PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan tunangnya Redzwani Puteri, 25, diputuskan atas desakan keluarga dan bukannya kerelaan hati pasangan tersebut.
Sumber terdekat pasangan itu berkata, keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu dibuat oleh keluarga pihak perempuan dan ia seboleh-bolehnya tidak diingini oleh pihak lelaki.
“Keluarga perempuan yang mendesak untuk memutuskan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri selepas berita kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita heboh diperkatakan.
“Secara jujurnya, Shahrizal dan Redzwani Puteri masih lagi pasangan kekasih dan mereka tidak sanggup untuk berpisah,” kata sumber itu.
Sebagai bukti katanya, Redzwani Puteri kerap kali dilihat menemani Shahrizal di lokasi penggambaran dan jika benar mereka tiada kaitan, tidak mungkin pertemuan itu boleh berlaku.
Jelas sumber itu lagi, Redzwani Puteri dan Shahrizal juga merasakan mereka masih lagi dalam ikatan pertunangan walaupun pada dasarnya pihak perempuan sudah memulangkan cincin pemberian pihak lelaki.
“Semalam (Khamis) Redzwani Puteri menemani Shahrizal di lokasi penggambaran sebuah drama di Taman Rimba Templer, Rawang. Ia adalah bukti mereka masih lagi mempunyai hubungan sama seperti pasangan kekasih lain.
“Ia diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua mereka sering membalas mesej di Twitter sambil meluahkan rasa sayang masing-masing,” ujar sumber berkenaan.
Kisah pasangan tersebut menjadi bertambah rumit apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat mereka pada November depan.
Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.
Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.
Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.
Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.