Tampilkan postingan dengan label Artis Khalwat. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Khalwat. Tampilkan semua postingan

Shah Jaszle & Redzwani Puteri Terpaksa Putus Tunang Kerana Desakan Keluarga

|| || ,,,, || Leave a komentar
 Hubungan cinta Shahrizal dan Redzwani masih mesra seperti biasa.



PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan tunangnya Redzwani Puteri, 25, diputuskan atas desakan keluarga dan bukannya kerelaan hati pasangan tersebut.

Sumber terdekat pasangan itu berkata, keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu dibuat oleh keluarga pihak perempuan dan ia seboleh-bolehnya tidak diingini oleh pihak lelaki.

“Keluarga perempuan yang mendesak untuk memutuskan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri selepas berita kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita heboh diperkatakan.

“Secara jujurnya, Shahrizal dan Redzwani Puteri masih lagi pasangan kekasih dan mereka tidak sanggup untuk berpisah,” kata sumber itu.

Sebagai bukti katanya, Redzwani Puteri kerap kali dilihat menemani Shahrizal di lokasi penggambaran dan jika benar mereka tiada kaitan, tidak mungkin pertemuan itu boleh berlaku.

 



Mesej berbalas yang dipaparkan pada Twitter Shahrizal dan Redzwani menunjukkan mereka masih lagi intim.
 

Jelas sumber itu lagi, Redzwani Puteri dan Shahrizal juga merasakan mereka masih lagi dalam ikatan pertunangan walaupun pada dasarnya pihak perempuan sudah memulangkan cincin pemberian pihak lelaki.

“Semalam (Khamis) Redzwani Puteri menemani Shahrizal di lokasi penggambaran sebuah drama di Taman Rimba Templer, Rawang. Ia adalah bukti mereka masih lagi mempunyai hubungan sama seperti pasangan kekasih lain.

“Ia diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua mereka sering membalas mesej di Twitter sambil meluahkan rasa sayang masing-masing,” ujar sumber berkenaan.

Kisah pasangan tersebut menjadi bertambah rumit apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat mereka pada November depan.

Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.

Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.

Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.

Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kekasih Gelap Shahz Jaszle Tidak Akan Berdiam Diri

|| || ,, || Leave a komentar
Gambar Farah ketika ditemubual oleh wartawan.


Kuala Lumpur: “Dakwaan kononnya saya perempuan aneh dan psiko sangat melampau dan saya tidak akan berdiam diri kerana saya bukannya bodoh seperti mana dia sangkakan,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 21 yang ditangkap khalwat bersama aktor Shahz Jaszle di sebuah unit Apartmen Taman Sri Subang, 16 Mei lalu.

Jelas Farah yang ditemui semalam, dia kesal dengan kenyataan Shahz atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin yang sudah pun bertunang dengan Redzwani Puteri Disember lalu bagi menyelamatkan diri sendiri dan menutup sikap curang terhadap tunangnya.




 Gambar Shah Jaszle dan Tunangnya, Redzwani Puteri


Katanya, yang bekerja di sektor perbankan itu, dia terkejut membaca kenyataan Shahz dalam akhbar semalam kerana semuanya adalah penipuan dan permainan ‘murah’ seorang lelaki yang ingin lari daripada masalah.

“Bukti dan saksi yang tahu kami bercinta ada pada saya dan jangan sampai semuanya didedahkan jika keadaan mendesak. Malah, saya masih menyimpan semua perbualan kami menerusi BBM (Blackberry Messenger) di telefon bimbit sebagai bukti.

“Saya tidak teragak untuk membawa semua saksi dan bukti itu kepada media asalkan nama baik saya dan keluarga dapat dibersihkan. Jika benar dia (Shahz) bercakap benar, datang bersemuka atau kita berdepan pihak media bersama,” katanya.-HM




Minggu lalu nama Shah Jaszle kembali panas ekoran seorang wanita tampil membuat kenyataan tentang isu khalwat yang membabitkan pelakon it, kepada sebuah program hiburan hujung minggu lalu.

Dalam sebuah akhbar hari ini pelakon berusia 25 tahun itu tampil membuat kenyataan balas dengan menyifatkan tindakan wanita tersebut serta boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Bagi menjelaskan apa yang berlaku, pelakon itu berhasrat mengadakan sidang media dalam waktu terdekat untuk mendedahkan segala-galanya, termasuk dakwaan mengatakan dia mempunyai hubungan istimewa dengan wanita terbabit.

“Saya akan mengemukakan semua bukti, termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur paksaan yang dihantar kepada saya. Dia hanya menunjukkan sebahagian SMS saja, tetapi kenapa tidak kemukakan semua sekali apa yang dihantar kepada saya?

“Lagipun apa bukti menunjukkan saya penghantar SMS itu, sedangkan tiada nombor yang tertera pada paparan skrin telefon?

“Sepatutnya saya dan peguam mahu memberikan fokus pada kes khalwat, tetapi nampaknya wanita itu bertindak melampau.

Dia sudah keterlaluan, jadi saya tidak boleh berdiam diri walaupun dinasihatkan menutup mulut,” katanya.
Selama berkenalan dengan wanita itu, kata pelakon ini, dia tidak pernah berjanji apa-apa dengannya.

“Dia memang suka mendesak, malah sanggup ke rumah keluarga untuk mencari saya,” katanya sambil menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan wanita ‘misteri’ itu, seperti didakwa.

Jelas Shah lagi, dia mengenali wanita yang juga seorang kru dan pelakon tambahan itu ketika terbabit dalam penggambaran drama Lembayung Kasih Mu. Mungkin sikapnya yang mudah mesra membuatkan wanita terbabit menyalah tafsir niatnya.

“Kami kenal tiga minggu saja, jadi bagaimana dia boleh mendakwa kami mempunyai hubungan istimewa? Dia mengeluarkan gambar kami berdua, seolah-olah hendak membuktikan kami mempunyai hubungan intim. Memang saya mengaku itu gambar saya, tetapi ia diambil sewaktu di lokasi penggambaran.

“Saya rasa dia psiko. Dia sengaja mahu memutuskan hubungan saya dengan tunang, Redzwani Puteri. Sebelum kes khalwat ini, memang dia ada berjumpa dengan tunang saya, untuk mendedahkan mengenai hubungan yang kononnya wujud antara kami.

Tetapi, tunang saya tidak layan, malah tidak juga melatah. Mungkin kerana masih gagal memisahkan kami, dia menggunakan cara lain pula untuk memburukkan lagi keadaan.

“Memang saya sangat terkejut dengan tindakannya dan ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya pada kerja. Mujur tunang saya memahami dan mengenali siapa saya.

“Dia seorang yang pelik kerana selepas kes khalwat itu, dia tidak menunjukkan rasa bimbang atau serba-salah dengan apa yang berlaku. Seumur hidup, saya belum pernah berjumpa dengan manusia seanehnya,” katanya.

Shah Jaszle dan wanita berkenaan ditahan kerana dipercayai berkhalwat pada 16 Mei lalu, menerusi serbuan dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Pangsapuri Taman Sri Subang, kira-kira jam 3.30 pagi.-BH


Miera Leyana Harap Kes Khalwat Jadi Pengajaran Buat Shah Jaszle

|| || ,,, || Leave a komentar
Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Pelakon Miera Leyana berharap kejadian ditangkap khalwat yang menimpa bekas kekasihnya pelakon Shahrizal Jaszle menjadi satu pengajaran buat pelakon tersebut.

Miera, 20, berkata, Shahrizal atau lebih dikenali sebagai Shah dapat berhadapan dengan perkara tersebut dengan tabah.

"Saya terkejut dan ingat perkara tersebut hanya gurauan apabila diberitahu oleh salah seorang pelakon, tapi apablia terbaca di internet baru saya percaya.

"Bagi saya setiap yang berlaku ada hikmahnya dan saya harap dia mengambilnya sebagai satu pengajaran buatnya," ujarnya.

Miera berkata demikian ketika diminta mengulas tentang bekas kekasihnya Shahrizal jaszle, 25, yang ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor di sebuah unit apartment Taman Sri Subang, Khamis lalu.

Kata Miera, sebagai kawan dia bersimpati dengan kejadian tersebut yang sedikit sebanyak menjejaskan nama Shah sebagai pelakon.

"Kesian dekat dia juga sebab mungkin kejadian sebenar kita tidak tahu dan mungkin juga dia diperangkap.

"Saya harap dia dapat hadapi dengan tabah," katanya.

Tambahnya, sejak putus cinta dengan pelakon Cinta Bertaut Di Abu Dhabi itu, dia jarang berhubung antara satu sama lain.

"Kami tidak berhubung lagi lepas putus, hubungan pun hanya sebagai rakan artis sahaja.

"Masing-masing buat hal sendiri dan ini kali pertama saya baca berita tentang dia selepas berpisah," katanya.


Oleh KEMALIA OTHMAN

Pelakon Shah Jaszle Ditangkap Khalwat

|| || ,,, || Leave a komentar
Gambar semasa majlis pertunangan Shah Jaszle dan Redzwani Puteri Disember lalu.



SHAH ALAM -  Jabatan Agama Islam  Selangor (JAIS) mengesahkan pelakon filem  Azura, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmi atau yang  dikenali sebagai Shah Jaszle ditahan oleh pihak berkuasa itu pada awal pagi ini.

Pelakon berusia 25 tahun itu, yang telah bertunang pada Disember tahun lepas, ditahan pada 3.30 pagi selepas pasukan penguatkuasa mendapat maklumat daripada orang awam.

Pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin berkata,  pelakon tersebut ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS di Apartment Taman Sri  Subang di sini pada pukul 3.30 pagi.

“Penahanan Shah Jaszle berdasarkan Seksyen  29 (1) A & B, Enakmen Jenayah Syariah negeri Selangor 1995 iaitu lelaki yang didapati berada  bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau  mahramnya dan sebaliknya.

“Jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak  melebihi RM3,000  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau  kedua-duanya,” katanya dalam  kenyataan di sini  hari ini.

Marzuki berkata, penangkapan tersebut dibuat  berdasarkan aduan orang awam kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS semalam.

Sementara itu, menurut sumber, apartment itu dikatakan milik rakan pelakon itu.Ketika serbuan, terdapat satu lagi pasangan namun selepas pemeriksaan didapati sudah berkahwin.

Manakala pelakon itu dikatakan ditahan bersama pasangannya berusia 21 tahun di dalam sebuah bilik berasingan di apartment itu.

 
Pelakon berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan wanita yang lebih berusia serta seorang lagi pelakon wanita, namun hubungannya dengan mereka berakhir begitu sahaja apabila pelakon itu di katakan telah berlaku curang.

Kami juga difahamkan, tunang pelakon itu dikatakan datang sendiri ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor bagi menjamin bakal suaminya itu.