Adira
DIA bukan bergelar juara Akademi Fantasia (AF) seperti rakan seperjuangannya seperti Hafiz, Stacy mahupun Hazama. Namun, pelantun lagu Ombak Rindu kelahiran Kundasang, Sabah ini juga memiliki kelasnya tersendiri. Bukan saja bersandarkan paras rupa jelita dengan kulit putih melepak, naib juara AF musim kelapan ini juga memiliki pakej lengkap untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni tanah air.
Tahun ini saja, nama Adira tercalon dalam dua anugerah berprestij iaitu Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) menerusi lagu duetnya bersama Hafiz (Ombak Rindu) dan pencalonan awal, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 melalui kategori Penyanyi Wanita Popular.
MARA KE FINAL...Adira dan Hafiz akan beri persembahan terbaik menerusi Ombak Rindu dalam AJL27.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Siti Adira Suhaimi, 22, mengakui bersyukur dengan apa yang dikecapinya hari ini.
“Sepanjang lebih tiga tahun berkecimpung dalam bidang seni, sudah bermacam ujian, gosip mahupun kontroversi sudah dilalui untuk berada pada tahap ini.
Namun, saya terus cekal mengharungi semua keperitan itu demi minat yang cukup mendalam dalam bidang nyanyian. Ia impian dalam hidup saya, sejak dulu.
“Kini, fokus saya untuk mengukuhkan lagi nama dan karier seni. Saya perlu bekerja dua kali ganda daripada orang lain kerana perlu bersaing dengan kemunculan ramai artis baru ketika ini,” katanya.
Berkongsi persiapannya pada AJL27 yang hanya tinggal lagi tiga minggu, kata Adira, debaran semakin dirasainya ketika ini.
“Apabila berdebar, saya akan kerap ke tandas untuk menghilangkan perasaan gemuruh itu. Debaran sudah dirasai sekarang itu belum lagi berada di pentas nanti.
“Dari segi persiapan pula, paling penting adalah aspek vokal dan tahap kesihatan dengan mendapat rehat yang cukup sekali gus memberikan yang terbaik pada persembahan nanti.
“Selain itu, saya dan Hafiz juga perlu mencari masa sesuai untuk berlatih kerana agenda masing-masing padat. Kami juga ada gimik dalam persembahan nanti tapi saya tidak boleh beritahu sekarang,” katanya.
Ditanya kekuatan lagu ciptaan Zaidi itu, Adira sendiri mengakui tarikan yang ada pada lagu berkenaan.
“Lagu ini sendiri meninggalkan kesan mendalam pada diri saya selaku penyanyi.
Lagu ini memang ‘berhantu’. Setiap kali memenuhi undangan persembahan termasuk meraikan majlis resepsi perkahwinan rakan artis, Diana Danielle dan Farid Kamil baru-baru ini, lagu Ombak Rindu juga yang diminta peminat. Saya pun tak mampu untuk menolak.
“Justeru, saya sangat gembira apabila lagu Ombak Rindu berjaya mara ke peringkat akhir AJL27. Lagu dan lirik Ombak Rindu memang kuat kerana jika tidak pasti lagu ini tidak akan menonjol seperti sekarang.
“Sebagai penyanyi kami janjikan yang terbaik atau ‘all out’ kerana ingin melihat semua orang gembira nanti,” katanya.
Kalah atau menang, adalah adat dalam mana-mana pertandingan pun. Justeru kata Adira, dia hanya menyerahkan perkara itu pada soal rezeki. Saya tak nak letak harapan terlalu tinggi pada lagu Ombak Rindu kerana kalau kalah, saya juga yang akan kecewa nanti.
“Sebagai penyanyi, tanggungjawab saya buat ‘all out’ dan jika tewas pun kita tak berasa terkilan. Pada masa sama, semua 12 finalis yang bertanding pada AJL27 memiliki kekuatan tersendiri dan ada peluang untuk menang. Saya pun suka semua lagu yang bertanding kali ini kerana semuanya bagus,” katanya.
Adira pernah dua kali mara ke AJL menerusi single pertamanya, Ku Ada Kamu pada 2011. Begitu juga pencalonan dalam ABPBH 2012, kata Adira, dia juga hanya menyerahkan keputusan pada soal rezeki.
“Tercalon dalam ABPBH pada tahun ini membuktikan peminat masih menyokong karier seni saya. Itu sudah cukup. Kalah atau menang ketentuan Tuhan.
“Kalau menang, ia adalah bonus untuk menyuntik semangat artis terus memberikan yang terbaik selepas ini.” katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Adira, album penuhnya juga masih dalam proses pembikinan lagi dan dijangka siap pada tahun depan.
Adira tidak mencari cinta
WANITA secantiknya pasti tidak terlepas daripada dikaitkan dengan mana-mana artis lelaki terutama yang digandingkan dengannya dalam lagu atau drama. Selepas Hafiz, kisah cintanya dengan AG (Coco) juga dikatakan menemui noktahnya, baru-baru ini.
Menyusul selepas itu, Adira dikaitkan pula dengan pasangannya dalam drama Tiara iaitu pelakon Aliff Aziz sedangkan mereka sekadar ‘bercinta’ dalam drama untuk Astro Prima itu saja.
Adira dan Aliff juga rapat kerana mereka juga berduet menerusi lagu Keabadian Cinta yang juga lagu tema drama Tiara ciptaan Manusia Putih. Hakikatnya, sampai saat ini, Adira masih belum ada teman istimewa lagi.
Ditanya kenapa dia masih solo tanpa pengganti, kata Adira, sampai sekarang dia belum bertemu lelaki yang sesuai untuk mengisi kekosongan hatinya.
“Bukan mudah untuk mencari lelaki yang baik untuk dijadikan teman istimewa atau calon suami. Bagi saya cinta itu tidak boleh dipaksa, biarlah ia datang dengan sendirinya.
“Saya juga tidak pandang dari segi paras rupa kerana yang penting dia calon yang tepat untuk menjadi teman hidup kita,” katanya.
Bagaimanapun, kata Adira, dia tidak menolak jika ditakdirkan bercinta semula dengan Hafiz selepas ini.
“Namun buat masa ini, kami lebih selesa berkawan rapat saja dan fokus pada karier seni masing-masing,” katanya.
Oleh Ramlah Zainal