Johan menafikan dia dan Nabila bercinta. Cuma sekadar kawan biasa.
PETALING JAYA: Pelakon Johan As’ari menganggap imej seksi yang ditampilkan pelakon Nabila Huda semasa Anugerah Blokbuster yang berlangsung Sabtu lalu bukanlah gambaran terhadap tuduhan kejahatan wanita itu secara menyeluruh.
Johan, 26, berkata, masyarakat tidak seharusnya menilai anak kepada penyanyi terkenal, Amy (Search) itu hanya kerana pakaian seksi yang digayakan sebaliknya perlu melihat sisi dalaman Nabila.
"Pakaian bukan ukuran untuk menggambarkan keperibadian dirinya kerana sepanjang saya mengenali Nabila, dia adalah seorang sahabat yang baik, cukup mengambil berat dan mementingkan keluarga.
"Malah jika tiada sebarang aktiviti dia lebih gemar duduk di rumah bersama anaknya," ujar Johan ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Selasa.
Pakaian yang digayakan Nabila semasa menghadiri Anugerah Blockbuster telah menimbulkan kontroversi.
Pelakon itu diminta mengulas imej seksi yang ditampilkan Nabila semasa hadir pada majlis Anugerah Blokbuster yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dekat sini Sabtu lalu.
Cara pemakaian Nabila turut mendapat reaksi Amy yang kurang senang dengan imej berkenaan kerana ia boleh mengundang kontroversi buruk terhadap Nabila sendiri.
Amy yang turut berada pada majlis itu dikatakan telah menasihati Nabila supaya menutup dengan selendang pada bahagian badannya yang terdedah.
Sementara itu Johan memberitahu, semasa bertemu pada malam anugerah itu dia telah melihat Nabila dalam keadaan yang agak sopan apabila bahagian yang dimaksudkan telah ditutup dengan selendang.
"Saya tidak tahu sejauh mana pakaian tersebut dikatakan terdedah kerana semasa berjumpa dengannya dia mengenakan selendang untuk menutupi bahagian yang terdedah itu.
"Saya yakin dia tahu apa yang dilakukan dan bijak membawa diri. Selebihnya saya tidak berani nak komen," ujarnya.
Dalam pada itu, Johan menafikan desas-desus hubungannya dengan wanita tersebut yang dikatakan pasangan bercinta sebelum ini renggang disebabkan tidak mendapat restu keluarga.
Johan berkata, keluarganya tidak pernah menghalang dia berkawan baik dengan Nabila dan turut merestui hubungan rapat yang terjalin di antara mereka.
"Tidak pernah timbul soal tidak mendapat restu keluarga kerana kami bukannya bercinta. Namun saya akui kami sudah jarang berjumpa kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Bagaimanapun dia masih sahabat baik saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Johan sedang sibuk dengan penggambaran filem Paku di sekitar Kuala Lumpur.
Selain itu, dia juga bakal muncul dengan drama bersiri Syahadah Cinta menerusi saluran Al Hijrah dan telefilem Udin Balik Kampung (RTM).
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI