Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007
SHAH ALAM: Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abdin terjawab apabila pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa.
Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Penceraian tersebut dilakukan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor).
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut.
Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi.
Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida.
Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida dan suami Umie iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.
Kemunculan Erra agak mengejutkan apabila dia memakai topeng menutup mukanya.
Pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu memfailkan permohonan cerai dan hak penjagaan anak mereka menerusi peguam syarie, Ahmad Nazib Johari selaku plaintif pada Isnin (semalam).
Manakala Engku Emran diwakili peguam syarie Roslan Sujak Rafiee.
Ketika di mahkamah Erra menjelaskan, permohonan cerai dibuatnya selepas hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman selain tidak tinggal bersama sejak setahun lalu.
Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut bersetuju untuk menyelesaikan hak penjagaan anak mereka iaitu Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun tanpa sebarang pertikaian.
Engku Emran selaku defendan diberikan hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak perempuan mereka manakala Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan.
Kemunculan Erra agak mengejutkan apabila dia memakai topeng menutup mukanya.
Pelakon itu juga tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya.
Dalam pada itu, Erra menegaskan penceraian berlaku secara baik atas persetujuan kedua-dua belah pihak selain mengambil kira kepentingan anak mereka, Engku Aleesya, yang kini berusia lima tahun.
Jelas Erra, mereka telah berbincang dengan mendalam sebelum mengambil keputusan untuk berpisah.
"Penceraian ini adalah secara baik dan Alhamdulillah ia selesai tanpa sebarang masalah," katanya.
Bagaimanapun, Erra enggan mengulas mengenai keputusan memberi hak penjagaan anak kepada bekas suaminya.
Pasangan itu berkahwin pada 25 Oktober 2007.
Keretakan hubungan pasangan itu mula mendapat perhatian sejak dua tahun lalu apabila Erra dan Engku Emran dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung selain lelaki itu dikatakan sudah berkahwin dengan wanita lain tetapi dinafikannya.
Terdahulu Erra pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama tiga tahun tanpa dikurniakan cahaya mata.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI