'Konsert Lentera Timur' Siti Nurhaliza Di Istana Budaya Memukau Penonton

|| || ,, || Leave a komentar
Datuk Siti Nurhaliza memukau penonton dengan persembahan bertenaga.

 

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 34, berjaya memukau penonton dengan persembahan bertenaga dalam Konsert Lentera Timur yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada Jumaat.

Konsert yang mengangkat lagu-lagu tradisional ini mengabungkan pelbagai budaya masyarakat Melayu Timur yang bukan sahaja dipesembahkan melalui lagu malah turut diselitkan dengan sketsa yang bersesuaian.

Siti membuka tirai dengan persembahan tarian terkenal negeri Kelantan iaitu Mak Yong bersama seorang penari diikuti nyanyian lagu Nirmala dan Kurik Kundi.



Kemudian diikuti dengan segmen Dikir Timur yang menampilkan kumpulan Arjuna Sukma turut mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton apabila Siti tampil menjadi tukang karut bergandingan dengan tukang karut kumpulan tersebut.

Seterusnya konsert turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi jemputan Datuk M Daud Kilau dengan dua buah lagu iaitu Cik Mek Molek dan Laksamana Raja di Laut.

Konsert diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu mempersembahkan 35 buah lagu tradisional yang digubah dan disusun semula oleh dua pengarah muzik ternama iaitu Mohd. Yazid Zakaria dan Aubrey Suwito.



Manakala penggiat seni berpengalaman, Lokman Ghani selaku pengarah konsert.

Antara lagu lain yang turut disampaikan ialah Patah Hati, Empat Dara, Kau Pergi Tanpa Pesan, Bunga Melor, Mahligai Permata, Bahtera Merdeka, Balqis, Ya Maulai, Cindai dan Biarlah Rahsia versi tradisional.

Siti tampil anggun dengan tiga busana tradisional ciptaan pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zerry Zamry dan Cosry.




Biarpun terdapat sedikit gangguan teknikal pada pertengahan persembahan namun perkara tersebut tidak menjejaskan keseluruhan Konsert Lentera Timur yang berlangsung hampir dua jam itu.

Konsert Lentera Timur dipersembahkan selama empat hari bermula 20 hingga 22 September dan 24 September ini di Istana Budaya.

Oleh KEMALIA OTHMAN