Gangguan Pihak Ketiga Punca Noniswara Tuntut Cerai

|| || ,, || Leave a komentar
Noniswara 



PETALING JAYA: Pelakon Noniswara akhirnya terpaksa menuntut cerai apabila gagal menyelamatkan rumah tangganya sejak tujuh bulan dulu gara-gara ‘gangguan’ pihak ketiga.

Noniswara atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 43, berkata, dia membuat keputusan tersebut apabila mendapati tiada penyelesaian yang dapat menyelamatkan perkahwinannya dengan Datuk Rosman Ridzwan, 54, yang dibina sejak empat tahun lalu.

"Sepanjang pergolakan rumah tangga kami, saya cuba untuk menyelamatkan perhubungan ini tetapi tiada jalan penyelesaian.

"Selepas membuat perbincangan bersama, suami bersetuju dengan keputusan saya untuk memfailkan perceraian.

"Bagaimanapun, pada kes sebutan pertama minggu lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, dia pula yang tidak hadir," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Tambah Noniswara atau lebih mesra disapa Nonis, dia telah memfailkan penceraian terhadap suaminya pada Februari lalu dan sebutan semula bakal berlangsung pada 26 Mac ini di mahkamah yang sama.

Ditanya apakah punca krisis itu kata Nonis, ia disebabkan terdapat orang ketiga yang mengganggu perkahwinan mereka.

"Sepanjang perkahwinan ini, hubungan kami sangat baik namun apabila pihak ketiga itu muncul dalam kehidupan kami, rumah tangga kami jadi kucar-kacir.

"Bagaimanapun, saya reda. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Nak nangis pun tak guna jika tiada penyelesaian.

"Lagipun suami tidak pernah menyuarakan hasrat untuk saya bermadu. Jika dia mahu, mungkin kami boleh berbincang. Apa-apa pun saya terima bahawa jodoh kami tidak kekal lama," ujarnya yang meminta tidak mendedahkan nama wanita pihak ketiga itu.

Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.

Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Haleeda Kini Tampil Bertudung Selepas Lama Menyepi

|| || , || Leave a komentar
Haleeda 



Masihkah anda ingat dengan pelakon dan penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah popular menerusi lagunya berjudul ‘Setia Kasih’ iaitu Haleeda Mazlin.

Agak lama juga Haleeda meninggalkan dunia hiburan tempatan dan kali terakhir berlakon adalah pada tahun 2009 menerusi drama berjudul ‘Kecuali Cintamu’ untuk saluran Astro.

Sewaktu bertemu dengan pelakon ini di Sri Pentas TV3 petang semalam, penampilan Haleeda kini kelihatan semakin ayu dan anggun apabila pelakon tersebut telah mula berubah mengenakan hijab sejak 3 tahun lalu.

“Sebenarnya niat berhijrah ini dah lama, tapi lebih menguatkan lagi adalah masa arwah mak saya tengah sakit tenat. Masa itu terdetik nak berubah sebab saya rasa kita perlu cari ketenangan dalam hidup ini.

“Ini baru hijrah kecil sahaja, maksudnya saya baru belajar berubah dari segi penampilan. Kalau nak berhijrah ini, sikap pun kita kena ubah sekali, oleh itu orang paling dekat dan sering memberikan nasihat adalah ayah saya sendiri.

“Kalau nak dikira, hijrah ini bukanlah suatu perkara besar untuk diraikan, lagipun saya pun masih lagi belajar,” ujar Haleeda sambil tersenyum.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perubahan ini, muncul juga persoalan adakah perubahan ini melibatkan mana-mana parti politik dan adakah Haleeda di jemput untuk menyampaikan ceramah di mana-mana majlis ilmu seperti artis-artis lain?

“Semua ini bergantung pada diri individu itu sendiri. Masing-masing punya kehendak tapi, apa yang penting adalah nawaitu sendiri.

“Saya tak layak untuk beri ceramah apa-apa. Biarlah mereka yang arif sahaja memberikan ceramah,” katanya.

Merujuk perkembangan terbaru, Haleeda bakal muncul dengan drama terbarunya berjudul ‘Bangkitnya Seorang Perempuan’ yang akan ditayangkan di Slot Samarinda, TV3 pada 13 Mac ini.

Berikut kami lampirkan video klip lama Haleeda berjudul “Setia Kasih” buat tatapan anda semua. Jom imbas masa silam sekejap.


Sumber: OhBulan

Zain Saidin Hadiahkan Gelang Emas Kepada Rozita Che Wan

|| || ,,, || Leave a komentar

    

Jika dua minggu lalu pelakon dan pengacara, Zain Saidin menerima jam tangan mewah jenama Maurice Lacroix daripada buah hatinya, Rozita Che Wan kini giliran Che Ta pula menerima ‘habuannya’.

Pada 9 Mac lalu, Zain telah membuat kejutan pada ulang tahun kelahiran Che Ta yang ke 39 di Publika, Solaris Dutamas dengan ditemani teman rapat.

Antara yang hadir adalah krew dan penerbit program bual bicara Primadona, Noor Haina Itam serta dua hos Primadona iaitu Erra Fazira dan Ziela Jalil.

Tidak ketinggalan, Tasha Shilla dan Aiman Hakim Ridza.

Sementara itu, pada ada sebelah malamnya pula, mereka telah menikmati makan malam di KLCC yang turut disertai anak bongsu Che Ta iaitu Aniq Ezra.

Pada hari itu Che Ta menerima gelang eman jenama Habib daripada Zain.

Memetik laporan Berita Harian, hari ini, ditanya bagaimana rasanya meraikan hari jadi dengan status solo sebelum sah menjadi isteri Zain, akhir tahun nanti, Rozita tersenyum.

“Harapan saya begitulah. Kita hanya mampu merancang dan saya harap segala-galanya dipermudahkan,” katanya yang enggan bercerita lanjut mengenai perancangan perkahwinannya.

Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN

Eina Azman Tidak Boleh Bercinta

|| || , || Leave a komentar



PETALING JAYA – Pelakon Eina Azman memberitahu bapanya memberi syarat agar dia tidak bercinta dengan mana-mana lelaki jika mahu terus berada dalam industri hiburan tempatan.

Eina, 18, berkata, dia juga turut menganggap belum bersedia untuk bercinta berikutan usia yang masih muda.

“Saya baru masuk 18 tahun dan masih muda untuk bercinta. Lagi pula saya masih lagi di bawah jagaan ibu bapa.

“Awal-awal lagi ayah sudah beri syarat jika mahu berada dalam bidang hiburan saya tidak boleh bercinta dan pakai seksi, dia tidak mahu timbul gosip dan kontroversi,” katanya kepada media pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama Bangkitnya Seorang Perempuan, di sini, Isnin.

Eina diminta mengulas tentang hubungan istimewanya dengan aktor kacak, Afiq Muiz, 21, yang dikatakan intim selepas kedua-dua mereka menjayakan drama bersiri Mimpi Cindarella, baru-baru ini.

Mereka dikatakan sering kelihatan bersama dan mesra seperti pasangan kekasih.

Bagaimanapun, Afiq yang sepatutnya hadir pada sesi ramah mesra itu tidak dapat hadir berikutan sedang menjalani penggambaran sebuah program televisyen.

Walaupun begitu, Eina tidak menafikan bahawa Afiq merupakan teman paling rapatnya setakat ini dan mereka sering keluar bersama jika kelapangan.

“Saya tidak pernah bercinta dengan dia (Afiq) kami hanya kawan rapat, dia adalah kawan lelaki paling akrab dengan saya.

“Jika tiada kerja kami sering keluar makan dan lepak bersama dan memang saya selalu kemas kini status kami di Twitter. Kalaulah saya bercinta tidak mungkin saya dedahkan lokasi kami berjumpa kami kepada umum,” ujarnya yang mengakui mengenali lelaki itu lebih empat tahun lalu.

Sementara itu, kata Eina, dia turut menolak beberapa tawaran berlakon berpasangan dengan Afiq bagi mengelakkan spekulasi terhadap mereka.

“Ya… Ada beberapa tawaran yang mahu saya berpasangan dengan Afiq tapi saya buat keputusan untuk tolak buat masa ini.

“Biar kami cuba berlakon dengan pelakon-pelakon lain pula, begitu juga dia. Saya tidak mahu nanti penonton bosan tengok kami,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang lakonannya dalam drama slot Samarinda terbaharu ini, Eina mengakui tidak pernah bertemu Afiq di lokasi penggambaran biarpun kedua-duanya terlibat dalam drama bersiri tersebut.

“Dia pegang watak penting dan kali ini berpasangan dengan Anzalna, manakala saya jadi teman baik kepada Anzalna.

“Biarpun kami dua-dua terlibat tapi sepanjang penggambaran saya tidak ada babak yang sama dan tidak jumpa dia sekalipun di lokasi,” katanya.

Dalam drama itu Eina memegang watak Misya iaitu teman baik kepada Balqish yang dilakonkan oleh Anzalna Nasir.

Drama 13 episod ini akan mula ditayangkan bermula Rabu ini pukul 10 malam bagi menggantikan Surat Dari Langit Biru di TV3.

Pelakon Faizal Hussien Enggan Mendabik Dada

|| || ,, || Leave a komentar
Faizal Hussien menjulang trofi kemenangan bagi kategori, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25)




Jika kebanyakan artis memilih untuk lebih selektif setelah berjaya menggenggam trofi di anugerah berprestij, namun tidak bagi pelakon hebat, Faizal Hussein.

Walaupun berjaya menjulang trofi kemenangan bagi kategori, Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), namun anak kepada pasangan pelakon popular, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini enggan mendabik dada.

Malah, Faizal, 45, mengakui, dia tidak akan menolak sebarang tawaran yang diberikan selepas ini sekiranya tidak bercanggah dengan jadual yang sedia ada.

"Buat pengetahuan anda, sebelum ini saya pernah bekerja dengan pengarah dan produksi yang teruk. Namun, saya ambil pendekatan positif dengan memberi sepenuh komitmen terhadap kerja lakonan saya.

"Tidak kira karya itu kecil atau besar, buruk atau atau bagus, jika pelakonnya berjaya menjadikan ia sebagai karya yang bagus, penonton tetap akan suka.

"Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk memilih tawaran baik drama mahupun filem. Apa yang penting, saya mahu memecah dominasi yang watak utama bukan hanya untuk pelakon muda," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

 Kembali meraih kepercayaan

Kemenangannya di FFM25, baru-baru ini benar-benar membuka mata pihak produksi dan pengarah tempatan.

Mengakui banyak menerima tawaran watak berat yang mencabar dan pelakon utama, Faizal berkata, bakatnya mula berjaya meraih kepercayaan industri.

"Ramai yang menganggap, pelakon yang sudah berusia sukar mendapatkan peluang lakonan sebagai watak utama.

"Namun, saya berterima kasih kepada pengarah filem, Bunohan, Dain Iskandar Said, apabila percaturannya ternyata membuka mata banyak pihak.

"Walaupun pada saat-saat akhir, watak saya bakal ditukarkan kepada orang lain, namun Dain tetap mempertahankan saya," katanya yang bakal muncul menerusi filem arahan, Hashim Rejab, Longkai.

20 tahun tidak dicalonkan

Mengakui anugerah tersebut adalah pengiktirafan pertama buatnya di FFFM sepanjang tempoh 30 tahun menapak dalam industri lakonan, Faizal pernah dicalonkan pada tahun 1993, menerusi filem, Kanta Serigala.

Faizal turut berseloroh, kemenangannya pada malam itu hanyalah kerana ketiadaan pencalonan daripada pelakon hebat yang juga sifunya, Eman Manan.

"Kalau Abang Eman ada, tentu saya kalah malam ini," katanya sambil ketawa.

Menurut Faizal, setelah hampir 20 tahun, barulah namanya kembali dicalonkan menerusi Bunohan.

"Walaupun Abang Eman tak ada, namun saya tidak mengharapkan kemenangan.

"Sejak awal lagi, saya sudah pasang niat, kehadiran saya pada malam itu hanyalah untuk bergembira bersama isteri dan anak-anak.

"Namun, saya meletakkan harapan tinggi buat Bunohan kerana ia adalah filem yang bagus dan paling berat yang pernah saya lakonkan," katanya yang terpaksa gelapkan badan dan dijemur tengah panas terik untuk menjayakan watak Ilham.

'Hidup Dan Kitaran Metamorfosis Kupu-Kupu Asmidar'

|| || ,, || Leave a komentar
KEMUNCULAN album, Kali Pertama membuktikan Asmidar serius dalam karier nyanyiannya.


SINONIM dengan single sulung Biar Sampai Ke Bintang selepas menjuarai program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama pada tahun lalu, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad mengorak langkah ke depan dengan kemunculan album pertamanya, Kali Pertama.

Album yang memuatkan tujuh buah lagu itu diistilahkan sebagai sebuah pengembaraan dan perjalanan daripada pengalaman yang kosong menjadi lebih erti.

"Hidup dan kitaran metamorfosis kupu-kupu diibaratkan seperti perjalanan karier saya dan analogi ini sangat istimewa. Selain warna kupu-kupu yang pelbagai, saya turut mengharapkan album ini akan meninggalkan satu calit warna dalam industri muzik tempatan," katanya ketika pelancaran album Kali Pertama di Black Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bermula dengan rentak ala retro menerusi lagu Kali Pertama ciptaan Audi Mok, album itu membawa penonton seolah-olah terbang bersama fantasi yang direka Asmidar.

Menyusul trek kedua, lagu nukilan Taja dan lirik Ad Samad berjudul Goldilocks dengan tempo lebih rancak. Kemudiannya kembali kepada kekuatan vokal Asmidar dengan lagu berentak balada, Bila Cinta Ada, Sepenggal Kasih dan Pesona Cinta.

Menarik tentang album ini, salah sebuah daripada lagu yang termuat dicipta dan senikatanya ditulis khas oleh penyanyi Ana Raffali yang diberi judul Sepasang Sudu.

Secara kasar, ritma signatur Ana tetap boleh dikesan menerusi lagu itu.

Menutup intipati album Kali Pertama ialah lagu yang membawa Asmidar ke puncak kejayaan, Biar Sampai Ke Bintang ciptaan Ajai yang dikekalkan susunan asal kerana mahu mencipta elemen nostalgia.

Mengambil masa 12 tahun untuk dikenali umum, namun kata Asmidar, jatuh bangun dan kegagalannya pada masa silam menyimpan hikmah untuk masa sekarang.

"Seronok apabila muzik saya diterima dalam industri ini tapi saya akan terus membaiki diri untuk menjadi lebih baik.

"Berkali-kali saya putus asa dan banyak kali mencuba tapi gagal. Atas sokongan keluarga dan kawan-kawan saya tidak berhenti dan teruskan mendaki. Alhamdulillah, setiap yang berlaku ada rahmat," katanya yang pernah kecewa ketika rakan seangkatannya seperti Misha Omar, Farawahida dan Azharina terlebih dahulu popular berbandingnya.

Asmidar sebelum ini pernah dinobatkan sebagai naib juara Bintang RTM pada tahun 2000 dan juara Bintang Asli (2006) sebelum memenangi tiga pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di World Championship for Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009.

Memasuki usia 27 tahun dan kariernya baru bermula bagi Asmidar bukan faktor untuk dia mengalah memandangkan persaingan juga kian bertambah.

"Lambat atau cepat tak penting tetapi apa yang akan dibuktikan. Kalau cepat naik tapi tak boleh bertahan tiada guna sebaliknya, lebih hebat kalau lambat tapi meninggalkan impak besar yang lebih bermakna," ujarnya.

Kejayaan menjuarai Vokal Bukan Sekadar Rupa, kata Asmidar, nyata telah membuka perspektif baharu dalam kehidupannya.

"Kesukaran itu ada tapi cabarannya adalah untuk mengatasi kepayahan itu dan memperbaiki diri untuk ke depan. Saya tidak mengharapkan perjalanan lancar tapi saya mengharapkan panduan itu tidak tersasar daripada landasan sekarang," kata Asmidar yang belum terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dalam masa terdekat.

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

Elfira Loy Gugup Ketika Manjadi Pengacara

|| || , || Leave a komentar
Elfira Loy 



PETALING JAYA: Aktres remaja Elfira Loy mengakui gugup dan gemuruh ketika pertama kali diberi tanggungjawab sebagai pengacara siaran secara langsung acara Karpet Merah di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) minggu lalu.

Pelakon berusia 19 tahun ini berkata, kurang pengalaman dalam bidang pengacaraan menjadikan dia mudah tersasul dan gagal mengawal sesuatu situasi.

"Saya tersilap menyebut nama Normah Damanhuri bukan kerana saya tidak tahu nama dia tetapi saya tersasul mungkin kerana terlalu gementar dan saya pula bercakap laju.

"Sementara tentang Izzue Islam pula mungkin kerana soalan yang saya ajukan kepadanya mengelirukan sehingga dia dan penonton menganggap saya tidak buat ulang kaji sebelum bertanya," katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Pelakon telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang ini dikatakan tidak membuat ulang kaji terlebih dahulu sebelum mengacarakan acara besar seperti itu.

Dalam insiden tersebut, Elfira tersilap menyebut nama pelakon veteran Normah Damanhuri selain dikatakan tidak tahu tentang perkembangan pelakon Ezzue Islam yang juga merupakan seorang penyanyi kumpulan Forteen..

Elfira mengacarakan sesi Karpet Merah FFM25 bersama Hefny Sahad.

Jelas Elfira, dia mengakui pengalaman pertama dalam bidang pengacaraan itu memberi pelajaran berharga buatnya.

"Ini pengalaman pertama saya buat secara langsung dan tanpa skrip. Saya tidak tahu format siaran langsung, bila saya perlu berhenti untuk iklan dan sambung semula bercakap.

"Itu semua buat saya rasa gementar dan hilang kata-kata. Saya pula seorang saya cakap laju dan bila disuruh berhenti saya susah nak bercakap semula," ujarnya.

Bagaimanapun, dia menerima semua kritikan dan menganggap ia sebagai cabaran untuk masa akan datang.

"Saya sedar banyak yang perlu diperbaiki lagi, tapi bukan bermakna saya tidak boleh buat bidang pengacaraan ini.

"Saya tidak akan putus asa dan mengalah dengan kritikan orang," katanya yang bakal mengacarakan program remaja Projek Gila bersama pelakon Siti Saleha di TV9, yang bakal bersiaran bermula 1 April ini.


Oleh KEMALIA OTHMAN


Selena Gomez Tertawa Mendengar Gosip-Gosip Liar Justin Bieber

|| || ,,, || Leave a komentar
 Selena Gomez dan Justin Bieber ketika masih bercinta.



BEKAS kekasih Justin Bieber iaitu Selena Gomez, 20, hanya mampu tertawa mendengar gosip-gosip liar yang menimpa penyanyi lagu Baby itu.

Selena tidak sedikit pun berasa prihatin dan kasihan terhadap Justin.

Menurut Contact Music pada Isnin, bekas bintang Disney itu tertawa melihat perilaku tidak matang yang dilakukan oleh Justin.

"Selena ketika melihat Justin di televisyen, dia hanya ketawa dan ketawa. Dia tidak mahu terus berperanan sebagai kekasih lelaki itu. Malah dia bebas dan menikmati usia remajanya bersama-sama teman-temannya," menurut sumber.

Tambahnya, Selena semakin muak dengan perangai kebudak-budakan Justin dan menyedari penyanyi berusia 19 tahun itu hanya menyusahkan hidupnya selama ini.

Selena kini lebih memilih lelaki berusia untuk dijadikan teman hidup berbanding lelaki muda seperti Justin.

Tahniah!! Impian Ogy Ahmad Daud Terlaksana

|| || ,, || Leave a komentar



Tidak pernah membuka gerai makanan namun pengalaman berniaga burger dan pelbagai jenis sup ketika Ramadan menguatkan semangat pelakon Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy untuk mengusahakan perniagaan restoran Ogy D’Greenwood yang terletak di Kampung Simpang Tiga, Greenwood, Gombak yang mula beroperasi sejak penghujung Disember lalu.

Meskipun sedar risiko besar sentiasa menanti, Ogy sudah mempersiapkan diri sejak awal dengan menyertai pelbagai seminar keusahawanan bagi mengetahui selok-belok perniagaan apatah lagi yang membabitkan makanan.

Menurutnya, walaupun makanan adalah keperluan yang akan sentiasa dicari orang ramai, dia perlu memastikan kualiti makanan terjaga demi memastikan pelanggan berpuas hati dengan masakan yang dihidangkan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur hasrat membuka restoran yang sudah lama diimpikan sudah terlaksana dan kini tugas saya untuk memastikan perjalanan restoran berlangsung dengan sempurna dan biarlah ia menjadi perniagaan jangka panjang untuk saya.


“Rakan kongsi juga banyak memberi kerjasama dalam memastikan kelancaran restoran ini. Saya dan rakan kongsi juga sepakat menggunakan nama saya sebagai salah satu pendekatan promosi dan bukan sekadar nama kadang-kala saya juga akan turun padang mengambil pesanan pelanggan.


“Pastinya perkara ini harus dilakukan demi memastikan pelanggan puas hati dengan apa yang disajikan walaupun ada segelintir yang memberi komen negatif, saya ambil perkara ini sebagai semangat untuk diperbaiki dan saya akan berbincang dengan rakan kongsi bagi mencari jalan penyelesaian mengenai masalah yang dibangkitkan,” katanya.

Tidak berhasrat meninggalkan bidang lakonan, Ogy mengakui hampir separuh hidupnya kini dihabiskan di restoran berkenaan.

Ini kerana, niatnya bukan sekadar menyajikan makanan kepada pelanggan, sebaliknya restoran itu akan dijadikan restoran serba guna dengan kemudahan seperti surau, studio dan kelas ke­usahawanan.





“Apa yang saya lakukan sebagai jaminan masa depan selain minat yang sudah lama dipendam, bukan itu saja restoran ini turut menye­diakan pelbagai aktiviti yang mula berlangsung setiap Sabtu dan Ahad sejak 9 Mac lalu.

“Seperti yang tertera di kain rentang, Ogy D’Greenwood bukan sekadar restoran sebaliknya turut menyediakan katering untuk majlis hari lahir, kenduri kesyukuran, perkahwinan dan pertunangan yang mana ruangan di restoran ini mampu memuatkan lebih 200 orang.

“Bukan itu saja, saya juga sedang mempersiapkan bilik di bahagian atas sebagai ruang untuk mengadakan kelas akademi di mana kami akan memberi tunjuk ajar kepada wanita yang berminat untuk belajar kelas penyediaan makanan dan minuman, pastri dan bakeri serta bengkel keusahawanan,” katanya.

Ogy berkata, sebuah gudang besar terletak di belakang restoran berkenaan akan dijadikan studio untuk mana-mana produksi menjalani rakaman. Dalam masa yang sama mereka juga boleh menjamu selera di restorannya.

Restoran yang mula dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam itu menyajikan menu popular, antaranya nasi Arab, mi udang, rojak Singapura, nasi lemak daun kunyit dan nasi ayam Ali Setan selain pelbagai jenis masakan Barat.

Mengakui jiwa seni yang sentiasa mengalir dalam diri, Ogy berharap hasratnya menjemput artis lain atau pelajar dari mana-mana pengajian untuk tampil membuat persembahan pada setiap hari Sabtu dan Ahad akan terlaksana.

“Saya mempunyai perancangan di mana pada setiap hujung minggu akan ada aktiviti dijayakan oleh mana-mana penggiat seni untuk menghiburkan pengunjung. Ini juga sebagai tarikan promosi kepada orang ramai bahawa restoran saya bukan hanya menyajikan makanan semata-mata malah kami menyediakan hiburan kepada orang ramai.

“Saya juga mengalu-alukan peniaga barangan kering untuk berniaga di restoran berkenaan pada hujung minggu dengan berniaga di gerai yang disediakan.

“Saya tidak mahu restoran hanya menumpukan pada makanan semata-mata, justeru banyak perancangan sudah diatur dan in­sya-Allah jika tiada halangan, sepanjang Ramadan nanti juga akan diadakan solat Terawih. Bagi aktiviti setiap Ahad saya harap dapat diwujudkan kelas usrah dan solat sunat berjemaah,” katanya.

Oleh Syanty Octavia Amry

Izara Aishah Mahu Majlis Perkahwinan Yang Sederhana

|| || ,, || Leave a komentar
Izara Aishah  

 
KUALA LUMPUR – Berbicara mengenai alam perkahwinan, pelakon cantik, Izara Aishah, 21, yang tidak pernah berahsia dirinya sudah berpunya ini menjelaskan, dia belum ada perancangan ke arah itu.

Tetapi andai satu hari nanti hari bersejarah itu tiba, cukup dengan majlis sederhana di mana akad nikah dan persandingan diadakan pada hari sama.

“Tidak perlu berhabis untuk majlis perkahwinan kerana kehidupan selepas itu banyak nak pakai duit. Saya nak kereta, pergi berbulan madu, membeli-belah dan buat macam-macam lagi yang menuntut perbelanjaan tinggi.

“Yang boleh saya fikir sekarang, hanya mahu majlis sederhana di satu dewan besar dan dekorasinya putih bersih. Itu sekadar impian, yang berlaku nanti kita tidak tahu,” katanya yang dipetik dari Harian Metro, hari ini.

Mengaku berpunya tetapi lebih selesa merahsiakan identiti kekasih, Izara akui hubungan yang terjalin sejak mereka di tingkatan dua itu melalui fasa yang membahagiakan.

“Keluarga dia kawan keluarga saya. Apabila keluarga selalu berkumpul, bermulalah bibit cinta antara kami.

“Syukur hubungan kami lancar, malah kami saling memahami,” jelas Izara.

Sejurus usai pembikinan filem Sejoli, Izara terikat dengan drama Oh My English musim kedua dan bakal menjalani penggambaran filem Pilot Cafe juga arahan Osman yang dijangka mengambil masa 45 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Pahang.

Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN

Hati Nora Danish Cair Dengan Anuar Zain

|| || ,, || Leave a komentar
Anuar Zain dan Nora Danish
 

Jika sebelum ini, kita pernah mendengar pengakuan daripada penyanyi terkenal, Anuar Zain yang mahukan wanita idamannya mempunyai ciri-ciri seperti Nora Danish.

Kali ini, si bunga pula membuka mulut mengatakan bahawa penyanyi romantis itu juga mempunyai ciri-ciri lelaki idaman yang dicarinya.

Ketika ditanya oleh Utusan siapakah artis lelaki yang bisa mencairkan hatinya, Nora memberitahu, “Anuar Zain! Sebab dia cukup gentleman, semua wanita pasti menyukainya. Peluang berlakon dalam video klip bersamanya baru-baru ini cukup mengujakan saya”.

Selain itu, ibu kepada Putera Rayqal ini turut terpalit kontroversi apabila dikhabarkan dia kini bercinta dengan pelakon Shaheizy Sam.

Nora lantas menafikan perkara itu dengan mengatakan hubungannya dengan anak pelakon Khaty Fauziah itu sebagai suatu yang profesional di antara mereka.

“Hubungan saya dengan Sam juga profesional dan kami hanya sekadar kawan biasa,” katanya.

Mereka dikatakan rapat sejak bergandingan bersama dalam membintangi filem arahan Eyra Rahman yang berjudul 2 Kalimah.

  
Oleh: JULIANA JOHAR 

Remy Ishak Kembali Bersama Tiz Zaqyah

|| || ,,,, || Leave a komentar
Remy Ishak Dan Tiz Zaqyah 


Majlis Pratonton drama TV9 bersama majalah Media Hiburan bertempat di Pavillon, Kuala Lumpur.


Siapa tidak kenal dengan pengarah hebat, Kabir Bhatia yang mula menjadi sebutan setelah drama bersiri arahannya ‘Nur Kasih’ yang ditayangkan pada 2011 berjaya mencuit hati penontonnya.

Nyata keupayaannya dalam menghasilkan drama tersebut dapat memberi impak yang mendalam dan tidak hairanlah drama ini dinobatkan antara drama yang memiliki jumlah penonton yang tertinggi pada tahun itu.

Karyanya tidak terhenti di situ apabila kini dia tampil mempertaruhkan drama terbaru sentuhannya berjudul ‘Cinta Jangan Pergi’ yang pastinya bakal menjadi fenomena baru kepada peminat drama tempatan.

Masih memilih gandingan pelakon utama yang sama dalam Nur Kasih iaitu Remy Ishak (Khalil) dan Tiz Zaqyah (Lea Soraya), drama bersiri 26 episod ini turut dijayakan oleh beberapa pelakon hebat yang lain seperti Nadiya Nisa, Josiah Hogan, Bil Azali, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Eleza Shada dan Kartina Ayoob.

Cinta Jangan Pergi yang bakal bersiaran mulai 6 April ini di saluran TV9 mengisahkan perjanjian manis sepasang kekasih, Lea dan Khalil sehidup semati namun siapa sangka dalam sekelip mata, takdir bakal mengubah segalanya.

Berkesempatan menghadiri majlis Pratonton Drama ‘Cinta Jangan Pergi’ di e@Curve Rabu lalu, Zaas tidak melepaskan peluang untuk menemu bual pelakon utamanya, Remy dan Tiz.

Tidak kekok bersama Tiz

Menyentuh mengenai gandingan bersama bekas kekasihnya, Remy memberitahu dia tidak memiliki masalah dan kekok malah seronok berlakon bersama. “Drama ini adalah cerita yang sangat menarik dengan kisah-kisah cinta yang manis. Jadi saya tidak mahu ketinggalan dan membuang masa melayani perasaan.

“Lebih baik saya menikmati dan fokus terhadap lakonan saya. Gandingan saya dan Tiz dalam drama ini adalah atas dasar profesional kami sebagai pelakon. Lagi pun kami memang tidak ada masalah dan masih berkawan,” jelasnya.

Elak dibayangi Nur Kasih

Memegang watak utama sebagai Khalil, Remy akui lakonannya kali ini sedikit sebanyak memberi cabaran hebat buatnya dirinya. Remy berkata, dia tidak mahu watak Khalil yang dibawanya menerusi Cinta Jangan Pergi di bayangi karakter Adam dalam Nur Kasih.

“Saya pasti penonton akan memberi perhatian terhadap perkara ini tambahan pula saya turut digandingkan dengan Tiz Zaqyah sama seperti Nur Kasih. Oleh itu, sebagai pelakon saya harus lakukan sesuatu yang berbeza supaya mereka tidak jemu dengan lakonan kali ini.

“Saya akui inilah cabaran besar buat diri saya dalam menjayakan watak ini selain terpaksa bertahan dengan cuaca yang sejuk ketika menjalani penggambaran di Eropah,” katanya.

Menurutnya, walaupun tidak mudah untuk membawakan tanggungjawab itu, namun dia akui gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjayakan drama ini.

“Secara keseluruhannya, saya memang sukakan watak dan jalan cerita yang ditampilkan dalam drama ini. Bila pertama kali ditawarkan watak Khalil, saya tidak sabar untuk menjayakannya,” katanya.

Maya kekasih baru?

Mengulas lanjut mengenai gambar percutiannya bersama aktres jelita, Maya Karin yang dimuat turun ke Instagramnya, baru-baru ini, Remy akui hubungan mereka hanya sebagai teman rapat.

“Memang saya ada bercuti di Sabah bersama Maya. Percutian ini sebenarnya adalah atas jemputan pihak Yayasan Sabah. Kami berada di sama selama empat hari di mana dua hari kami berada di Imbak Cayon dan dua hari lagi di Gunung Kuli bersama kenalan Maya dan turut diiringi sekumpulan pengkaji ekologi.

“Seronok sepanjang berada di sana sebab kami juga didedahkan dengan pengetahuan mengenai alam semula jadi,” katanya.

Tambah Remy lagi, memiliki minat yang sama terhadap aktiviti lasak adalah antara faktor mereka berdua menjadi rapat dan dia juga tidak menolak sekiranya dia memiliki jodoh bersama wanita itu.

“Sejak itu kami mula rapat dan selalu berhubung. Sekarang ini apa yang boleh saya katakan, kami hanya berkawan rapat, tapi pada masa akan datang saya tidak tahu. Semuanya di tangan Tuhan, kalau ada jodoh saya tidak tolak,” katanya.

Bukan mudah bersama Remy

Berkongsi pengalaman, pelakon Tiz Zaqyah, 25 akui ia bukanlah mudah buat dirinya untuk bergandingan dengan bekas kekasihnya memandangkan mereka baru sahaja berpisah sewaktu menjalani penggambaran drama ini.

“Saya memang tidak nafikan berlakon bersamanya selepas kami berpisah sedikit sebanyak beri cabaran buat saya. Tapi atas dasar kerja kami perlu lebih profesional untuk memastikan drama ini dihasilkan dengan baik.

“Sepanjang menjalani penggambaran bersamanya, memang kami tidak ada masalah dan semuanya berjalan dengan baik,” jelasnya.

Menurut Tiz, selain daripada itu, cabaran cuaca yang sangat sejuk turut memberi kesukaran buatnya menjalani penggambaran.

“Saya terpaksa menahan sejuk memandangkan baju yang perlu saya pakai ketika itu agak nipis. Tapi mahu tidak mahu saya perlu lakukannya juga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiz juga sibuk menjalani penggambaran ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’, drama yang diadaptasi daripada sebuah novel gandingannya bersama Izzue Islam untuk slot Zehra, TV3 dan pada masa yang sama, Tiz juga akan muncul dalam siri ‘Oh My English’ sebagai Cikgu Ayu.

Sudah temui pengganti

Seperti yang diketahui umum, selepas hubungannya bersama Remy terputus, Tiz kini dilihat sudah pun memiliki pengganti setelah beberapa keping gambar mereka mula dimuat naik di laman sosial Intagram miliknya.

Tidak menafikan perkara itu, Tiz mengaku jejaka bernama Daniel Haziq yang dimaksudkan itu adalah teman lelaki terbarunya.

“Saya memang sudah ada teman lelaki seperti yang peminat boleh lihat dalam Instagram saya. Dia bukanlah kekasih lama saya seperti yang dikatakan khabar angin yang tersebar tapi dia adalah teman sekolah sejak tingkatan dua lagi,” katanya.

Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai jejaka tersebut, Tiz berkata sikap sopan-santun dan sabar yang dimiliki oleh Daniel Haziq telah membuka hatinya untuk menerima pemuda itu.

“Dia seorang yang lemah-lembut, sabar dan tak suka marah-marah dan tahan dengan perangai saya. Itu yang membuat saya selesa dengannya. Bagi saya dalam sesebuah hubungan kematangan dan saling memahami adalah antara faktor yang penting,” kata Tiz.

Serik bercinta dengan artis?

Menyentuh mengenai perancangan dalam perhubungannya kini, Tiz memberitahu buat masa terdekat ini dia lebih selesa untuk memberi fokus terhadap kerjayanya terlebih dahulu.

“Saya masih muda, sekarang ini kalau boleh saya mahu fokus dan mengumpul duit terlebih dahulu sebelum memikirkan soal ini. Bertanya sama ada dirinya serik untuk menjalinkan hubungan cinta bersama rakan artis yang lain, Tiz akui perasaan dan keadaan bercinta sesama rakan artis dan orang biasa adalah sangat berbeza.

Bagaimanapun Tiz tidak menolak jika ketentuan telah menetapkan dirinya bakal bertemu jodoh dengan golongan artis.

“Memang beza kalau bercinta dengan orang biasa dan artis. Bila bercinta dengan orang biasa tidak ramai yang bagi perhatian terhadap hubungan kami,” katanya.

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM
FOTO: AZMI ARYANTO