Noniswara Bersemuka Dengan Rakan Artis Perosak Rumah Tangganya

|| || ,, || Leave a komentar

Gambar Noniswara bersama suaminya,Datuk Rosman Ridzwan



Noniswara mengakui telah bersemuka dengan wanita yang menjadi pihak ketiga dalam rumah tangganya.

 

KUALA LUMPUR: Pelakon Noniswara mendedahkan telah bersemuka dengan seorang artis wanita yang dikatakan menjadi penyebab keretakan rumah tangganya dengan Datuk Rosman Ridzwan sehingga dia membuat keputusan untuk bercerai.

Noniswara atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 43, berkata, dia terpaksa bertemu dengan wanita tersebut bagi mendapatkan penjelasan tetap menemui jalan buntu.

"Sebelum bertemu dengan wanita berkenaan saya ada bercakap dan berbalas SMS dengannya bagi membincangkan perkara yang melanda dalam rumah tangga saya sehingga ia membawa kepada kehancuran.

"Bagaimanapun dia tidak mengakui perbuatan dan kesilapan yang telah dilakukan," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Khamis.

Pada perbicaraan tersebut, Noniswara memberitahu mahkamah suaminya enggan hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan kes penceraian mereka dan gagal dihubungi bagi menyerahkan surat saman berkaitan permohonan cerai yang difailkan sebelum ini.




Nonis bersama peguam syarie, Datuk Amli Embong ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes penceraiannya.
 

Dalam pada itu, Noniswara berkata, dia tidak berhasrat untuk mendedahkan siapakah artis wanita berkenaan kerana yakin segelintir pihak sudah tahu siapakah dalang yang menyebabkan keruntuhan rumah tangganya yang dibina selama empat tahun itu.

"Rasa-rasanya tidak perlu saya sebut siapa wanita berkenaan kerana rasanya semua orang sudah tahu. Tidak perlu saya memburukkan keadaan sekarang," jelasnya.

Tambah Noniswara, sebelum ini dia tidak berhasrat untuk bercerai selepas mengetahui kehadiran orang ketiga itu dan berharap suaminya akan kembali ke pangkal jalan.

Namun apabila masalah itu berlarutan sehingga beberapa bulan, dia mendapati tiada penyelesaian yang mampu menyelamatkan perkahwinan mereka selain membuat keputusan untuk bercerai.

"Saya hadir ke mahkamah kerana sudah bersedia untuk kembali hidup sendiri," katanya.

Sementara itu, Noniswara berkata, dia berharap proses penceraiannya dengan Rosman akan berakhir dengan baik kerana dia tidak mahu kes itu berpanjangan.

Malah dia juga tidak mahu kisah buruk mengenai perkahwinan mereka terbongkar dan menjadi paparan orang ramai sekiranya kes berkenaan tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.

Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Aishah Mahu Artis Ikut Lunas Islam

|| || ,, || Leave a komentar
Aishah sudah bersedia untuk berkempen dan meminta para peminat dapat menyokong perjuangannya.

 
BAHAU: Penyanyi Aishah mahu dunia seni dapat digerakkan mengikut lunas-lunas seperti yang dipraktikkan dalam Islam.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 48, berkata, sekiranya dia memenangi kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) kali ini, dia akan menggunakan kuasa yang ada untuk tujuan berkenaan.

"Dunia hiburan punya pengaruh yang besar dan kita dapat sampaikan mesej dakwah itu melalui dunia seni," katanya kepada mStar Online di sini.

Aishah ditemui pada majlis pengumuman calon PAS untuk kerusi Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sembilan di Muasassah Darul Syarif, Jalan Batu Kikir, di sini malam Rabu.


 Pengumuman dilakukan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut disaksikan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Hadir sama beberapa pemimpin PAS negeri. Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang berkata, dia mahu melihat lebih ramai golongan artis memiliki ilmu agama dan menggunakan populariti yang ada untuk menyebarkannya kepada orang ramai.

Malah katanya, jika hiburan itu dihasilkan sehingga berjaya mendekatkannya dengan Islam, ia akan menjadi sesuatu yang lebih baik.

Dalam pada itu Aishah berkata dia sudah bersedia untuk berkempen dan meminta para peminat dapat menyokong perjuangannya.

"Saya minta sokongan dan saya minta tunjuk ajar daripada semua. Sama-samalah kita bekerja untuk usaha ini (memenangi pilihan raya)," katanya yang kelihatan agak penat menyertai politik.


Oleh NIEZAM ABDULLAH

Elly Mazlein Putus Tunang Dengan Azmi Hatta??

|| || ,, || Leave a komentar
 Elly Mazlein


SHAH ALAM: Pengarah drama Azmi Hatta menafikan pertunangannya dengan aktres Elly Mazlein telah berakhir ekoran hubungan itu dikatakan berantakan.

Azmi, 37, berkata, hubungan mereka masih berjalan seperti biasa dan turut menolak sebarang masalah serius timbul di antara mereka.

"Kami masih bersama dan tiada masalah kritikal yang berlaku dalam hubungan kami," ujarnya ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri Epilog Cinta arahannya dekat sini, Rabu.

Elly dan Azmi, 37, telah mengikat tali pertunangan pada 29 Mei pada 2011 dalam satu majlis di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, dekat sini.

Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu sepatutnya bernikah pada Februari tahun lalu, namun ia masih lagi tertangguh sehingga sekarang.

Dalam pada itu, Azmi berkata, kelewatan mereka melangsungkan perkahwinan adalah disebabkan kesibukan kedua-dua mereka dengan kerjaya masing-masing.



Azmi berkata hubunganya dengan Elly masih berjalan seperti biasa.


Malah katanya, dia tidak mahu menjadi penghalang kepada kerjaya Elly yang sedang berada di tahap selesa sekarang.

"Kami masing-masing sibuk dan Elly ada cita-cita yang perlu dia capai dan tidak mahu menghalang melainkan menyokong.

"Soal bila kami akan bersatu, Insya Allah doakan," ujarnya.

Tambah Azmi, dia juga menyedari tanggungjawab untuk memimpin sebuah keluarga adalah besar dan mahu melengkapkan diri terlebih dahulu.

"Saya mempunyai tanggungjawab besar kepada anak-anak dengan perkahwinan terdahulu dan mahu benar-benar bersedia dengan perkahwinan seterusnya.

"Saya bukan seorang yang sempurna dan masih memperbaiki kelemahan kerana ikatan yang bakal kami bina adalah besar," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, walaupun tidak tertekan dengan khabar angin yang melanda hubungan mereka namun ia sedikit sebanyak telah menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli keluarga.

"Saya ada bawa Elly balik ke kampung untuk menjelaskan situasi sebenar dikalangan ahli keluarga terdekat tentang kekeliruan yang berlaku dan semua memahami," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata dia kini sedang sibuk menyiapkan drama Epilog Cinta yang memulakan penggambaran pada pertengahan Mac lalu untuk siaran slot Samarinda di TV3.

Ia dibarisi pelakon seperti Tasha Shilla, Nazim Othman, Raja Ilya, Alif Aziz dan Arash Mohamad.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Bekas kekasih saman Shakira, tuntut RM300 juta

|| || ,, || Leave a komentar
Shakira (kanan) bersama bekas kekasihnya, Antonio de la Rua

 

BINTANG pop Colombia Shakira disaman RM300 juta oleh bekas teman lelakinya, yang pernah menjadi pengurus perniagaannya selama enam tahun.

Antonio de la Rua menuntut bahawa dia adalah 'arkitek utama' perancangan perniagaan yang membuatkan penyanyi itu mencapai status bintang global.

Dia memohon agar mahkamah mengeluarkan satu perintah ke atas Shakhir menyerahkan 'bahagian perkongsian keuntungan lalu dan masa depan,' menurut kertas yang difailkan di New York.

Shakira pula menyaman de la Rua atas penyelewengan dana.

Kes undang-undang Shakira itu, yang difailkan di Bahamas Oktober lalu menuduh de la Rua membayar sendiri bonus yang tidak dibenarkan dan menggunakan dana dari perkongsian perniagaan mereka untuk membayar perbelanjaan peribadi.

Namun, de la Rua menafikan dakwaan tersebut.

Pasangan itu bertemu pada 2000 sejurus selepas de la Rua menguruskan kempen ayahnya, Fernando untuk menjadi Presiden Argentina.

Memandangkan mereka terlibat dalam hubungan romantik, de la Rua kerap menyertai Shakira dalam pelancongan dunia pertama penyanyi itu - The Tour Of The Mongoose.

Dalam tuntutannya, de la Rua menerangkan bagaimana bintang itu 'terkejut' apabila mengetahui jelajah itu telah mengalami 'kerugian'.

Berita itu menyebabkan tekanan emosi yang melampau dan mengganggu keupayaan untuk tidur dan melakukan persembahan.

Pengurusnya ketika itu dipecat dan diambil alih oleh de la Rua.

Mereka bersetuju de la Rua akan berhak untuk berkongsi keuntungan dari muzik dan usaha perniagaan dalam pertukaran untuk sumbangan perniagaan beliau dan kemahiran pemasaran, pengetahuan dan kepakarannya.

Kertas mahkamah de la Rua mengakui bahawa perkongsian itu, yang bermula pada 2004, hanya berdasarkan perjanjian lisan.

Kertas mahkamah itu menambah: "Gabungan perniagaan dan pemasaran de la Rua dengan bakat seni defendan, kecantikan dan rayuan seks berjaya dalam menggerakkan nilai perkongsian juah melebihi sama ada sebelum ini telah dicapai atau dipercayai mungkin."

Apabila pasangan ini berpisah pada 2010, Shakira mengumumkan dengan menekankan "kami tetap menjadi pasangan dalam perniagaan kami dan kehidupan profesional."

Tetapi setahun kemudian, pada Oktober 2011, bintang pop ini mengarahkan peguamnya untuk menamatkan de la Rua, seolah-olah dia adalah seorang pekerja semata-mata, dakwa kertas undang-undang tersebut.

De la Rua berkata, dia tidak menerima bahagiannya sejak itu dan dia menuntut bayaran tidak kurang dari RM 300 juta.

Bintang itu sedang menanti kelahiran anak pertamanya.

Nabila Harap Isu Cium Lelaki Tidak Undang Kontroversi

|| || ,,, || Leave a komentar

Nabila Huda bersama kekasihnya Nas-T


KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda berharap tindakan spontannya mencium pipi kekasihnya, aktor Nas-T dan memeluk beberapa rakan artis lelaki lain ketika dia diumumkan pemenang Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) pada malam Ahad lalu tidak akan mengundang sebarang kontroversi.

Nabila atau nama penuhnya, Nabila Huda Suhaimi, 29, berkata, keadaan itu berlaku kerana perasaannya yang terlalu gembira apabila meraih anugerah tersebut dan meminta maaf jika ada pihak yang terasa dengan perbuatannya itu.

"Itu perbuatan spontan saya kerana gembira apabila diumumkan menang Pelakon TV Wanita Popular.

"Malah saya juga memeluk rakan-rakan artis lelaki lain seperti Fizz Fairuz dan Tomok kerana mereka sahabat lama yang tahu susah senang saya dalam industri seni ini.

"Tetapi sekiranya ada yang mahu mengata, saya tidak boleh nak berbuat apa-apa dan tidak kisah kerana saya tidak boleh tutup mulut orang. Ini adalah diri saya," katanya.



Sementara itu, Nabila berkata, dia bersyukur apabila hasil penat lelahnya dihargai peminat menerusi hadiah kemenangan yang diraihnya itu.

Malah, beritahu Nabila, kemenangan itu juga merupakan hadiah buat ayahnya, Amy (Search) yang sering terkena tempias kontroversi berkaitan dirinya.

"Saya memang tidak sangka boleh menang kerana tidak pernah mempromosi diri menerusi Twitter atau mana-mana laman sosial lain. Cuma saya hanya menunjukkan diri saya yang sebenar tanpa hipokrit dalam Twitter dan mungkin kerana itu juga para peminat senang dengan saya.

"Apa-apa pun, kejayaan ini juga membuktikan, walau apa pun kontroversi yang terkena pada diri, kerjaya lakonan saya tidak pernah terjejas kerana saya tidak mempunyai masalah disiplin dan sangat bekerja keras.

"Dan hadiah ini juga adalah untuk ayah, saya mahu membanggakan dirinya yang sering disoal macam-macam apabila saya dilanda kontroversi," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Kemenangan Shaheizy Sam Dan Nabila Huda Beri Kejutan

|| || ,,,,,,,, || Leave a komentar
Shaheizy Sam


 Nabila Huda

 
Di luar jangkaan ramai, aktor Shaheizy Sam sekali lagi dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular tahun ini sekali gus mengulangi kejayaan yang sama dalam anugerah berprestij Bintang Popular 2010.

Kejayaannya dengan meraih undian sebanyak 79,656 pada malam kelmarin telah melayakkan bintang itu mengungguli hadiah utama berupa sebuah kereta Nissan Fairlady 370Z Coupe, set barang kemas Habib Jewels, hadiah iringan serta trofi.

Sering menjadi perhatian pengundi, pelakon dan pelawak, Zizan telah menguasai beberapa kategori online sekali gus menjadikannya sebagai pemenang terbanyak menerima anugerah pada malam istimewa itu.

Antara kategori yang diraihnya adalah Gandingan Di layar Serasi, Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial, Artis Lelaki Stailo, Artis Asia Paling Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

Sementara itu, penyampai dan pengacara, Fara Fauzana masih mengekalkan kejuaraannya menerusi dua kategori yang pernah disandang tahun lalu iaitu sebagai pemenang Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular.

Bagi kategori Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular, masing-masing diungguli kali kedua buat Shaheizy Sam dan kejayaan pertama bagi Yana Samsuddin.

Dipengaruhi dengan keberkesanan lakonannya menerusi drama bersiri popular, Adam Hawa, aktor, Aaron Aziz telah melayakkan dirinya menerima trofi bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Dalam pada itu, lebih mengejutkan, apabila kategori yang sama buat pelakon wanita kali pertamanya telah mengangkat nama pelakon, Nabila Huda sebagai pemenangnya sekali gus menewaskan aktres hebat, Fasha Sandha.



Pemenang ABPBH dari kiri, Wawa Zainal, Hafiz Suip, Black dan RJ.

 
Kategori buat pendatang baru dalam industri lakonan iaitu Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular pula telah dimiliki oleh pelakon Aiman Hakim Ridza dan bakat dari produksi  Metrowealth (MIG), Wawa Zainal.

Di samping itu, penyanyi Hafiz dan Shila Amzah menepati ramalan apabila kedua-duanya telah memenangi kategori Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular.

Mengalahkan Zizan Razak, pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Haji Nawawi tahun ini dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

Mengangkat tema ‘Ledakan Geometri’, malam Anugerah Bintang Popular 2012 berjaya dijalankan dengan penuh gilang gemilang, Ahad lalu.

Diserikan dengan telatah tiga hos, Fara Fauzana, Zizan Razak dan Johan Raja Lawak penganjuran kali ke-26  yang dijalankan di Stadium Putra Bukit Jalil ini nyata berjaya mencuit hati penonton lebih 10,000 penonton dengan persembahan memukau daripada artis-artis popular tanah air.

Sam anggap satu magis

Teruja digelar sebagai Bintang Paling Popular pada malam itu, pelakon Shaheizy Sam menganggap kemenangannya tahun ini adalah hasil usaha keras peminat yang tidak berputus asa menyokong karier lakonannya.

Menurut Sam, dia amat menghargai sokongan peminat terutamanya buat kelab-kelab penyokongnya yang sanggup mengatur pelbagai strategi untuk memastikan gelaran Pelakon Paling Popular menjadi miliknya.

“Saya memang tidak sangka dengan kemenangan ini tambahan pula di Malaysia banyak bintang-bintang popular yang memiliki penyokong masing-masing yang mungkin telah mengatur strateginya yang tersendiri.

“Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya tidak pernah memperkecilkan peminat saya sendiri termasuk keluarga yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan saya malam ini," katanya.



Tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi, Sam turut mengatakan kemenangannya itu sebagai satu magis.“Saya bertuah kerana memiliki The Megician Fans. Usaha mereka memang bernilai.

“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya dan dengan kemenangan ini segala usaha peminat terbayar terutamanya buat mummy saya tidak pernah berputus asa mengisi borang untuk saya setiap hari. Sebagai seorang anak saya amat terharu dengan sokongannya itu,” ujarnya.

Bakat atasi kontroversi: Nabila

Buat pelakon yang sering dilanda kontroversi, Nabila Huda, gelaran Pelakon TV Wanita Popular yang berjaya disandangnya itu membuktikan bahawa bakat lakonannya diterima baik oleh masyarakat.

Menurutnya, walaupun penglibatannya dalam industri seni sering dikaitkan pelbagai dengan cerita panas, namun itu bukanlah penghalang buat dirinya memberikan yang terbaik dalam karier lakonannya.

“Ternyata ramai peminat masih dapat menilai dan percaya pada bakat saya dengan baik tanpa menghiraukan perkara lain dan itu membuatkan saya begitu terharu dengan sokongan mereka.

“Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang hipokrit. Apa pun yang berlaku, masih ada peminat yang setia menyokong saya sejak awal pembabitan saya dalam bidang ini,” katanya.

Tambah Nabila, kemenangan kali pertama itu bagaimanapun turut dikongsi bersama bapanya, Amy Serach.

“Saya juga mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada dia. Saya mahu dia tahu, walaupun saya sering dikaitkan dengan kontroversi, saya tetap menjalankan tugas saya sebagai seorang pelakon dengan baik,” jelasnya.


Kerja keras Yana berbaloi

Percaya pada rezeki masing-masing, aktres Yana Samsudin mengatakan kemenangannya pada malam ini berbaloi dengan kerja kerasnya dalam masa beberapa tahun ini.

Menurutnya, persaingan hebat dalam kategori itu membuatkan dia tidak pernah terfikir untuk memenangi anugerah itu.

“Terima kasih buat peminat yang mengundi. Kemenangan ini bukan sahaja atas usaha saya sendiri, namun sokongan peminat turut memberi peranan yang besar.

“Insya-ALLAH selepas ini saya akan sentiasa cuba baiki kelemahan dan terus beri yang terbaik untuk membalas jasa mereka,” katanya.


Shaheizy Sam dan Yana



Wawa Zainal


Zizan


Dalam pada itu, Yana menafikan kemenangan tersebut menjadi alasan buat dirinya menjadi lebih ‘demand’ memilih tawaran lakonan.

“Bagi saya, dari segi memilih karakter yang bersesuaian memang tidak salah. Apa sahaja tawaran yang datang, seperti biasa saya masih akan pertimbangkan terlebih dahulu,” katanya.

Zizan 'raja online'

“Saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang artis. Selebihnya adalah sokongan dan galakan daripada peminat.”

Itulah penjelasan diberikan pelawak,  Zizan Razak yang memonopoli kategori online malam kelmarin.

Walaupun ramai yang meyakini dirinya bakal memenangi kategori Bintang Paling Popular, namun Zizan memberitahu dia cukup bersyukur dengan rezeki yang ada.

“Saya memang tidak sangka akan menang banyak kategori malam ini. Semua calon-calon yang ada tidak kurang hebatnya.

“Ini semua adalah hasil undian ikhlas daripada peminat dan saya bangga memiliki mereka yang sentiasa berada di belakang saya,” ujarnya.

Wawa pernah putus asa

Mengimbas kembali awal kemunculannya dalam industri lakonan, Wawa Zainal akui pernah berputus asa meneruskan kariernya sebagai anak seni.

Menurutnya, kemenangannya dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dianggap sebagai satu titik permulaan buat dirinya untuk terus memperkembangkan bakat lakonannya.

“Kalau boleh selepas ini saya mahu belajar lebih banyak untuk terus berikan yang terbaik kepada peminat.

“Saya akui masih baru dan kemenangan adalah satu penghargaan yang besar buat diri saya dan sekali gus membuktikan masyarakat mula percaya dengan bakat saya,” katanya.