KEMUNCULAN album, Kali Pertama membuktikan Asmidar serius dalam karier nyanyiannya.
SINONIM dengan single sulung Biar Sampai Ke Bintang selepas menjuarai program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama pada tahun lalu, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad mengorak langkah ke depan dengan kemunculan album pertamanya, Kali Pertama.
Album yang memuatkan tujuh buah lagu itu diistilahkan sebagai sebuah pengembaraan dan perjalanan daripada pengalaman yang kosong menjadi lebih erti.
"Hidup dan kitaran metamorfosis kupu-kupu diibaratkan seperti perjalanan karier saya dan analogi ini sangat istimewa. Selain warna kupu-kupu yang pelbagai, saya turut mengharapkan album ini akan meninggalkan satu calit warna dalam industri muzik tempatan," katanya ketika pelancaran album Kali Pertama di Black Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bermula dengan rentak ala retro menerusi lagu Kali Pertama ciptaan Audi Mok, album itu membawa penonton seolah-olah terbang bersama fantasi yang direka Asmidar.
Menyusul trek kedua, lagu nukilan Taja dan lirik Ad Samad berjudul Goldilocks dengan tempo lebih rancak. Kemudiannya kembali kepada kekuatan vokal Asmidar dengan lagu berentak balada, Bila Cinta Ada, Sepenggal Kasih dan Pesona Cinta.
Menarik tentang album ini, salah sebuah daripada lagu yang termuat dicipta dan senikatanya ditulis khas oleh penyanyi Ana Raffali yang diberi judul Sepasang Sudu.
Secara kasar, ritma signatur Ana tetap boleh dikesan menerusi lagu itu.
Menutup intipati album Kali Pertama ialah lagu yang membawa Asmidar ke puncak kejayaan, Biar Sampai Ke Bintang ciptaan Ajai yang dikekalkan susunan asal kerana mahu mencipta elemen nostalgia.
Mengambil masa 12 tahun untuk dikenali umum, namun kata Asmidar, jatuh bangun dan kegagalannya pada masa silam menyimpan hikmah untuk masa sekarang.
"Seronok apabila muzik saya diterima dalam industri ini tapi saya akan terus membaiki diri untuk menjadi lebih baik.
"Berkali-kali saya putus asa dan banyak kali mencuba tapi gagal. Atas sokongan keluarga dan kawan-kawan saya tidak berhenti dan teruskan mendaki. Alhamdulillah, setiap yang berlaku ada rahmat," katanya yang pernah kecewa ketika rakan seangkatannya seperti Misha Omar, Farawahida dan Azharina terlebih dahulu popular berbandingnya.
Asmidar sebelum ini pernah dinobatkan sebagai naib juara Bintang RTM pada tahun 2000 dan juara Bintang Asli (2006) sebelum memenangi tiga pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di World Championship for Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009.
Memasuki usia 27 tahun dan kariernya baru bermula bagi Asmidar bukan faktor untuk dia mengalah memandangkan persaingan juga kian bertambah.
"Lambat atau cepat tak penting tetapi apa yang akan dibuktikan. Kalau cepat naik tapi tak boleh bertahan tiada guna sebaliknya, lebih hebat kalau lambat tapi meninggalkan impak besar yang lebih bermakna," ujarnya.
Kejayaan menjuarai Vokal Bukan Sekadar Rupa, kata Asmidar, nyata telah membuka perspektif baharu dalam kehidupannya.
"Kesukaran itu ada tapi cabarannya adalah untuk mengatasi kepayahan itu dan memperbaiki diri untuk ke depan. Saya tidak mengharapkan perjalanan lancar tapi saya mengharapkan panduan itu tidak tersasar daripada landasan sekarang," kata Asmidar yang belum terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dalam masa terdekat.
Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN