Adira Tidak Mahu Dikaitkan Dengan Aliff Aziz & Anne Ngasri

|| || ,,,,, || Leave a komentar

Adira tidak mahu dikaitkan sebagai punca keretakan hubungan pasangan Aliff Aziz dan Anne Ngasri.

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Adira Suhaimi atau Adira meminta semua pihak tidak mengaitkannya sebagai punca keretakan hubungan cinta penyanyi kelahiran Singapura iaitu Aliff Aziz dan Anne Ngasri.

Adira, 22, menegaskan dia tidak terlibat dalam keretakan hubungan pasangan itu dan berharap semua pihak menghormati perasaannya.

"Saya tidak terlibat langsung dalam keretakan hubungan mereka dan saya tidak mahu terlibat dalam masalah yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini," ujarnya ringkas ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Ahad.

Adira menjawab tuduhan kononnya dia menjadi punca hubungan Aliff dan Anne putus apabila mereka berdua dikatakan kononnya telah jatuh cinta ketika bertemu di lokasi penggambaran drama Tiara yang sedangditayangkan menerusi saluran Astro Prima.

Dalam pada itu, Adira berkata, hubungannya dengan Aliff hanya bersifat profesional dan tidak lebih daripada itu dan dia turut hairan bagaimana cerita tersebut tersebar.

Malah kata Adira, selepas hubungannya dengan AG (Coco) gagal, dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti sebaliknya lebih selesa menikmati kehidupan solo.


Aliff Aziz dan Adira dikatakan menjalinkan hubungan cinta selepas sama-sama berlakon dalam drama Tiara.

"Saya hanya mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya nyanyian dan lakonan dan kini lebih selesa tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana lelaki," jelasnya.

Bagaimanapun Adira berkata, dia berharap kemunculan “single” duet terbarunya bersama Aliff berjudul “Keajaiban Cinta” tidak akan menjadi kontroversi selepas ini.

"Ia hanya sebuah lagu duet untuk drama Tiara yang kami sama-sama berlakon. Hubungan kami tidak lebih daripada itu. Saya berharap tiada sebarang gosip lain timbul gara-gara kolaborasi itu," katanya.

Sementara itu, Adira berkata, dia semakin selesa bergelar pelakon namun masih meletakkan nyanyian sebagai karier utamanya.

Malah dia hanya berlakon untuk mengisi masa lapang selain menambah ilmu terutamanya dari segi pembinaan watak bagi sesuatu karektor.

"Seronok berlakon kerana dapat belajar pelbagai perkara namun itu tidak bererti saya tidak mahu menyanyi lagi kerana nyanyian adalah keutamaan saya," ujarnya.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI