Pasangan kekasih, Jovian Mandagie dan Nina Sabrina
KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, 27 mengaku bahawa dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan kakak kepada penyanyi terkenal, Dafi iaitu Nina Sabrina, 26.
Bercakap kepada portal murai.com.my selepas majlis pertunjukan fesyen Orked iaitu koleksi terkininya untuk hypermarket, Tesco petang semalam, Jovian Mandagie berkata perhubungan itu mula terjalin sejak setahun lalu.
“Alhamdulillah, kami telah berkawan lebih setahun. Hubungan kami bermula sebagai seorang pelanggan dan pereka fesyen, tetapi kemudian selepas kerap berjumpa kami semakin rapat sehingga ke hari ini.
“Apa yang saya tahu, di awal pertemuan kami, Nina mempunyai banyak perancangan perniagaan tetapi kerana ketika itu dia baru sahaja menamatkan pengajian, jadi saya membantunya menunjukkan jalan bagaimana untuk menguruskan perniagaan.
“Saya memberikannya peluang untuk menganjurkan majlis pertunjukan fesyen AviRaya iaitu koleksi fesyen Hari Raya saya tahun lalu dan sejak itu kami kerap bertemu, semakin rapat dan saya telah jatuh hati dengannya,” kata Jovian Mandagie berterus terang.
Tambah pereka fesyen kegemaran Ning Baizura itu, terdapat banyak faktor yang menyebabkan dirinya terpesona dengan gadis berkenaan.
Kata Jovian Mandagie, selain mampu membuat dirinya sentiasa tersenyum, keperibadian Nina yang sentiasa positif untuk menghargai kehidupan sebenar tanpa hanya memikirkan soal kerja, membuatkan dirinya tertawan.
“Saya seorang yang workaholic. Tetapi Nina selalu mengingatkan saya supaya sentiasa menghargai perkara lain iaitu jangan terlalu sibuk dengan kerja dan sikapnya yang sentiasa positif membuatkan saya tertarik dengannya.
“Dari sudut lain pula, saya banyak membantu Nina memberi semangat, motivasi dan perangsang untuk dia terus berjaya terutama bagaimana untuk menguruskan sesebuah perniagaan.
“Malah apabila bersama dengannya, hati saya gembira dan jiwa muda saya kembali segar. Ini kerana sebelum ini hati saya pernah dilukai dan dari situ saya banyak belajar erti perhubungan sebenar sejak bersama Nina.
“Kami kerap luangkan masa bersama, membuat kerja dan adakalanya pergi bercuti bersama-sama. Setiap kali dapat bersama, Nina telah berjaya menjadikan saya, diri saya yang sebenar,” katanya tersipu-sipu malu.
Dintanya bagaimana penerimaan kedua-dua belah keluarga tentang perhubungan mereka berdua itu, Jovian Mandagie berkata keluarganya telah merestui hubungan mereka berdua, tambahan pula dia sudahpun bertemu kedua ibu-bapa Nina.
“Keluarga saya sangat menyukai Nina, malah warga kerja Jovian Mandagie sendiri juga merestui hubungan kami ini.
“Begitu juga Dafi yang sering menyokong dengan perhubungan ini. Dafi juga telah banyak membantu saya terutama jika kami mengalami masalah perhubungan kerana dialah yang akan membantu mendamaikan kami berdua,” katanya kepada murai.com.my.
Sumber: Murai