Hetty Koes Endang bersama anaknya Afifah Qamariah.
PENYANYI Hetty Koes Endang berpegang dengan peribahasa yang Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung dalam perjalanan hidupnya. Walau apa juga keadaan yang berlaku di Indonesia, penyanyi veteran ini tetap bangga dengan tanah tumpah darah kelahirannya itu.
Sungguhpun begitu, jika diberi pilihan lain penyanyi berusia 55 tahun ini tidak ragu-ragu menyatakan bahawa hatinya begitu dekat dengan Malaysia. Menurut Hetty, selama menjadi penyanyi sejak 38 tahun lalu dia telah menganggap negara ini sebagai rumah keduanya.
Malaysia begitu dekat sekali di hati saya kerana salah seorang anak saya, Ameer Mahmed yang kini berusia 19 tahun dilahirkan di Malaysia. Malah, sewaktu mengandungkan anak kedua saya, Afifah Qamariah 17 tahun lalu tarikh kelahirannya sekitar pertengahan bulan Ogos.
Tetapi saya seboleh-bolehnya mahu dia Afi (panggilan untuk Afifah) dilahirkan pada 31 Ogos iaitu sama tarikhnya dengan Hari Kemerdekaan Malaysia. Ternyata niat saya itu termakbul kerana Afi akhirnya lahir pada tarikh itu. Saya mahu dia meraikan hari lahirnya sama dengan Malaysia.
katanya sambil ketawa kecil sewaktu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, penyanyi berketurunan Sunda dan Minang itu hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi mengumumkan persembahan Sepetang Di Kuala Lumpur Bersama Hetty Koes Endang di Dewan Merdeka, PWTC pada 25 April ini.
Persembahan sempena Minggu Setiausaha anjuran Niqas Resources bersama Gitu-Gitu Production Sdn. Bhd. itu mengenakan harga RM15,000 untuk sebuah meja selain harga berasingan untuk setiap individu berharga RM1,000, RM750 dan RM500 dengan kapasiti mencecah 1,000 penonton.
Jelas Hetty, dia sentiasa bersedia mengadakan persembahan seperti itu pada bila-bila masa berdasarkan pengalamannya sebagai penyanyi sepenuh masa sejak 1974. Malah, dia turut menyifatkan bidang nyanyian sudah menjadi darah dagingnya sejak empat dekad lalu.
Saya ini kalau diibaratkan sebiji buah, maka buah itu sudah matang ataupun masak cuma belum sampai tahap busuk. Selain itu, penyanyi itu ada bermacam-macam kategori seperti penyanyi di festival pertandingan, TV, persembahan pentas ataupun untuk rakaman album sahaja.
Sedangkan saya sudah melalui semua empat jenis kategori itu. Latihan memang perlu tetapi saya sudah biasa menyanyi dan ia telah menjadi darah daging. Cuma saya perlukan rehat yang secukupnya, apatah lagi saya juga tidak merokok atau ambil minuman keras sejak dulu lagi.
Jadi semua itu banyak membantu saya untuk bersedia menyanyi pada bila-bila masa. Kalau tidak ada undangan menyanyi, rutin kehidupan saya adalah fokus kepada suami dan anak-anak di rumah," ujarnya yang turut ditemani Afifah pada majlis sidang akhbar pada petang itu.
Jamu jaga suara
Jamu sebagai salah satu pemakanan tambahan untuk kelihatan awet muda adalah amalan biasa bagi wanita-wanita Indonesia termasuklah Hetty yang turut mengamalkannya. Kata penyanyi ini ibunya banyak menekankan tentang kepentingan penggunaan jamu sejak dia masih kecil lagi.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu seperti berjudul Sayang dan Berdiri Bulu Roma Ku ini, ternyata pemakanan tambahan yang diamalkannya itu sedikit sebanyak membantu mengekalkan kecantikan serta mutu suaranya yang masih utuh di hati para pendengar sehinggalah ke hari ini.
Saya memang dari kecil diajar oleh ibu saya supaya makan jamu. Bahan-bahan seperti buah pinang atau daun sireh itu sudah biasa buat saya. Semua itu ubat, mana ada yang enak kerana banyak yang rasanya pahit. Saya dapat rasakan kesan daripada penggunaan jamu itu.
Sampaikan anak saya, Afi kata badan saya keras macam batu. Kalau boleh saya mahu turunkan amalan itu untuk anak-anak juga. Sebabnya kalau tidak kerana nasihat atau amalan ibu, mungkin saya tidak jadi seperti sekarang ini. Ternyata amalan orang dulu dan sekarang berbeza.
Kalau zaman dulu ibu mengajar saya agak keras sedikit termasuklah dengan mencubit kalau saya buat salah. Tetapi sekarang berbeza, tiada cubit mencubit lagi. Malah, saya sering memanggil anak-anak saya dengan perkataan sayang," ungkapnya lagi tentang nostalgia silamnya itu.
Sebagai ibu, Hetty bukan setakat memberi kasih sayang tetapi juga kebebasan buat anak-anaknya untuk memilih perkara-perkara yang mereka minati. Misalnya, dua anaknya iaitu Ameer dan Afifah yang sedikit sebanyak turut meminati bidang nyanyian sejak akhir-akhir ini.
Dia yang dilahirkan pada 6 Ogos 1957 di Jakarta, Indonesia contohnya, selalu menemani anak-anaknya menyanyi di karaoke ataupun sewaktu mereka berada di rumah. Masa itu banyak digunakannya untuk memberi tips serta tunjuk ajak kepada dua anak kesayangannya itu.
Saya memang memberi kebenaran kepada anak-anak untuk menyanyi. Cuma sekarang Afi masih bersekolah, jadi saya suruh dia tumpukan pada pelajaran dulu. Tetapi kalau boleh saya mahu supaya mereka tidak meniru gaya suara saya, mereka cari identiti suara sendiri.
Kalau Ameer dia suka penyanyi seperti Michael Buble, manakala Afi pula saya sarankan dia dengar lagu-lagu Datuk Sheila Majid (penyanyi Malaysia). Malah, saya juga turut menyuruh guru vokal terkenal di Indonesia, Jilly Likemahua mengajar Afi tentang ilmu vokal kepadanya.
Ternyata gaya suara-suara mereka tidak sama dengan saya kerana zaman yang berbeza. Saya mahu mereka berdiri atas suara mereka sendiri dan tidak dibayangi oleh suara saya. Namun, pilihan untuk menjadi penyanyi itu biarlah selepas mereka habis bersekolah nanti," katanya.
Jelas Hetty lagi, sebagai penyanyi dia mendapat sokongan suaminya, Dr. Yusuf Erwin Faisal dan hanya akan menyanyi jika mendapat kebenaran daripada lelaki itu. Pada masa sama, dia juga sering membawa anak-anak menemaninya sewaktu mengadakan persembahan di luar negara.
Tambahnya, sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, dia menganggap bidang nyanyian sedikit sebanyak boleh membantu pendapatan keluarganya. Namun, apa yang paling diutamakannya kini adalah ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap suami tercintanya itu.
Saya tidak suka menggaji pengurus kerana saya lebih senang ditemani anak-anak dan suami. Afi dan Ameer selalu menemani kalau saya mahu mengadakan persembahan. Saya juga akan meminta izin daripada suami terlebih dahulu. Saya bukannya takutkan suami tetapi taat.
Saya tidak mahu ada dua nakhoda dalam rumah tangga. Kalau di atas pentas saya adalah Hetty Koes Endang tetapi kalau di jalanan panggil sahaja saya Hetty Koes Dewi. Di luar pentas saya juga adalah wanita biasa.
Kalau saya keluar rumah saya tidak akan pakai make-up (solekan) ataupun pasang bulu mata. Bagi saya, dunia artis cuma panggung sandiwara sahaja. Itu adalah diri saya tetapi artis lain saya kurang pasti," tuturnya lagi penuh makna pada sesi pertemuan dengan media massa tersebut.
Oleh ABD. AZIZ ITAR