Izara Aishah Mahu Majlis Perkahwinan Yang Sederhana

|| || ,, || Leave a komentar
Izara Aishah  

 
KUALA LUMPUR – Berbicara mengenai alam perkahwinan, pelakon cantik, Izara Aishah, 21, yang tidak pernah berahsia dirinya sudah berpunya ini menjelaskan, dia belum ada perancangan ke arah itu.

Tetapi andai satu hari nanti hari bersejarah itu tiba, cukup dengan majlis sederhana di mana akad nikah dan persandingan diadakan pada hari sama.

“Tidak perlu berhabis untuk majlis perkahwinan kerana kehidupan selepas itu banyak nak pakai duit. Saya nak kereta, pergi berbulan madu, membeli-belah dan buat macam-macam lagi yang menuntut perbelanjaan tinggi.

“Yang boleh saya fikir sekarang, hanya mahu majlis sederhana di satu dewan besar dan dekorasinya putih bersih. Itu sekadar impian, yang berlaku nanti kita tidak tahu,” katanya yang dipetik dari Harian Metro, hari ini.

Mengaku berpunya tetapi lebih selesa merahsiakan identiti kekasih, Izara akui hubungan yang terjalin sejak mereka di tingkatan dua itu melalui fasa yang membahagiakan.

“Keluarga dia kawan keluarga saya. Apabila keluarga selalu berkumpul, bermulalah bibit cinta antara kami.

“Syukur hubungan kami lancar, malah kami saling memahami,” jelas Izara.

Sejurus usai pembikinan filem Sejoli, Izara terikat dengan drama Oh My English musim kedua dan bakal menjalani penggambaran filem Pilot Cafe juga arahan Osman yang dijangka mengambil masa 45 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Pahang.

Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN