Tampilkan postingan dengan label Ben Affleck. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Ben Affleck. Tampilkan semua postingan

Jennifer Lawrence Yang Cantik, Muda, Seksi Dan Berbakat

|| || ,,,,, || Leave a komentar
Jennifer Lawrence yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Academy ke-85 semalam. 


CANTIK, muda, seksi dan berbakat. Itu kriteria paling sesuai ditujukan kepada pelakon yang mencipta nama menerusi filem-filem pecah panggung seperti The Hunger Games dan X-men: First Class, Jennifer Lawrence yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Academy ke-85 semalam.

Lebih menarik lagi, kejayaan pelakon kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat yang baru berusia 22 tahun itu diraih selepas menewaskan pelakon yang lebih senior seperti Jessica Chastain (Zero Dark Thirty) Emmanuelle Riva (Amour) dan Naomi Watts (The Impossible).

Tidak ketinggalan, Jennifer turut mendapat saingan daripada seorang pelakon kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun iaitu Quvenzhane Wallis menerusi filem Beasts Of The Southern Wild.

Namun berlaku sedikit insiden memalukan ketika Jennifer sedang melangkah ke pentas majis anugerah sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang oleh aktor Jean Dujardin. Dia tiba-tiba terjatuh di tangga ekoran gaun yang dipakainya terlalu labuh dan berat.

Meskipun mengalami insiden yang cukup memalukan, Jennifer tetap berbangga apabila para tetamu memberikan penghormatan dengan standing ovation (berdiri dan memberikan tepukan gemuruh) kepadanya.



KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah Jennifer Lawrence (kiri) dan Anne Hathaway dengan kemenangan masing-masing.

"Kamu semua berdiri kerana berasa sesuatu yang agak melucukan apabila saya terjatuh, tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan yang diberikan.

"Semua ini memang gila dan sudah tentu saya tidak percaya dengan kemenangan yang diraih ini," ungkapnya sambil mengucup trofi Oscar yang dimenanginya hasil lakonannya sebagai Tiffany dalam filem Silver Linings Playbook itu ketika berucap di atas pentas.

Filem tersebut mengisahkan tentang kehidupan yang dilalui Tiffany Maxwell, seorang janda muda yang mengalami masalah ketagih seks setelah kematian suami.

Dalam filem itu juga, Jennifer turut bergandingan dengan aktor Bradley Cooper yang membawakan watak sebagai Patrizio Solitano, seorang bekas guru yang mengidap penyakit bipolar.

Meskipun Jennifer berhasil meraih kejayaan untuk kategori Aktres Terbaik, lain pula ceritanya buat Bradley yang gagal memenangi Aktor Terbaik setelah tumpas di tangan Daniel Day Lewis yang membawakan watak Abraham Lincoln dalam filem Lincoln.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, ternyata lakonan Jennifer sebagai Tiffany Maxwell dalam filem romantik komedi itu memberikan impak yang besar buat dirinya.

Buktinya, sebelum ini aktres itu turut berjaya memenangi kategori Aktres Terbaik (Komedi) pada acara Anugerah Golden Globe ke-70 yang berlangsung pada bulan lalu.

Bagaimanapun, ia bukan merupakan kali pertama aktres berkenaan pernah tercalon merebut trofi Oscar. Dua tahun lalu dia pernah tercalon dalam kategori yang sama menerusi filem Winter's Bone.

Bersaing dengan beberapa pelakon hebat seperti Natalie Portman, Annette Bening, Nicole Kidman dan Michelle William, akhirnya dia terpaksa akur apabila tewas di tangan Natalie yang menampilkan lakonan mantap dalam filem Black Swan.



TERBAIK..Jennifer Lawrence bersama pemenang-pemenang yang lain. 

Ternyata permulaan awal tahun 2013 pastinya memberikan kejayaan tersendiri buat pelakon yang memulakan kerjaya sebagai pelakon tujuh tahun lalu setelah menggondol dua anugerah utama dalam tempoh dua bulan.

Menang besar

Pada majlis Anugerah Academy ke-85 juga menyaksikan filem Lincoln mendapat pencalonan terbanyak iaitu 12 kategori dan diikuti dengan Life Of Pi dengan 11 kategori.

Meskipun mendapat pencalonan terbanyak, ternyata penguasaan filem berkenaan dalam memenangi trofi Oscar kali agak mengecewakan apabila ia sekadar membawa pulang dua trofi iaitu menerusi kategori Aktor Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Sebaliknya, filem Life Of Pi yang mengisahkan tentang seorang pemuda yang terdampar di lautan bersama seekor harimau telah menang besar apabila meraih empat trofi.

Life of Pi menang Anugerah Skor Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Pengarah Terbaik yang diraih oleh Ang Lee.

Selain itu, filem muzikal Les Miserables yang tercalon dalam lapan kategori pula berbangga apabila Anne Hathaway berjaya meraih trofi untuk kategori Aktres Pembantu Terbaik, meskipun pelakon utamanya iaitu Hugh Jackman gagal memenangi Anugerah Aktor Terbaik.


BEN AFFLECK (depan, tengah) sedang berucap penuh emosi bersempena kemenangan filem arahannya, Argo merangkul Anugerah Filem Terbaik.
 

Sebuah lagi filem iaitu Argo lakonan dan arahan Ben Affleck yang tercalon dalam tujuh kategori telah mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

"Ada sembilan buah filem yang tercalon untuk kategori Filem Terbaik, jadi saya anggap kesemua filem yang tercalon ini memang sangat hebat dan persaingan memang agak sengit," ulas Affleck tentang kemenangan Argo itu.

Selain Argo, antara filem lain yang turut tercalon seperti Amour, Beasts Of The Southern Wild, Django Unchained, Les Miserables, Life of Pi, Lincoln, Silver Linings Playbook dan Zero Dark Thirty.

Menariknya, Argo merupakan filem yang dipilih sebagai Filem Terbaik, namun Affleck selaku pengarahnya langsung tidak tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik.

Situasi yang sama kali terakhir pernah berlaku menerusi filem Driving Miss Daisy pada majlis Academy Awards ke-62 pada tahun 1989.

Golden Globe Awards'13: Ben Affleck Menang Besar

|| || ,,, || Leave a komentar
Ben Affleck 


Filem Argo arahan dan lakonan Ben Affleck memenangi Filem Terbaik anugerah Golden Globe ke 70 pada kemuncak acara pra-Oscar Hollywood yang diadakan di sini pada Ahad (waktu tempatan).Affleck turut memenangi Pengarah Terbaik untuk filem itu.

Karya berkenaan berkisar tentang misi ejen perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang mendapat perlindungan di kediaman duta Kanada di Tehran, Iran semasa krisis pada tahun 1979.

Filem Steven Spielberg Lincoln hanya mampu membawa pulang satu anugerah sahaja iaitu melalui kategori Pelakon Lelaki Terbaik - Drama (Daniel Day-Lewis) walaupun mendapat pencalonan terbanyak iaitu dalam tujuh kategori.

Kegagalan Spielberg merangkul anugerah filem terbaik dan beberapa kategori utama lagi telah mengejutkan banyak pihak dan pemerhati filem Hollywood.

Sebaliknya, Affleck telah membuat kejutan besar dengan merangkul dua anugerah utama termasuk pengarah terbaik.

Ia adalah kemenangan berganda pertama untuk Affleck dalam anugerah edisi ke-70 ini.

Affleck dengan segera memberi penghargaan di atas kemenangannya itu kepada para diplomat dan juga ejen rahsia yang telah berkorban atas nama negara termasuklah karakter sebenar yang dimainkannya menerusi filem tersebut."Anugerah ini adalah mengenai Tony Mendez. Dia adalah hero Amerika yang sebenar termasuklah bala tentera Amerika yang telah berkorban dan berkhidmat di luar negara," ujar Affleck.

Bagaimanapun filem itu turut menerima kritikan yang tidak kurang hebatnya kerana Affleck dikatakan telah mencampur adukkan fakta dengan karya fiksyen khususnya tentang peranan CIA dalam membebaskan para diplomat Amerika yang dijadikan tebusan dalam insiden sebenar itu.

Namun begitu kemenangan Argo dilihat sebagai menebus maruah filem tersebut apabila ia tidak disenarai pendekkan untuk pencalonan pengarah terbaik dalam Anugerah Oskar yang akan berlangsung pada 24 Februari depan.Sementara itu bagi kategori drama pula, Homeland dipilih sebagai drama terbaik anugerah berkenaan pada kali ini.

Homeland turut mencipta kejayaan apabila dua pelakonnya iaitu Damian Lewis dan Claire Danes masing-masing diumumkan sebagai aktor dan aktres terbaik.

Berikut ini senarai penuh pemenang Golden Globe 2013.

KATEGORI FILEM:

1. Filem Terbaik : Argo

2. Filem Komedi/Muzikal Terbaik: Les Miserables

3. Pengarah Terbaik: Ben Affleck – Filem Argo

4. Aktor Terbaik Drama: Daniel Day-Lewis – Lincoln

5. Aktres Terbaik Drama: Jessica Chastain – Zero Dark Thirty

6. Aktor Terbaik Muzikal/Komedi: Hugh Jackman - Les Miserables

7. Aktres Terbaik Muzikal/Komedi: Jennifer Lawrence - Silver Linings Playbook

8. Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki: Christoph Waltz - Django Unchained

9. Pelakon Pembantu Terbaik Wanita: Anne Hathaway - Les Miserables

10. Filem Luar Terbaik: Amour

11. Lakon Layar Terbaik: Django Unchained

12. Skor Asal Terbaik: Life of Pi

13. Animasi Terbaik: Brave

KATEGORI DRAMA TV:

1. Drama Siri Terbaik: Homeland

2. Aktres Terbaik: Claire Danes - Homeland

3. Aktor Terbaik: Damian Lewis : Homeland

4. Drama Muzikal/Komedi Bersiri Terbaik: Girls

5. Pelakon Wanita Muzikal/Komedi Terbaik: Lena Dunham - Girls

6. Pelakon Lelaki Muzikal/Komedi Terbaik: Don Cheadle - House of Lies

7. Mini Siri/Filem Terbaik: Game Change

8. Aktres Mini Siri/Filem Terbaik: Julianne Moore - Game Change

9. Aktor Mini Siri/Filem Terbaik: Kevin Costner - Hatfields & McCoys

10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Maggie Smith - Downton Abbey

11. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ed Harris - Game Change


Sumber: AFP