HANEZ Suraya mendakwa dia tidak tahu apa-apa tentang kontroversi yang berlaku antara adiknya dan Nourish.
PELAKON drama bersiri Dendam Pencinta dan Dalam Hati Ada Taman, Hanez Suraya, nampaknya tidak habis-habis dengan kontroversi. Kali ini, dia terlibat dalam 'perang' siri kedua dengan rocker tersohor, Amy Search.
Perang siri pertama membabitkan mereka pada majlis Anugerah Blokbuster 2011 baru-baru ini, apabila dia dikatakan berlagak sombong dengan tidak menegur Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman walaupun mereka duduk bersebelahan. Isteri Amy, Nourish turut menemaninya pada ketika itu.
Perang siri kedua Amy dan Hanez pula turut membabitkan Nourish.
Kejadian yang berlaku tiga hari lepas itu sebaliknya menimbulkan kontroversi lain antara mereka.
Ia tercetus apabila Nourish atau nama sebenarnya Norhasniza Hassan telah secara tidak sengaja bertemu dengan adik Hanez yang merupakan seorang juruwang di sebuah bank tempat dia berurusan untuk mengeluarkan wang.
Nourish yang mengenali adik Hanez ketika dia turut menemani Hanez pada Anugerah Blokbuster 2011 tempoh hari itu dikatakan ingin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak suaminya.
Ia ekoran kejadian teguran Amy secara terbuka di Twitter yang telah mengkritik Hanez ekoran isu pada majlis anugerah tersebut.
Bagaimanapun, adik Hanez dikatakan telah menolak untuk menyampaikan permohonan maaf kepada kakaknya itu dan Nourish didakwa sehubungan itu telah membuat kecoh di bank berkenaan.
NOURISH (di samping Amy Search) menafikan dia membuat kecoh di bank tempat adik Hanez Suraya bekerja.
Isu itu berlarutan hingga ke laman sosial bergambar Instagram pula. Amy dan Hanez menerusi intagram tersebut khabarnya berbalas-balas kata, yang mana kata-kata berbaur amarah itu kini sudahpun dihapuskan.
Bagi mendapatkan penjelasan sebenar perkara yang berlaku itu, Kosmo! telah menghubungi Hanez dan Nourish. Berikut, sedutan temu bual bersama mereka.
Kosmo!: Apakah yang sebenarnya berlaku, adakah benar Nourish membuat kecoh di sebuah bank tempat adik anda bekerja?
HANEZ: Saya enggan komen apa-apa sebab benda dah jadi.
Benarkah dakwaan Hanez sebenarnya jenis suka cari gaduh?
Saya bukan jenis macam itu. Saya tiada masalah dengan sesiapa pun sebelum ini, selama ini pun, saya senyap apa orang cakap kat saya.
Jadi, apakah yang menyebabkan Amy dan isterinya dikatakan mengamuk dengan anda?
Saya tidak tahu apa masalah yang berlaku sebenarnya. Kalau sesiapa ada nak bagi tahu saya apa-apa, baik jumpa saya sendiri dan jangan guna pihak ketiga bagi elak salah faham pula.
Adakah Hanez akan bersemuka dengan Nourish atau Amy setelah apa yang berlaku?
Saya rasa tidak perlu kerana saya tidak bermasalah dengan sesiapa pun, tetapi kalau ada pihak ingin bersemuka dengan saya, itu tidak menjadi masalah.
Apabila berlaku perkara macam ini, Hanez yang dipersalahkan dan nampak anda yang bermasalah, apa komen anda?
Biarlah apa orang nak kata janji saya tahu, saya tidak kacau orang.
Oleh MALIAH SURIP dan SITI KAMILAH MUSTAPHA