Hattan
Arianie Mohd Abidin,bekas isteri pertama Hattan.
“Saya tidak pernah lupakan dia meskipun sudah sembilan tahun berpisah. Setiap hari saya berdoa moga jodoh kami bertaut semula andai diizinkan Tuhan,” ujar penyanyi, Datuk Hattan, 48.
Dia berkata demikian kepada Metro Ahad, hari ini, apabila terdapat desas-desus mengatakan yang dia bakal menyunting kembali bekas isterinya, Arianie Mohd Abidin.
Rockers terkenal kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mengaku, dia sangat memerlukan Arianie di sisinya.
Katanya, hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran isteri, bahkan sebagai bapa dia tidak sanggup melukakan hati putera tunggalnya, Adam Eiman.
“Saya pernah suarakan hasrat mahu dia kembali kepada saya, tetapi dia minta saya bersabar dan bagi dia masa.
“Kini, saya nampak kesungguhannya untuk sama-sama membina kembali keluarga kami,” katanya.
Hattan yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Arianie pada 17 Disember 1996 bagaimanapun telah bercerai pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Selepas enam tahun, Hattan berkahwin pula dengan Farah Asyikin Othman pada 11 November dan bercerai pda 12 Januari lalu.
Manakala, Arianie tidak pernah berkahwin lain sejak itu.
Ditanya tentang bagaimana reaksi Adam apabila mendapat tahu Hattan dan ibunya bakal bersatu, dia gembira kerana doanya termakbul.
Menurut Hattan, anaknya itu tidak boleh terima kalau dia atau ibunya keluar dengan lelaki lain.
“Rasa tak senang hati Adam itu saya hanya ketahui selepas kami balik dari menunaikan umrah.
“Saya tanya dia apa yang dia doa apabila di depan Kaabah, dia jawab minta mak atau ayah tak jadi kawin dengan pasangan masing-masing.
“Dari situ saja sedar dan berasa sebak sangat hingga mahu menitik air mata,” ujarnya.
Tambahnya, Adam adalah satu-satnya anak dia dan Arianie, jadi dia mahu lakukan yang terbaik buat anaknya.
Malah, Hattan berkata kesilapan ketika mengemudi rumah tangga sebelum ini membuka mata dan mindanya terhadap banyak perkara.
Ia sekali gus menggerakkan hatinya melakukan transformasi ke arah lebih baik.
Diharapkan niat suci Hattan itu akan dipermudahkan.
Lebih-lebih lagi demi kepentingan anaknya. Insyallah..
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN