SHAH ALAM: Penyanyi Mohd Aizam Mat Saman atau Adam sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak hasil perkahwinan pertama isterinya, pelakon Fiza (Elite) sebelum ini.
Adam, 30, berkata, dia menganggap perkara itu sebagai satu kelebihan kurniaan Allah dan bersyukur kedua-dua kanak-kanak tersebut cukup rapat dengannya.
"Mereka memanggil saya 'Abi' dan tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mengabaikan kebajikan mereka kerana mereka kini adalah anak saya juga.
"Saya juga tidak kekok menjaga kanak-kanak kerana sebelum ini sudah terbiasa menjaga adik-adik kerana perbezaan umur kami yang agak besar," katanya kepada mStar Online.
Adam dan Siti Zaidatul Fiza Abd Halim atau Fiza, 32, selamat bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis serba sederhana yang diadakan di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di sini pada pagi Khamis.
Adam menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin kepada Fiza selain sepersalinan barangan solat sebagai hantaran.
Dalam perkembangan sama, Adam menjelaskan dia tidak berniat untuk menyorokkan majlis berkenaan daripada pengetahuan peminat dan media kerana merasakan dirinya sudah tidak popular.
Adam dan Fiza mahu bercinta selepas berkahwin.
Malah Adam menafikan majlis itu dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya ia telah dirancang awal manakala berita pernikahannya tersebar beberapa hari sebelum majlis berlangsung.
"Saya ingat tidak ada orang peduli pun saya hendak kahwin kerana merasakan diri sudah tidak popular dan hanya mahukan sebuah majlis sederhana sahaja.
"Kami juga berhasrat untuk memaklumkan perkahwinan ini selepas semuanya selesai," katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata, dia tidak dapat menjelaskan secara khusus mengapa dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Fiza dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun kata Adam, dia mengakui perasaan yang wujud terhadap wanita itu adalah cinta pandang pertama dan bersyukur Allah memudahkan jodoh mereka.
"Sejak bertemu kembali pada Ramadan lalu saya sering teringat-ingat akan dia dan apabila melakukan solat istikharah wajah Fiza muncul dalam mimpi saya.
"Saya yakin dia adalah jodoh saya dan Alhamdulillah Fiza juga mudah menerima saya walaupun perkenalan kami sangat singkat," jelasnya.
Tambah Adam, dia juga tidak akan menghalang jika Fiza ingin terus aktif berlakon namun perlu menjaga batas-batas sebagai seorang Muslimah.
Sementara itu, Fiza berkata, dia juga tidak dapat melafazkan secara lisan mengapa memilih Adam sebagai suami namun mengakui selesa apabila bersama pemuda itu.
Kata Fiza, anak-anaknya juga cukup menyenangi kehadiran Adam dan ia telah memudahkannya untuk membuat keputusan menerima Adam sebagai suami.
"Ini yang dikatakan jodoh dan saya sendiri tidak pernah menyangka akan menjadi isterinya namun saya berharap perkahwinan kedua ini akan kekal sehingga akhir hayat," jelasnya.
Bercakap mengenai anak, Fiza berkata dia menyerahkan soal itu kepada rezeki dan jika diizinkan dia mahu cepat menimang anak memandangkan usianya semakin meningkat.
Tambah Fiza, mereka berdua masih belum merancang lokasi berbulan madu kerana sibuk dengan tugas masing-masing.
Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4.
Majlis persandingan pasangan itu akan diadakan pada pertengahan Oktober depan di kampung halaman Adam di Kota Kinabalu, Sabah.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI