Fasha Sandha Akan Berpantang Di Rumah Mentua

|| || ,,, || Leave a komentar




KECERIAAN yang dipamerkan wanita ini membawa aura tersendiri buat kehidupannya selain kekal menawan walaupun sedang sarat mengandung anak pertama. Anak seni yang terkenal dengan jolokan pelakon wanita air mata ini mengakui tempoh sembilan bulan ini merupakan detik paling indah buat dirinya.

Mengakui gementar untuk melalui episod baru dalam kehidupan, bagi Nur Fasha Sandha Hassan, 29, tiada apa yang lebih gembira untuk mengetahui kehadiran anak sulung bakal memeriahkan lagi kehidupannya.

"Kandungan sekarang sudah masuk bulan ke sembilan, dan dijangkakan saya akan melahirkan anak pertama saya pada hujung Mac atau awal April nanti.

"Sebenarnya ramai yang tak faham jangka masa hamil yang normal bukanlah sembilan bulan, tetapi sebenarnya tempoh kandungan yang sepatutnya adalah dalam lingkungan 14 minggu iaitu 10 bulan," katanya ketika ditemui pada sesi bertemu peminat di Medan Ikan Bakar Ndah Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Memilih untuk tidak mengambil sebarang tawaran berlakon sepanjang enam bulan lalu, bagi Fasha itu bukan bermakna dia tidak seaktif dahulu.

Masih melakukan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh kehamilan, dia tahu bukan mudah untuk duduk berehat sahaja.

"Bila tidak berlakon ramai yang beranggapan saya hanya duduk di rumah sahaja. Pada hal saya masih lagi melakukan aktiviti biasa. Jika kelapangan saya masih ke salon milik saya, malah sepanjang berada di rumah juga saya banyak menjalankan kerja-kerja sebagai suri rumah seperti memasak.

"Dalam tempoh ini juga saya sebenarnya masih lagi memandu. Bagaimanapun ibu mentua saya tetap memberi nasihat agar tidak terlalu aktif," katanya tersenyum.

Melalui pengalaman mengandung kali pertama, menurut Fasha dia banyak menerima pelbagai nasihat daripada ibunya sendiri dan ibu mentua. Bagaimanapun kekal dengan sikap aktifnya, menurut Fasha dia memilih untuk menilai sendiri setiap pantang larang tersebut.

"Saya seorang yang biasa, berasal dari kampung dan saya tahu ada pantang larang yang perlu di patuhi.

"Namun, jika terlalu mengarut dan sukar diterima akal, saya tidak akan terlalu mempercayainya. Bagaimanapun bantuan dari ibu saya serta ibu mentua banyak membantu saya melalui tempoh kehamilan ini," katanya.

Pantang 100 hari

Mengakui merindui saat berada di set penggambaran, bagi Fasha bukan mudah untuk seorang pelakon sepertinya meninggalkan kerjayanya terlalu lama. Walaupun begitu menurut Fasha dia tetap bersyukur untuk mengetahui sekembalinya dia ke dunia seni nanti masih ada tawaran untuk dirinya.

"Kalau boleh memang hendak berlakon, tetapi bentuk fizikal saya sudah berubah, jadi saya tidak fikir sesuai untuk menerima apa-apa tawaran sekarang.

"Sebenarnya ada juga yang sudah memberi tawaran berlakon, malah ada yang ingin tahu bila saya boleh kembali ke set," katanya tersenyum.

Menegaskan akan berpantang selama 100 hari, menurut Fasha tempoh tersebut penting buat dirinya untuk kembali bersedia ke dunia hiburan.

"Saya akan melahirkan anak saya di Kuala Lumpur.

"Sepanjang tempoh berpantang 100 hari itu saya akan berada di rumah mama saya dan separuh lagi di rumah Mommy (ibu Jejai) ini merupakan permintaan dari suami saya yang mahu saya berpantang di rumah ibunya," katanya.

Memberitahu bakal melalui proses pelangsingan badan secara intensif dengan sebuah syarikat yang memilihnya untuk menjadi duta, menurut Fasha dia mahu penampilannya selepas bersalin nanti kekal seperti sebelumnya.

"Saya mahu saya betul-betul kurus sebelum kembali berlakon.

"Buat masa ini saya belum mahu memberitahu saya akan mewakili produk pelangsingan apa. Cuma saya sudah tetapkan pilihan saya untuk kembali dengan bentuk badan dahulu," katanya.

Menurut perancangan, Fasha bakal kembali ke dunia lakonan pada awal Julai depan.

Fasha berkata, walaupun waktu itu dia sudah bergelar ibu, tiada apa yang akan menyekatnya untuk membawakan watak-watak hebat seperti sebelum ini.

"Kalau ikutkan saya akan kembali pada awal Julai nanti.

"Buat masa ini suami tidak melarang saya untuk kembali aktif sepenuhnya, cuma sebagai isteri dan sebagai ibu rasanya batas itu perlu ada terutamanya dari segi masa," katanya.

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin