Rita Rudaini Menang Kes,Mahkamah Batal Permohonan Aidil Zafuan Dapatkan Hak Penjagaan Anak

|| || ,,, || Leave a komentar
Rita Rudaini


SHAH ALAM – “Saya bersyukur kepada ALLAH kerana kebenaran telah terbukti.”

Demikian kata pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar dengan nada gembira selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan permohonan suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak untuk mendapatkan hak penjagaan (hadanah) ke atas dua anak mereka.

Rita mengakui tidak pernah melakukan kesalahan dan tidak pernah berasa takut dengan apa yang dilakukan oleh Aidil Zafuan.

“Saya benarkan Aidil Zafuan jumpa anak. Selepas tiga bulan beliau menghilangkan diri, Aidil Zafuan pernah bertemu dengan anak sebanyak empat kali.

“Bukan saya yang keluar rumah bawa anak. Jika dia (Aidil Zafuan) maklumkan kepada saya untuk jumpa anak, saya akan benarkan jika saya dan anak ada di rumah,” katanya.

Sebelum itu, Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menerima bantahan awal Rita berhubung status permaustautin pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan.

Menurutnya, Aidil Zafuan gagal membuktikan yang dia tinggal di USJ Subang Jaya kerana tidak mengemukakan alamat tempat tinggal secara kursus kepada mahkamah.

“Justeru, mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan plantif,” katanya.

Mohamed Fouzi juga memerintahkan Aidil Zafuan membayar kos RM3,000 kepada Rita.

Rita, 36, berbaju kurung moden biru tiba di mahkamah jam 9.25 pagi manakala suaminya tidak hadir dan diwakili peguam Norasyada Osman.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain ketika ditemui di luar mahkamah berkata, bantahan awal berkenaan difailkan anak guamnya terhadap Aidil Zafuan membabitkan isu tempat tinggal.

Katanya, Aidil Zafuan menggunakan alamat rumah yang didiami Rita di Damansara ketika permohonan hak penjagaan anak difailkan sedangkan beliau mengakui sudah meninggalkan rumah berkenaan sejak Januari tahun ini.

Beliau berkata, alamat penyampaian yang digunakan peguam Aidil Zafuan juga adalah alamat di Negeri Sembilan.

“Beliau kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau sudah berpindah ke USJ 1, tetapi tidak pernah pada bila-bila masa, dalam dokumen yang digunakan dalam prosiding itu,” katanya.

Permohonan hak penjagaan anak difailkan Aidil Zafuan pada 20 Jun lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan diserahkan kepada isterinya pada 27 Jun lalu.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.

Media sebelum ini melaporkan rumah tangga pasangan suami isteri itu tegang apabila Aidil Zafuan keluar dari rumah mereka di Damansara. – SINAR HARIAN