Saleem bersama isterinya, Julia.
KUALA LUMPUR: Isteri dan pengurus kepada penyanyi Saleem iaitu Julia memberitahu usaha beliau untuk menyekat suaminya daripada berjumpa individu yang masih terlibat dengan dadah adalah cabaran paling besar bagi memulihkan Saleem dalam kegiatan itu.
Julia atau nama sebenarnya Juliana Bachok, 46, berkata kesabaran itu serta sokongan daripada keluarga akhirnya membuahkan hasil sehingga Saleem berjaya meninggalkan perbuatan buruk tersebut.
"Jika tiada sokongan dan kesabaran sudah pasti usaha saya tidak akan menampakkan hasil untuk menjauhkan dia (Saleem) daripada mendekati anasir-anasir yang membolehkan dia terlibat semula dengan dadah.
"Bagaimanapun saya berani katakan beberapa tahun ini dia sudah berada pada tahap paling baik dalam hidupnya," ujar Julia kepada mStar Onlineketika ditemui pada sidang media Konsert Gegar 5 Legenda di Istana Budaya di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Julia berkata, Saleem kini sudah boleh berdikari dan mampu menguruskan masalah dan tekanan berkaitan kerjayanya dengan baik.
Ada kalanya menurut Julia dia tidak akan menemani Saleem ke mana-mana kerana suaminya itu sudah mampu menguruskan kerjayanya sendiri.
"Pada tahap ini kepercayaan saya kepadanya adalah 100 peratus dan sebab itu saya memberi dia peluang untuk menguruskan sendiri hal berkaitan kerjaya selain membenarkan dia keluar bersendirian,” jelasnya.
Sementara itu, Saleem, 52, pula bersyukur apabila rezekinya semakin murah dengan pelbagai undangan nyanyian di seluruh negara.
Dia juga merancang untuk mengadakan konsert jelajah di Indonesia sebagai salah satu projek besarnya pada tahun ini.
"Perancangan sedang dibuat dan ada pihak di Indonesia yang berminat untuk menunaikan hasrat saya ini," jelasnya.
Tambah Saleem, dia juga bakal muncul dengan single terbaru berjudul Bila Orang Dah Benci dalam masa terdekat ciptaan Eddie Hamid.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI