Anzalna Nasir Tidak Lagi Tayang Kekasih

|| || ,,,,,, || Leave a komentar
Anzalna tidak mahu terlalu terbuka mendedahkan hubungannya dengan Hanif kerana bimbang ia akan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak. 

PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir menolak cakap-cakap orang kononnya hubungan dia dengan teman lelaki, Hanif Zaki mempunyai masalah ekoran dia  jarang membawa kekasihnya itu ke mana-mana acara hiburan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Anzalna, 26, berkata, ketiadaan pemuda itu menemaninya adalah disebabkan dia tidak mahu terlalu terbuka mendedahkan hubungan mereka kerana bimbang ia akan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

"Hubungan kami masih baik dan percintaan juga berjalan seperti biasa cuma memang dia tidak lagi menemani saya ke majlis-majlis hiburan.

"Cukuplah dia sering menjadi perhatian sebelum ini kerana kami bimbang ada pihak yang kurang senang apabila dia sering bersama saya," katanya kepada mStar Online.

Anzalna bakal muncul dengan drama terbaharunya berjudul Aku Isterinya  disamping Izzue Islam bermula 31 Mac ini menerusi slot Akasia di TV3.

Drama arahan Fairuz Loy itu akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.

Dalam pada itu, Anzalna berkata, dia lebih selesa tidak mencampurkan urusan peribadi dengan kerjayanya kerana ia adalah jalan terbaik.

Malah kata Anzalna, Hanif juga sibuk membina kerjayanya sementara dia menumpukan perhatian kepada bidang lakonan.



Cinta Anzalna dan Hanif masih utuh. 

"Dia adalah pemangkin semangat saya dan dia sentiasa ada apabila saya dalam keadaan susah dan senang. Pun begitu, mencampurkan urusan peribadi dengan kerjaya bukan sesuatu yang baik.

"Biarpun dia sering risau apabila ada kontroversi melanda, saya tidak mahu dia mencampuri perkara itu kerana enggan mengheretnya dalam masalah yang sama," jelasnya.
Kata Anzalna lagi, pengalaman selama beberapa tahun dalam bidang hiburan sedikit sebanyak mematangkannya selain mengajar dia untuk bersikap profesional apabila timbul sesuatu isu.

Terdahulu, Anzalna mengakui mempunyai masalah dengan pelakon Izzue Islam di set penggambaran drama Aku Isterinya namun memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan.

Kontroversi itu timbul selepas Izzue dikatakan kurang selesa dengan sikap Anzalna yang dikatakan berlebih-lebihan dalam menghayati watak dalam drama tersebut sehingga menyebabkan isterinya cemburu.

Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal menjalani penggambaran drama bersiri Kalau Itu Jodoh Kita bersama pelakon Qi Razali dan Pekin Ibrahim untuk siaran TV Al-Hijrah.

Drama itu akan menjalani penggambaran di Istanbul, Turki pada April ini.

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI

Kes Palsukan Sijil Nikah: Ummi Nazeera Dakwa Ibunya Dianiaya

|| || ,,, || Leave a komentar
Ummi Nazeera hadir menemani ibunya pada sebutan kes palsukan sijil nikah yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.



Heroin filem 'Hikayat Merong Mahawangsa', Ummi Nazeera mendakwa ibunya usahawati Dato Maziah Musa dianiaya oleh bapanya iaitu usahawan Dato' Zainul Abadin yang mendakwa bekas isterinya itu memalsukan sijil nikah mereka.

Ummi hadir menemani ibunya pada sebutan kes tersebut yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada pagi Jumaat (hari ini).

Malah aktres berkulit hitam manis ini dengan yakin berkata ibunya tidak bersalah dan mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

"Saya yakin ibu saya berada di pihak yang benar. Beliau ada bukti-bukti yang kukuh. Malah ibu saya telah merujuk surat nikah beliau itu kepada Majlis Narathiwat dan sijil itu diperakui oleh pihak disana.

"Selain tu saksi yang tampil hari ini tidak relevan. Sebab itu peguam bela kami tidak bertanyakan apa-apa soalan kepada saksi itu tadi", katanya dengan nada tegas.

Laporan sebelum ini menyebut, Dato Maziah telah dituduh pada 20.05.2013 di Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur dengan sengaja memberikan keterangan palsu pada perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 16.10.2009.

Berdasarkan kepada pertuduhan, beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut semasa perbicaraan di Mahkamah Syariah tersebut dengan menggunakan sijil nikah palsu bertarikh 25.12.1997 yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat Thailand sebagai benar.

Pertuduhan dibuat di bawah seksyen 193 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 193 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan denda jika didapati bersalah.

Dato Marziah diwakili peguam bela, Datuk Zainul Rijal Zainal Abidin.

 
Ummi Nazeera (kiri) bersama ibunya.

Dalam pada itu, Ummi mengakui terkejut mengenai tuduhan terhadap ibunya itu. Bahkan kes yang berlanjutan itu sikit sebanyak mengganggu pelajaran sewaktu dia melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di University of Melbourne, Australia.

"Saya terkejut bila berlaku tuduhan terhadap ibu saya. Sebenarnya perkara ni dari tahun lepas lagi tapi dipanjang-panjangkan dan masih tidak selesai lagi. Bapa saya sengaja mahu panjang-panjangkan kes ni sebab mahu menyusahkan ibu saya. Saya akui kes ibu saya ni sikit sebanyak menganggu pembelajaran saya sewaktu di Melbourne.

"Jadi hari ini saya tampil untuk menjelas memperbetulkan beberapa laporan media sebelum ini yang kurang tepat mengenai ibu saya",katanya yang turut mengesahkan yang kini sudah tamat pengajian di sana sejak Disember tahun lalu.

Sementara itu abang Ummi, Nazreem Musa yang juga ditemui diluar mahkamah berkata mereka adik-beradik akan tetap menyokong ibu mereka.

"Sebagai anak-anak kami percaya ibu kami dan sentiasa berada dibelakang ibu kami menyokong beliau", kata Nazreem.

Mahkamah memutuskan perbicaraan kes ini akan bersambung di pada 14 dan 5 Mei depan.



   
-mD

Lana Nordin Masih Mencari Calon Suami

|| || ,,, || Leave a komentar
Lana Nordin masih lagi menantikan pasangan yang sesuai untuk dijadikan sebagai teman hidupnya selepas putus cinta dengan aktor Johan As'ari pada akhir tahun lalu.
 


PETALING JAYA: Pelakon Lana Nordin mengakui masih belum bertemu jodoh sejak putus cinta dengan aktor Johan As'ari pada akhir tahun lalu.

Lana berkata, dia enggan terlalu teruja dalam mencari pasangan yang sesuai sebaliknya hanya menyerah perkara itu kepada takdir.

"Jodoh itu kan di tangan Tuhan. Siapalah saya untuk menentukannya.

"Saya tidak serik dengan cinta, cuma masih belum bertemu dengan jodoh yang sesuai," katanya kepada mStar Online yang dihubungi pada petang Khamis.

Tambah Lana, buat masa ini, dia lebih senang dengan statusnya sebagai wanita solo namun tidak menolak sekiranya bertemu dengan lelaki yang sesuai dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Lana yang baru pulang dari menunaikan Umrah di Mekah pada 28 Februari lalu berkata, dia kini lebih tenang dalam menjalani kehidupan hariannya.

Malah dia juga berharap agar dapat menjadi wanita Muslim yang lebih baik dengan mengubah diri sedikit demi sedikit.

"Alhamdulillah, sekarang ini saya lebih fokus dengan setiap perkara yang saya lakukan dalam ingin menjadi seorang wanita yang lebih baik," ujarnya.

Terdahulu, ketika masih lagi menjalinkan hubungan dengan Johan, Lana pernah meluahkan hasratnya untuk berubah menjadi seorang wanita Muslim yang lebih baik sedikit demi sedikit.

Dalam perkembangan lain,  Lana baru saja selesai menjalani penggambaran drama Joyah vs Bedah, terbitan Zeel Production untuk siaran TV9 dan akan menjalani beberapa penggambaran drama pada bulan depan.

"Alhamdulillah, rezeki lakonan masih lagi di pihak saya. Tawaran yang diterima juga masih ada dan saya harap dapat bekerja keras lagi untuk menjadii pelakon yang terbaik juga," tuturnya.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK

Krisis Antara Izzue Islam Dan Anzalna Nasir Masih Belum Berakhir

|| || ,,,, || Leave a komentar
Anzalna Nasir menjayakan karakter sebagai seorang perempuan simpanan dalam drama bersiri slot Akasia TV3 'Aku Isterinya'.

 
KETIDAKHADIRAN Izzue pada majlis pelancaran drama bersiri Aku Isterinya awal minggu ini seperti mengiyakan krisis antara anggota kumpulan Forteen itu dan Anzalna Nasir masih belum berakhir.

Walaupun sebelum ini Izzue dan Anzalna telah mengeluarkan kenyataan bahawa masing-masing tiada masalah melibatkan etika dan profesional ketika bekerja, penjelasan itu sekadar mahu meredakan kemarahan sementara.

Pertengahan bulan Februari lalu, timbul dakwaan dua dramatis itu bermasam muka gara-gara tindakan Izzue yang mahu menjaga hati isterinya, Awin Nurin yang cemburu kerana Anzalna dikatakan terlebih gedik demi menjayakan karakter seorang perempuan simpanan.




Awin Nurin yang di katakan cemburu dengan lakonan intim Anzalna dan suaminya, Izzue Islam.

 
Penafian telah dibuat Anzalna, namun baki penggambaran yang perlu dilunaskan oleh kedua-dua pelakon itu masih memerlukan komitmen semua pihak terbabit termasuk isteri Izzue sendiri.

"Itu masalah dia. Sewaktu bekerja saya harus profesional. Kalau dia cuba mengelak dari- pada bertemu saya, ingatlah bahawa industri hiburan ini kecil saja.

"Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Izzue. Kalau mahu menjayakan sesuatu kerja perlu ada profesionalisme dan tak boleh buat sesuka hati," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Aku Isterinya di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Lebih romantik

Izzue dan Anzalna akan diterbangkan bersama-sama ke Perth, Australia pada 30 Mac ini untuk menyiapkan baki penggambaran drama itu dalam tempoh masa enam hari.



ANZALNA tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pelakon lelaki termasuk Izzue Islam.


Malah, dikhabarkan juga akan terkandung lebih banyak babak romantis dan intim antara Anzalna dan Izzue sepanjang berada di negara tersebut.

"Tidak semestinya babak romantik perlu berpeluk! Lontaran dialog saja pun sudah mencukupi. Kalau perkara itu pun tak boleh buat, baik jangan berlakon," katanya yang bersedia dengan sebarang kemungkinan di sana.

Anzalna menjelaskan, dia tidak akan berdiam diri sekiranya dirinya dianiaya atau difitnah dengan cara mengaibkan selepas ini.

"Sudah pasti saya akan menegakkan perkara yang betul, kalau saya tidak bersalah kenapa perlu saya minta maaf tapi saya cuba elakkan bergaduh sampai perang mulut," tegasnya.

Suami orang

Mengakui sukar untuk berlakon bersama suami orang, kata Anzalna, dia cuba mengelakkan diri terjerat dengan sebarang kemelut atau spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi baiknya.

Hormat barangkali kata dasar yang dipegang Anzalna, dia juga perlu menjaga maruah diri agar tidak dituduh penggoda suami orang dan perlu menjaga hati keluarga serta teman lelakinya, Hanif Zaki.

"Sebelum ini saya pernah berlakon dengan Adi Putra dan Aaron Aziz. Watak saya lagi jahat dan penggoda tapi tidak timbul pula sebarang isu.

"Saya cuba mengelak daripada babak berpegangan tangan kerana menghormati orang yang sudah berkahwin, kalau ada pun saya perlu kawal agar tidak melebih-lebih.

"Selama ini pun teman lelaki saya tidak masuk campur urusan kerjaya saya, masalah saya biar saya sendiri yang uruskan," jelas Anzalna yang tidak menafikan 'perang' yang tercetus antaranya dan Izzue.

Sebelum ini tidak pernah timbul sebarang pergaduhan melibatkan Anzalna dengan mana-mana artis di set penggam- baran, malah pelakon muda itu sehabis baik cuba menjaga nama baiknya daripada tercalar.

"Masalah yang timbul bukan datang dari- pada pihak saya, jadi biar dia yang selesaikan. Kalau sesiapa mahu timbulkan masalah, saya tidak peduli asalkan saya buat kerja saya secara profesional," katanya lagi.



PENGARAH drama Aku Isterinya, Fairuz Loy tidak menafikan heroinnya, Anzalna dan heronya, Izzue Islam berselisih faham.
Perempuan simpanan

Mengulas mengenai watak Mya Arlissa dalam drama rantaian baharu yang akan mengisi slot Akasia TV3, Aku Isterinya, karakter itu jelas Anzalna benar-benar menguji emosinya.

"Watak ini seperti melengkapkan persepsi orang bahawa saya seorang penggoda tapi Mya Arlissa sebenarnya bukan seperti yang disangka. Ini kali pertama saya melakonkan watak wanita baik yang dibuli," katanya.

Aku Isterinya mengisahkan Mya Arlissa yang sentiasa dibuli oleh mak cik dan sepupunya selepas kematian ibu dan bapanya.

Mya akhirnya dijual oleh suami mak ciknya, Murad kepada David yang menjalankan kegiatan pelacuran sehingga Mya bertemu dengan Mikail dan menebusnya di sebuah kelab malam.

Mikail dan Mya tinggal bersama selama dua tahun, namun menganggap gadis itu sekadar perempuan simpanan. Hidup pasangan itu berubah apabila Mya dirogol oleh kawan baik Mikail, Adam.

Cuba untuk mencari arah hidup baharu, Mya minta untuk dilepaskan dan Mikail telah meletakkan syarat kepada Mya untuk membayar RM50,000 sekiranya mahu bebas.



Pelakon Drama 'Ariana Rose' Kesal FB Palsu Tuduh Dia Jual Anak

|| || ,,, || Leave a komentar
   Sharisa menunjukkan bukti terhadap salah guna gambarnya.

PETALING JAYA: Pelakon drama Sharisa Haris Chong meminta bekas pembantu jurusolek dan penjaga pakaian sebuah syarikat produksi yang telah menyalahgunakan gambar dan maklumat peribadinya melalui laman sosial Facebook palsu agar berhenti daripada menjalankan kegiatan bagi tujuan menipu pengikut laman sosial itu.

Sharisa, 25, berkata, kegiatan jual beli dalam talian yang dilakukan oleh wanita itu bukan sahaja membabitkan penjualan barangan tertentu malah dia turut menawarkan perkhidmatan menjual bayi.

"Pada mulanya saya anggap ia perkara biasa apabila ada individu membuat akaun palsu menggunakan gambar-gambar dan maklumat peribadi saya, namun saya terkejut apabila dia melakukan urusan jual beli yang salah di sisi undang-undang.

"Saya sedar perkara ini apabila ramai mangsa yang terpedaya menghubungi dan menghentam saya di laman sosial peribadi milik saya yang sebenar.

"Apabila saya siasat melalui nombor akaun bank yang diberikan kepada mangsa dan mendapati wanita tersebut merupakan seorang yang penah bekerja dengan saya dua tahun lalu," katanya pada sidang media bersama Persatuan Karyawan Malaysia, di Plaza Damansara, di sini, Selasa.

Tambah Sharisa, selepas mendapat tahu perkara tersebut, dia cuba menghubungi wanita berkenaan, namun gagal.

Lebih dahsyat lagi, wanita itu telah menyamar kononnya anak Sharisa Haris meninggal dunia untuk meraih simpati orang ramai dengan niat jahat.

"Dia ambil gambar saya bersama seorang anak saudara saya dan memberitahu bahawa kanak-kanak itu adalah anak saya dan baru sahaja meninggal dunia.

"Oleh itu dia minta sesiapa yang simpati agar memberi sumbangan atau sudi untuk mengambil anak-anak saya yang lain sebagai anak angkat dengan bayaran tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Sharisa Haris juga telah membuat satu laporan  di Balai Polis Petaling pada 17 Mac lalu.

Sementara itu, pelakon yang membintangi drama Ariana Rose dan Teduhan Kasih ini juga mengakui, perkara tersebut turut menjejaskan reputasinya sebagai pelakon baharu.

"Di sebabkan perkara ini ramai yang memboikot dan tidak mahu menonton lakonan saya dalam drama Ariana Rose baru-baru ini.

"Ada juga yang marah dan maki saya di laman sosial dengan melemparkan kata-kata kesat," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya akan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  tindakan segera dapat diambil. 

Oleh: KEMALIA OTHMAN

Zila Bakarin Bengang Dituduh Jadi Penghasut

|| || ,,, || Leave a komentar
 Zila Bakarin kesal apabila dituduh cuba menghasut pelakon-pelakon lain meminta bayaran tertunggak daripada seorang produser.

PETALING JAYA: Pelakon Zila Bakarin berasa kesal apabila mendapat tahu dia kononnya cuba memburukkan seorang produser yang tidak menjelaskan bayaran lakonan kepada artis -artis lain.

Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 39, berkata, dia juga terkejut apabila dituduh menyampaikan berita tersebut kepada media sehingga ia keluar di ruangan pojok di sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu.

"Bertahun-tahun bekerja di bidang ini (lakonan), saya tidak pernah memburukkan sesiapa dan kenapa tiba-tiba cerita ini timbul?

"Saya seorang yang berterus terang jika tidak berpuas hati dengan sesiapa. Tidak perlu untuk saya sampaikan kepada mana-mana pihak semata-mata mahu memburukkan orang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Ahad lalu, Zila telah memuat naik sebuah foto di akaun Instagram miliknya yang menunjukkan perbualan Whatsapp seorang produser dan rakan artisnya yang  menuduh dia menyebarkan cerita buruk lelaki berkenaan kepada pihak media.


Foto yang dimuat naik di laman Instagram milik Zila Bakarin.

Berita tersebut telah dikeluarkan di ruangan pojok akhbar mingguan berkenaan mengatakan produser tersebut tidak menjelaskan bayaran lakonan kepada pelakon-pelakon yang terlibat dengan sebuah drama terbitannya di mana ia yang sepatutnya telah dijelaskan Januari lalu.

Tambah Zila, sepatutnya produser yang enggan didedahkan identiti itu yang patut berasa serba salah kerana tidak menjelaskan bayaran kepada pelakon-pelakon yang terlibat, sebaliknya dia pula yang dipersalahkan.

"Saya malas nak beri komen sebenarnya kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa. Nak bawa kes ini ke mahkamah pun saya tidak ada duit.

"Diakui memang sebelum ini saya sering mendesak produser berkenaan untuk menjelaskan bayaran saya. Sehingga saya dah letih nak mesej dia. Jadi sejak Februari lalu kalau tak silap saya sehinggalah sekarang saya tidak menghubunginya langsung.

"Tiba-tiba dia nak salahkan saya kerana buat cerita. Secara logiknya, siapa yang perlu dipersalahlkan? Saya hanya meminta hak saya itu sahaja," tegasnya.

Oleh: FERIDE HIKMET ATAK

Hanez Suraya Bersyukur Kontroversi Kisah Cintanya Semakin Reda

|| || ,,,, || Leave a komentar
Hanez Suraya bersyukur kontroversi cintanya semakin reda.

PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya meluahkan rasa syukur apabila kontroversi percintaannya dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha yang masih bergelar suami orang semakin reda.

Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 29, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa lega untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa tanpa memikirkan isu tersebut.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat apabila kontroversi ini semakin surut. Walaupun masih ada lagi segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan saya, tidak apa.

"Yang penting saya dapat mengharungi kehidupan dengan lebih positif berbanding sebelum ini," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Kontroversi mula tercetus selepas Hanez membuat pengakuan dia bakal berkahwin dengan seorang lelaki kononnya berstatus duda yang dikenali sebagai Mr.R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha, 34, sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.

Situasi bertambah tegang apabila isteri Romie membuat kenyataan kepada media 2 Mac lalu menuduh Hanez sebagai punca pergolakan rumah tangganya.

Bagaimanapun Hanez menafikan dia sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.



Hanez bakal terlibat dengan teater Projek Kahwin. 


Sementara itu, Hanez memberitahu, walaupun ramai yang mahu dia disingkirkan daripada melibatkan diri dengan teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 6 hingga 14 Jun depan, namun dia nekad untuk meneruskan pementasan tersebut tanpa ragu-ragu.

"Sebelum ini, saya pernah berniat untuk menarik diri tetapi pihak penerbit iaitu Mask Team tidak membenarkan saya berbuat demikian.

"Dan saya ambil semangat dengan menyifatkan ia sebagai salah satu peluang untuk membuktikan bakat saya yang pertama kali melibatkan diri di pentas teater.

"Sebelum bermulanya latihan pada bulan Mei ini, saya akan persiapkan diri dulu dengan berlatih dengan seorang guru teater. Setakat ini saya belum memutuskan siapa yang akan mengajar saya," ujarnya.

Projek Kahwin bakal menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Tiket untuk menyaksikan pementasan teater itu dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM185 dan RM225 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi AirAsiaRedTix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Amirul di talian 013-3962612.


Oleh: FERIDE HIKMET ATAK

Gambar Majlis Pernikahan Pelakon Hairi Safwan Dan Fara Afiza

|| || ,,,, || Leave a komentar
 Hairi dan Fara sah bergelar suami isteri. 




KEPALA BATAS: Juara Anak Wayang musim pertama iaitu Mohd Hairi Safwan Aznan sah bergelar suami kepada bakal guru, Fara Afiza Azman dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam kawasan Kepala Batas Pulau Pinang, Jamal Darus.

Ia berlangsung di Masjid Abdullah Fahim di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pada majlis itu Hairi menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang tangan bernilai RM3,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.

Pihak lelaki turut memberikan sembilan dulang hantaran antaranya kasut, minyak wangi, beg tangan, kamera, sirih junjung, kek dan coklat.

Ia dibalas sebelas dulang oleh pengantin perempuan antaranya kasut, jam tangan, sejadah, buah-buahan, jaket, beg, sirih junjung, minyak wangi dan coklat.

Kedua-dua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih gading.



Hairi sah bergelar suami dengan sekali lafaz.

Hairi yang ditemui selepas majlis akad nikah melahirkan rasa syukur dengan perkahwinan itu dan berharap rumah tangga mereka akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Tambah Hairi, perkahwinan itu juga menandakan permulaan tanggungjawabnya untuk menjadi suami yang sempurna kepada isteri.

"Saya merasakan hidup ini lebih matang dan berazam untuk menjadi suami yang baik untuk isteri saya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Hairi, dia juga bertuah kerana memperoleh seorang isteri yang memahami kerjayanya sebagai pelakon selain tidak menghalang dia untuk bergiat aktif dalam dunia seni.

Sementara itu Fara, 24,  yang kini menjalani latihan amali perguruan di Sekolah Kebangsaan Bandar Utama 2, Petaling Jaya, Selangor dijangka bergelar guru sepenuh masa pada November depan.

Dia merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang juga anak kepada Editor Majalah Kuntum, Asma Saad.

Majlis resepsi pasangan pengantin akan diadakan pada 7 Jun depan di Dewan Bandaraya Alor Setar, Kedah yang merupakan negeri kelahiran Hairi.

Oleh: NIEZAM ABDULLAH