yang saya tahu, di awal pertemuan kami, Nina mempunyai banyak perancangan perniagaan tetapi kerana ketika itu dia baru sahaja menamatkan pengajian, jadi saya membantunya menunjukkan jalan bagaimana untuk menguruskan perniagaan.

“Saya memberikannya peluang untuk menganjurkan majlis pertunjukan fesyen AviRaya iaitu koleksi fesyen Hari Raya saya tahun lalu dan sejak itu kami kerap bertemu, semakin rapat dan saya telah jatuh hati dengannya,” kata Jovian Mandagie berterus terang.

Tambah pereka fesyen kegemaran Ning Baizura itu, terdapat banyak faktor yang menyebabkan dirinya terpesona dengan gadis berkenaan.

Kata Jovian Mandagie, selain mampu membuat dirinya sentiasa tersenyum, keperibadian Nina yang sentiasa positif untuk menghargai kehidupan sebenar tanpa hanya memikirkan soal kerja, membuatkan dirinya tertawan.

“Saya seorang yang workaholic. Tetapi Nina selalu mengingatkan saya supaya sentiasa menghargai perkara lain iaitu jangan terlalu sibuk dengan kerja dan sikapnya yang sentiasa positif membuatkan saya tertarik dengannya.

“Dari sudut lain pula, saya banyak membantu Nina memberi semangat, motivasi dan perangsang untuk dia terus berjaya terutama bagaimana untuk menguruskan sesebuah perniagaan.

“Malah apabila bersama dengannya, hati saya gembira dan jiwa muda saya kembali segar. Ini kerana sebelum ini hati saya pernah dilukai dan dari situ saya banyak belajar erti perhubungan sebenar sejak bersama Nina.

“Kami kerap luangkan masa bersama, membuat kerja dan adakalanya pergi bercuti bersama-sama. Setiap kali dapat bersama, Nina telah berjaya menjadikan saya, diri saya yang sebenar,” katanya tersipu-sipu malu.

Dintanya bagaimana penerimaan kedua-dua belah keluarga tentang perhubungan mereka berdua itu, Jovian Mandagie berkata keluarganya telah merestui hubungan mereka berdua, tambahan pula dia sudahpun bertemu kedua ibu-bapa Nina.

“Keluarga saya sangat menyukai Nina, malah warga kerja Jovian Mandagie sendiri juga merestui hubungan kami ini.

“Begitu juga Dafi yang sering menyokong dengan perhubungan ini. Dafi juga telah banyak membantu saya terutama jika kami mengalami masalah perhubungan kerana dialah yang akan membantu mendamaikan kami berdua,” katanya kepada murai.com.my.

Sumber: Murai

Anuar Zain Minta Maaf Kerana Peluk Zandra Aziela

|| || ,,,,, || Leave a komentar
Gambar Anuar Zain memeluk Zandra Aziela yang menimbulkan kontroversi.


 Anuar Zain memohon maaf kepada kekasih Zandra Aziela, Safiq Rahim (kanan).



KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain membuat permohonan maaf kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, sekiranya terasa hati berhubung dengan foto yang memaparkan aksi mesra berpeluk dengan kekasihnya, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43, menjelaskan bahawa aksi mesranya dengan Zandra tidak membawa sebarang maksud sebaliknya dia menganggap wanita yang juga merupakan pemain bowling negara itu sekadar teman lama.

"Saya terkejut apabila foto itu menjadi hangat diperkatakan untuk beberapa hari sedangkan saya dan Zaza (Zandra) tidak ada apa-apa hubungan pun.

"Foto itu diambil selepas kami terserempak antara satu sama lain selepas beberapa tahun tidak berjumpa, dan terus teruja untuk bergambar.
Foto mesra Anuar dan Zandra.

"Bagaimanapun saya memohon maaf sekiranya teman lelaki Zaza terasa dengan foto tersebut. Jujurnya, saya tidak ada niat apa-apa pun," jelasnya.

Anuar ditemui pada majlis minum petang pelancaran album Anuar dan Dayang Nurfaizah Live At Dewan Filharmonik Petronas di Life Centre di sini, Rabu.

Tambah penyanyi itu, dia berharap isu tersebut tidak akan timbul lagi kerana menyifatkan ia sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu mengenai album Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas (DFP), ia memuatkan sebanyak 14 buah lagu solo dan gandingan bersama Dayang, yang telah dirakamkan pada konsert amal di bawah anjuran kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) di DFP pada Mei tahun lalu.

Anuar berkata album tersebut diterbitkan khas oleh Anuar Zain Network dan DN and AD Entertainment Sdn Bhd buat peminat-peminat yang tidak dapat menhadiri konsert tersebut.



Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah. 

"Sebenarnya saya cukup teruja menantikan respons para peminat mengenai album ini. Ia dibuat khusus buat mereka yang tidak dapat menyaksikan persembahan kami.

"Lebih-lebih lagi lagu-lagu yang dimuatkan merupakan lagu hits saya dan Dayang sebelum ini," katanya.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan termasuklah Bila Resah, Mana Mungkin, Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Cinta Harus Memiliki, Aku Rindu Aku Jemu, Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Angelina Jolie Jalani Pembedahan Membuang Payudara

|| || ,,, || Leave a komentar
IBU Angelina, Marcheline (kiri) meninggal dunia ketika berusia 56 tahun akibat barah.



Los Angeles: Angelina Jolie berkata dia menjalani dua pembedahan membuang payudara selepas mendapati dia membawa gen yang hampir pasti menyebabkan barah kepadanya.

Aktres yang pernah memenangi anugerah Oscar itu dan pasangannya, Brad Pitt membuat pengumuman itu dalam bentuk rencana pengarang yang ditulis bagi akhbar The New York Times edisi hari ini.

Angelina menulis rencana itu antara awal Februari dan akhir April lalu selepas dia melengkapkan prosedur pembedahan bagi membuang kedua-dua payudaranya.

Menurut Angelina, 37, dia membuat pilihan itu kerana memikirkan enam anaknya dan selepas melihat ibunya, Marcheline Bertrand, meninggal dunia “terlalu muda” akibat barah. “Ibu saya berjuang melawan barah hampir sedekad dan mati ketika berusia 56 tahun.

“Dia sempat melihat cucu pertamanya dan memeluk mereka, tetapi anak-anak saya yang lain tidak berpeluang mengenali dan merasai sendiri kasih sayangnya,” katanya. Menurut Angelina, anak-anaknya pernah bertanya jika barah pada Marcheline itu boleh berlaku ke atas dirinya. Selepas menjalani ujian generik, kata Angelina, dia mendapat tahu gen BRCA1 ada pada dirinya.


Angelina Jolie dan Brad Pitt bersama enam orang anak-anak mereka.


Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia mempunyai 87 peratus peluang untuk menghidap barah. Angelina berkata, dia menulis mengenai pembedahan mastektomi itu dengan harapan dapat membantu wanita lain. “Saya mahu memberitahu wanita lain bahawa keputusan menjalani mastektomi tidak mudah, tetapi saya gembira kerana melakukannya.

“Peluang saya menghidap barah menurun daripada 87 peratus kepada kurang daripada lima peratus.

“Saya boleh beritahu anak-anak bahawa mereka tidak perlu bimbang kehilangan ibu mereka akibat barah payudara,” katanya. Dalam tulisannya, Angelina turut memperincikan prosedur dilaluinya.

“Proses saya bermula pada 2 Februari melalui prosedur penangguhan puting yang memastikan tiada penyakit di saluran payudara di belakang puting, serta melakukan aliran darah tambahan ke kawasan itu,” katanya.

Dia kemudian menjalani pembedahan utama dua minggu kemudian untuk membuang tisu payudara.

“Ia seperti adegan filem fiksyen sains,” katanya. Sembilan minggu kemudian, dia menjalani pembedahan ketiga bagi membentuk semula payudara dan menerima implan. “Saya tidak berasa apa-apa kekurangan sebagai wanita, sebaliknya bangga kerana membuat pilihan yang tepat tanpa mengurangkan unsur kewanitaan saya,” katanya. Angelina juga memberitahu, Pitt sentiasa berada di sampingnya setiap masa ketika pembedahan dijalankan di Pusat Payudara Pink Lotus itu. - AP