Hafiz
Hetty Koes Endang
Kemenangan Hafiz Suip, 23, atau Hafiz di Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27) dalam kategori Vokal Terbaik kali ketiga berturut-turut, ternyata telah membuka mata ramai pihak.
Menerusi lagu Ku Akui, Hafiz bukan saja memukau seluruh penonton yang hadir di stadium, malah, salah seorang juri yang juga penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang turut memberikan tepukan berdiri (standing ovation) sebaik saja Hafiz selesai membuat persembahan.
Menerusi laporan sebuah portal, Hetty dikatakan amat tersentuh dengan persembahan Hafiz.
Saat dikhabarkan perkara itu kepada Hafiz, anak muda kelahiran Kuching, Sarawak ini ternyata terkejut besar.
Apatah lagi, menurut Hafiz, dia sebenarnya tidak menyedari kehadiran Hetty sebagai juri dalam pertandingan berprestij itu.
"Menerima standing ovation daripada penyanyi handalan seperti Hetty merupakan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidup.
"Saya juga sangat berterima kasih kepada dia kerana menyukai persembahan saya," katanya yang enggan lupa diri dengan pujian.
Hafiz turut berkongsi, pelantun lagu Berdiri Bulu Romaku itu pernah menjadi pengkritik ketika dia menyertai program realiti, Akademi Fantasia 7.
"Dia pernah memberikan kritikan terhadap persembahan saya.
"Dari situ, saya ambil komennya untuk meningkatkan mutu persembahan saya," katanya.
Cipta lagu sendiri
Menyentuh mengenai perancangannya selepas AJl27, Hafiz berkata, dia akan tampil dengan album kedua, dalam masa terdekat.
Menariknya mengenai album tersebut, Hafiz akan cuba lari daripada imej penyanyi balada yang sering dilabel kepadanya.
"Dalam album ini, saya kurangkan lagu balada sebaliknya muzik saya lebih cenderung kepada konsep alternatif.
"Saya tidak kisah mencuba sesuatu yang baru kerana saya memang jenis sukakan cabaran," katanya yang bernaung di bawah pengurusan Astro.
Selain mendapatkan khidmat ramai komposer tanah air dan seberang, Hafiz juga buat pertama kalinya menyumbangkan lagu ciptaannya sendiri.
"Lagu berjudul Mungkinkah ini merupakan percubaan saya untuk meneroka bakat dalam bidang penciptaan lagu.
"Saya banyak belajar dari orang lain untuk mencipta lagu dan harap peminat dapat menerima karya saya kelak," katanya.