PENCERAMAH popular, Don Daniyal Don Biyajid, 28, mengakui alam perkahwinan yang baru dilaluinya itu ibarat melengkapkan imannya.
“Malah perkahwinan juga ibarat pembuka kepada mata hati dan seterusnya dapat memantapkan iman termasuklah keenam-enam rukunnya,” katanya yang berseri-seri ketika ditanya wartawan mengenai perkahwinannya bersama isteri tersayang, Husna Mohd Zahry, 24.
Beliau yang lengkap dengan baju Melayu dan bersongkok ditemui Sinar Harian ketika majlis resepsi di sebelah rumah pengantin perempuan yang terletak di Taman Jelita Kuala Sungai Pinang.
Husna yang manis mengenakan baju kurung moden berwarna putih krim mengucapkan tanda syukur atas jodoh pertemuannya dengan penceramah agama itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya kami dinikahkan dan telah bergelar suami isteri,” katanya.
Ceria..pasangan sama cantik dan sama padan ini.
Don yang lebih popular dengan panggilan Ustaz Don mengakui masih tidak memikirkan lokasi bulan madunya bersama Husna.
Pasangan pengantin sama padan itu juga akan berjauhan seketika selepas ini apabila Husna dijangka kembali ke Mesir bagi menyambung tahun akhir pengajian perubatannya di sana.
Ustaz Don berkata, dia masih belum tahu bagaimana perjalanan hidupnya bersama Husna sekiranya berjauhan nanti.
“Mungkin saya akan ke sana ataupun tidak itu masih belum dirancang, semuanya atas ketentuan Allah, insya-Allah,” katanya.
Hampir 30 ahli keluarga turut mengiringi pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan semalam.
Dalam pada itu, bapa Husna, Mohd Zahry Shaikh Abdul Rahman berkata, majlis kenduri diadakan di rumahnya bagi membolehkan kenalannya termasuk penduduk Balik Pulau beramah mesra dengan Ustaz Don.
“Saya amat seronok kerana dalam majlis kenduri ini peminat Ustaz Don sendiri boleh mengenali dia dengan lebih dekat,” katanya.
Ketika ditanya sama ada mengetahui percintaan Husna dan juga Ustaz Don, Mohd Zahry mengakui perkenalan antara anak dan menantunya itu ketika berada di Mesir.
“Ini kisah orang muda, mereka telah bertunang pada tahun lalu dan sebelum itu mereka ada mengenali hati budi satu sama lain dalam tempoh dua hingga satu tahun.
“Walau apa pun saya mahu hubungan ini sentiasa diredhai Allah dan memohon supaya anda dapat mendoakan kebahagiaan mereka berkekalan,” katanya.
Hampir 2,500 tetamu menghadiri majlis kenduri di Balik Pulau semalam, dan dijangka majlis resepsi Ustaz Don akan diadakan pada 1 September 2012 di Dewan Kuis.
Trivia Ustaz Don
Nama penuh : Don Daniyal DonBiyajid
Umur : 28 tahun
Asal : Gelugor, Pulau Pinang
Kerjaya : Tenaga pengajar Kolej Universiti Islam Selangor
Pendidikan : Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh Bukit Minyak
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal
Maahad Tahfiz Pulau Pinang
Maahad Tahfiz Qiraat Shoubro Mesir
Adik beradik : 4 orang (anak kedua)
Trivia Husna
Nama penuh : Husna Mohd Zahry
Umur : 24 tahun
Asal : Balik Pulau, Pulau Pinang
Pendidikan : Pelajar tahun akhir Fakulti Perubatan Universiti Cairo, Mesir
Adik beradik : 9 orang (anak keempat)
Kredit: Sumber