NEELOFA anggap diri jadi matang selepas melalui banyak dugaan.
KONTROVERSI cinta tiga segi, kekasih baharu dan cinta lokasi, tak puas hati dengan kemenangan artis lain serta pergaduhan sesama artis sehingga melantik peguam, itu semua episod kisah panas yang mendidihkan nama Noor Neelofa Mohd. Nor.
Terbaru, si cantik molek yang sedang menghangatkan slot Akasia, Kau Yang Terindah di TV3 kini terpalit pula dengan teguran 'jangan lupa diri' oleh Datuk Yusof Haslam.
"Sebenarnya sejak lebih tiga bulan kebelakangan ini, terlalu banyak cabaran yang perlu saya hadapi. Macam-macam cerita yang tak kena, satu persatu ia datang dan orang nampak saya ini tidak habis-habis mencipta kontroversi.
"Semua itu buat saya terfikir, kenapa Tuhan tak berhenti beri ujian kepada saya, mesti ada sebab dan hikmah. Saya ambil semua itu sebagai satu amaran daripada Tuhan supaya menjadi lebih matang dan sedar di mana saya berpijak. Semua itu buat saya muhasabah diri, mungkin selama ini saya ada buat salah," kedengaran sedikit sayu suara pengacara Nona itu dari hujung corong telefon.
Tambah Neelofa: "Kalau betul Datuk sakit hati dan marah dengan ketidakhadiran saya untuk sesi pratonton filem S.A.M yang diadakan pada awal Ramadan lalu, tentu saya sudah tidak senang duduk. Saya kenal rapat dengan keluarga Datuk yang saya bahasakan uncle. Saya memang tak tahu langsung dengan pratonton itu sebab sedang berada di Mekah untuk penggambaran drama Kau Yang Terindah. Mungkin berlaku salah faham. Mungkin pihak Skop Production menghubungi saya di nombor telefon lama, sedangkan telefon berkenaan ada di tangan pengurus saya, Amir Syafiq."
Setahun kebelakangan ini juga kata Neelofa, terlalu banyak yang dipelajarinya. Detik menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah untuk umrah dan penggambaran bersama kru Erma Fatima baru-baru ini meninggalkan suatu impak yang berbekas di hati.
"Pandangan saya tentang kehidupan mungkin sudah sedikit berbeza. Haluan hidup sudah boleh dilihat dari banyak sudut. Saya toleh semula apa yang berlaku antara saya dan Anzalna. Rasa tak ada gunanya saya terus menyimpan dendam, dunia ini kecil dan esok lusa kami mungkin akan bertembung juga," katanya beralih ke topik yang beremosi.
Mengambil iktibar dan berkat sempena hari yang mulia, dengan rendah hati Neelofa membingkiskan salam kemaafan buat semua. Secara terbuka dia juga memohon maaf kepada mana-mana pihak dan individu yang terkait sama dalam konflik membabitkan dirinya.
"Saya mahu ambil peluang 1 Syawal ini untuk mohon maaf kepada semua pihak terutama orang dalam industri seni yang pernah terlibat dengan konflik yang melanda saya. Saya doakan kebahagiaan dan keberkatan untuk semua," ujarnya yang beraya di Pasir Mas, Kelantan bersama keluarga.
Sejurus habis penggambaran Kau Yang Terindah yang dijadualkan selesai pada 5 September nanti, heroin Azura 2011 itu sudahpun bersetuju untuk terlibat dengan sebuah lagi filem, Pilot Cafe terbitan Tarantella Pictures menjelang Oktober ini. Sepanjang September ini, duta tilam King Koil itu akan terlibat dengan kempen jalan raya bersama Petronas.