Gambar Mawi dan Ekin bersama permata hati,Cahaya Malaika.
DARI jauh lagi sudah kelihatan pelantun lagu Aduh Saleha ini melayan keletah puteri sulungnya, Cahaya Malaika, yang kini berusia 5 bulan ketika Zass tiba di banglo miliknya yang terletak di Bangi.
Bagi Asmawi Ani, 31, atau Mawi, dan isterinya, Nor Asikin Rahmat (Ekin), kemeriahan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih dirasai dengan kehadiran Cahaya lebih-lebih lagi tahun ini merupakan tahun pertama mereka meraikan hari raya bersama cahaya mata tercinta.
Mengakui Ramadan dan Syawal tahun ini lebih bermakna, Mawi berkata, dia bersyukur kerana kehadiran Cahaya mengubah kehidupan mereka.
"Alhamdulillah, meriah betul rasanya tahun ini. Ke mana-mana sahaja pergi pasti ramai yang bertanyakan mengenai Cahaya.
"Yang penting, saudara-mara juga sudah tidak sabar menunggu kepulangan kami ke kampung kerana hendak bertemu Cahaya. Rasanya, inilah perbezaan yang sangat ketara sejak memiliki cahaya mata," ujar Mawi di rumahnya sempena majlis berbuka puasa bersama pelakon dan krew telefilem Siapa Dapat Lisa, arahannya.
Ekin pula berkata, sebagai ibu sudah pasti dia antara insan yang paling gembira kerana dapat meraikan Aidilfitri tahun ini bersama Cahaya.
"Memang seronok bila dah ada anak. Sebelum ini asyik melayan anak orang sahaja. Jadi bila dah ada anak sendiri, saya memang teruja.
"Nampaknya tahun ini giliran saya pula kutip duit raya untuk anak," katanya mesra.
Persiapan sakan untuk Cahaya
BERCERITA perihal persiapan raya, jelas Ekin, dia, seperti ibu-ibu lain, sentiasa mendahulukan anak.
"Rasanya tak terkira baju raya Cahaya yang ada dalam simpanan. Selain lima pasang telah dijahit oleh emak, saya juga tidak menang tangan membelikan untuknya.
"Saya sebenarnya rambang mata melihat baju-baju yang dijual untuk kanak-kanak. Lagi pun koleksi baju untuk mereka banyak pilihan dan semuanya cantik-cantik. Bagaimanapun, baju-baju ini bukan sahaja boleh dipakai ketika raya, malah hari biasa juga," katanya, yang tidak kisah berbelanja lebih untuk Cahaya.
Ditanya mengenai persiapan hari rayanya pula, menurut Ekin, dia lebih selesa bersederhana.
"Biasanya bila raya memang tak banyak persiapan yang dibuat, apa-apa pun saya lebihkan untuk membeli baju raya sahaja. Buat masa sekarang saya sudah mempunyai enam pasang baju, begitu juga dengan Mawi.
"Bagi pemilihan warna pula, kami tetap berpakaian sedondon, coraknya sahaja berbeza," katanya ceria.
Tuah satu negeri
BERAYA di kampung tahun ini, Mawi dan Ekin sebenarnya sangat bertuah kerana mereka berdua berasal dari negeri yang sama iaitu, Johor.
Berkongsi mengenai perkara itu, jelas Mawi, dia akan pulang ke kampungnya, Pulai sehari lebih awal.
"Biasanya memang sehari sebelum raya saya dah balik. Bukan apa, selain hendak bertemu sanak-saudara terlebih dahulu, saya juga mahu memastikan keperluan raya sudah siap.
"Selepas beraya di rumah pada sebelah pagi, petangnya baru saya dan Ekin akan pulang ke kampungnya, Skudai.
"Lagi pun Pulai dan Skudai tidak jauh, dalam masa 20 minit sahaja boleh sampai. Jadi hendak beraya di mana terlebih dahulu tidak pernah menjadi masalah kepada kami," kata Mawi, yang tidak ketinggalan menyediakan duit raya untuk anak buahnya setiap tahun.
Siapa dapat Lisa?
DITEMUI di majlis berkenaan, Mawi sempat berbicara mengenai telefi lem Siapa Dapat Lisa, yang bakal disiarkan pada hari raya kedua di saluran Astro Prima, 105.
Menurutnya, idea untuk menghasilkan telefilem itu tercetus selepas pihaknya mencipta single bagi album terbaru Sepahtu berjudul Siapa Dapat Lisa.
"Apabila saya sampaikan hasrat ini kepada pihak Astro, mereka menerimanya dengan baik. Jadi tanpa membuang masa, perbincangan dibuat untuk memilih pelakon dan lokasi penggambaran.
"Walaupun ianya percubaan kedua saya dalam bidang pengarahan, saya bersyukur kerana ramai membantu merealisasikan pembikinan telefilem ini," katanya.
Telefilem terbitan MW Entertainment milik Mawi ini turut dibintangi Sepahtu (Shuib dan Jepp), Didie Alias serta Yasmin Hani sebagai pelakon utama.
OLEH MARINA SAHABUDIN